Now Reading
Norway Haramkan AI Untuk Murid Sekolah Rendah Selepas Prestasi Ujian Merosot Teruk

Norway Haramkan AI Untuk Murid Sekolah Rendah Selepas Prestasi Ujian Merosot Teruk

Murid berumur 6 hingga 13 tahun di Norway tidak lagi dibenarkan menggunakan AI di sekolah bermula hujung Ogos.

In Brief
  • Norway melarang AI generatif untuk murid darjah satu hingga tujuh bagi memastikan kanak-kanak menguasai kemahiran asas pembelajaran.
  • Keputusan ini dibuat selepas prestasi pelajar dalam ujian merosot teruk, mendorong kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada teknologi di sekolah.
  • Norway bukan kali pertama mengawal teknologi di sekolah, sebelum ini mereka turut mengharamkan telefon pintar pada tahun 2024.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Di saat seluruh dunia berlumba-lumba untuk menghasilkan kecerdasan buatan (AI) sendiri, terdapat satu negara ini memilih untuk berundur melawan arus.

Norway telah mengambil pendekatan bertentangan dengan menutup perkembangan AI ke dalam bilik darjah.

Menurut PCMag, negara skandinavia itu telah memperkenalkan peraturan baharu yang mengehadkan penggunaan AI generatif di sekolah rendah kerana pihak kerajaan Norway mahu anak-anak kembali menguasai kemahiran asas serta membendung kemerosotan prestasi pelajar dalam ujian.

Sekatan Mengikut Peringkat Umur

Sekolah rendah di Norway. (Foto: Politico)

Peraturan itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Stoere, pada Jumaat (19 Jun) lalu dan akan berkuat kuasa sebaik tahun persekolahan baharu bermula pada hujung Ogos.

Ia sebahagian daripada usaha besar Norway untuk mengurangkan kebergantungan kepada teknologi di sekolah, lalu kembali semula kepada menguasai pendidikan bagi setiap murid.

Namun begitu, peraturan ini tidak sama rata, sebaliknya dibahagikan mengikut umur pelajar.

Murid darjah satu hingga tujuh, iaitu yang berumur 6 hingga 13 tahun, secara umumnya tidak lagi dibenarkan menggunakan AI generatif di sekolah.

Bagi pihak kerajaan, risikonya jelas iaitu kanak-kanak berumur sedemikian mungkin akan terlepas langkah penting dalam proses pembelajaran.

Selain itu, pelajar berumur 14 hingga 16 tahun masih boleh menggunakannya, tetapi hanya di bawah pengawasan guru.

Manakala, remaja berumur 17 hingga 19 tahun, pula digalakkan belajar menggunakannya dengan betul sebagai persediaan untuk pengajian tinggi dan kerjaya.

“Perkara paling penting di sekolah ialah anak-anak kita belajar membaca, menulis dan mengira,” kata Stoere dalam sidang media.

AI Berpotensi Untuk Menjejaskan Pembelajaran

AI boleh menjejaskan pembelajaran. (Foto: Paris School Of Business)

Keputusan in telah menyebabkan seluruh dunia berkongsi pendapat iaitu sama ada AI sepatutnya berada dalam sekolah ataupun tidak.

Sebahagian pihak menyokong sepenuhnya kebimbangan Norway. Satu kajian yang dijalankan oleh Brookings ke atas kanak-kanak di Amerika Syarikat mendapati AI generatif boleh menjejaskan kebolehan kanak-kanak membina kemahiran kognitif dan sosial.

Logiknya mudah, apabila AI berfikir untuk mereka, kanak-kanak terlepas peluang untuk belajar berfikir secara sendiri.

Bukan Kali Pertama Norway Mengawal Teknologi Di Sekolah

Norway terkenal memperkenalkan teknologi ke dalam bilik darjah. (Foto: Arch Daily)

Menariknya ini bukan langkah pertama yang telah dilakukan oleh Norway kerana mereka merupakan antara negara terawal di dunia mengharamkan telefon pintar di sekolah.

Larangan itu dikuatkuasakan pada 2024, seiring dengan memberikan kuasa lebih besar kepada guru untuk mengawal disiplin selepas keputusan ujian pelajar merosot secara meluas.

Pihak kerajaan Norway turut menambah dana pendidikan untuk membawa masuk buku fizikal ke dalam kelas semula.

Tambahan pula, Norway turut mengumumkan rancangannya untuk mengharamkan media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun.

Di Amerika Syarikat pula, ramai ibu bapa dan guru turut menentang kemasukan AI di sekolah dengan kumpulan seperti PACES (Parents for AI Caution in Educational Spaces) mendesak Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani supaya mengisytiharkan moratorium dua tahun ke atas AI generatif di sekolah-sekolah kawasan tersebut.

Baca Artikel Berkaitan: “Hilang Selera Tengok” – Restoran Guna Gambar Menu Janaan AI Raih Pelbagai Reaksi | TRP

Baca Artikel Berkaitan: UAI Perjelas Hukum Guna Teknologi Artificial Intelligence (AI) Dalam Islam. Boleh Ke? | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd