Ringgit Dijangka Makin Kukuh, Cecah Paras RM3.90 Sedolar Pada Akhir Tahun
Dijangka Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% bagi menyokong pertumbuhan ekonomi domestik.
- Ringgit dijangka mencecah paras RM3.90 sedolar pada akhir tahun ini, didorong pengecilan jurang kadar faedah Malaysia dan AS.
- KDNK 2026 disemak naik kepada 4.9%, disokong permintaan domestik dan pertumbuhan eksport sektor E&E sebanyak 8.4%.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Nilai ringgit dijangka akan mencecah paras RM3.90 sedolar pada hujung tahun ini.
Unjuran ini adalah berdasarkan kedudukan kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan paras purata 2026 sekitar RM3.95 sedolar, yang didorong oleh jangkaan pengecilan jurang kadar faedah antara kedua-dua negara.
Selain itu, tekanan pengukuhan dolar AS terhadap mata wang tempatan juga dikurangkan menerusi prestasi eksport negara yang kekal berdaya tahan.
BNM Dijangka Kekalkan OPR Pada 2.75%
Menurut BIMB Securities Research, perbezaan dasar monetari antara Malaysia dan AS dijangka akan menjadi kurang ketara apabila Rizab Persekutuan AS (Fed) mengekalkan kadar dana persekutuan sekitar 3.64%.
Sebaliknya, Bank Negara Malaysia (BNM) pula dalam menyokong pertumbuhan ekonomi domestik dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75%.
Keadaan itu mencerminkan perubahan berbanding fasa pengetatan monetari sebelum ini yang menyaksikan kadar faedah AS meningkat lebih pantas sehingga memberi tekanan kepada mata wang serantau termasuk ringgit, katanya dipetik Berita Harian.
Aliran Perdagangan Luaran Berdaya Tahan Sokong Prestasi Ringgit
BIMB Securities Research berkata pengukuhan ekonomi Malaysia yang berterusan dan pengecilan tebaran dijangka mengurangkan pengukuhan dolar AS dan memberi ruang kepada ringgit untuk terus meningkat.
“Selaras dengan ini, ringgit berbanding dolar AS diunjurkan pada purata RM3.95 pada tahun 2026, berbanding RM4.28 pada 2025 dan mengakhiri tahun pada RM3.90.
“Prestasi itu disokong bukan saja oleh dinamik kadar yang bertambah baik tetapi juga oleh aliran perdagangan luaran yang berdaya tahan, terutamanya daripada harga komoditi yang tinggi yang meningkatkan eksport pertanian dan perlombongan Malaysia,” katanya.
KDNK 2026 Dijangka Meningkat Ke 4.9%
Semakan semula oleh BIMB Securities Research ke atas unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2026 meletakkannya kepada 4.9% berbanding 4.7% sebelum ini.
Situasi ini menunjukkan ekonomi negara kekal kukuh walaupun berdepan persekitaran global yang lebih mencabar.
Ia menjangkakan pertumbuhan terus disokong oleh permintaan domestik, dengan penggunaan swasta diunjurkan berkembang 4.5%, manakala pelaburan swasta dan awam masing-masing dijangka meningkat 6.5% dan 4.5%.
Pun begitu, BIMB Securities Research berkata perbelanjaan pengguna dan pelaburan yang lebih berhati-hati serta kemungkinan pelarasan fiskal kerajaan membuatkan momentum pertumbuhan dijangka lebih sederhana sepanjang tahun.
Sektor Eksport Dijangka Tumbuh Pada Tahap 8.4%, Didorong Permintaan Produk E&E
Tambah BIMB Securities Research, sektor eksport yang didorong permintaan berterusan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) serta harga komoditi utama yang lebih kukuh, dijangka akan bertumbuh pada tahap 8.4%, sekali gus mengekalkannya sebagai penyumbang penting.
Pihaknya bagaimanapun mengingatkan bahawa risiko terhadap prospek ekonomi masih wujud, antaranya:
- Kemungkinan peningkatan harga tenaga
- Gangguan bekalan bahan api
- Kelembapan aktiviti pelancongan
- Keadaan fiskal yang lebih ketat yang boleh menjejaskan sentimen pengguna dan pelabur
Dalam masa sama, BIMB Securities Research dalam tinjauan inflasi menjangkakan ia kekal terkawal secara meluas, menyokong persekitaran makroekonomi yang stabil pada tahun 2026.
Menurutnya, inflasi keseluruhan diunjurkan purata sekitar 2.4% berikutan kesan tekanan kos luaran dan risiko gangguan rantaian bekalan secara beransur-ansur.
Baca Artikel Berkaitan: Bursa Malaysia Dibuka Tinggi & Ringgit Kukuh Berbanding Dolar AS, Apa Implikasinya?
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.