Now Reading
MetMalaysia Gesa Rakyat Malaysia Siap Sedia Hadapi Musim Panas & Kering, El Nino

MetMalaysia Gesa Rakyat Malaysia Siap Sedia Hadapi Musim Panas & Kering, El Nino

Fenomena El Nino dijangka membawa keadaan lebih panas dan kering daripada biasa, dengan risiko kekurangan air.

In Brief
  • Rakyat Malaysia dinasihatkan bersiap sedia menghadapi cuaca lebih panas dan kering akibat El Nino yang mungkin berterusan sehingga awal 2027.
  • MetMalaysia menggesa orang ramai jimat air, elak pembakaran terbuka dan ikuti perkembangan cuaca melalui aplikasi myCuaca.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Rakyat Malaysia dinasihatkan bersedia menghadapi cuaca yang lebih panas dan kering berikutan fenomena El Nino yang dijangka mula mempengaruhi negara tidak lama lagi, dan mungkin berterusan sehingga awal 2027.

Memetik laporan New Straits Times, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, berkata fenomena itu dijangka membawa keadaan lebih panas dan kering daripada biasa, terutama ketika tempoh Monsun Barat Daya.

Menurutnya, keadaan itu boleh mengurangkan hujan di beberapa kawasan, sekali gus meningkatkan risiko kekurangan air, kebakaran hutan dan tanah gambut, serta jerebu.

Cuaca Panas Bermula Ketika Monsun Barat Daya

Cuaca kering sangat berbahaya. (Foto: The Star)

“Saya menasihatkan semua rakyat Malaysia supaya kekal berwaspada dan peka terhadap perkembangan cuaca semasa. Gunakan air secara berhemah, elakkan aktiviti pembakaran terbuka dan utamakan kesihatan diri serta keluarga, terutama golongan yang lebih terdedah kepada cuaca panas,” kata Zahid Hamidi dalam satu hantaran Facebook.

Selain itu, Pengarah Besar MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan lebih panas dan kering dijangka bakal berlaku ketika Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 14 Mei dan berterusan sehingga September tahun ini.

MetMalaysia Tingkatkan Langkah Kesiapsiagaan

Bagi menghadapi keadaan ini, MetMalaysia mempertingkat langkah persiapan dengan memperkukuh penyebaran maklumat cuaca dan amaran awal kepada agensi kerajaan, pihak berkepentingan dan orang ramai.

Setakat bulan ini, jabatan itu telah mengadakan lebih 70 taklimat, mesyuarat dan program di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah menumpukan tentang cuaca panas serta kering.

Antaranya termasuk taklimat kepada Kementerian Ekonomi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Majlis Tindakan Ekonomi Negara serta Jabatan Pertanian, selain pembentangan pada mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan daerah di seluruh negara.

Dr Hisham berkata MetMalaysia turut menyediakan ramalan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut sehingga tujuh hari, mengeluarkan ramalan jerebu, serta bersedia menyokong operasi pembenihan awan jika diperlukan.

Orang Ramai Dinasihatkan Jimat Air Dan Elak Pembakaran Terbuka

Pembakaran terbuka akan menyebabkan cuaca bertambah panas. (Foto: Majlis Bandaraya Subang Jaya)

Dr Hisham juga turut menasihatkan orang ramai mengikuti perkembangan cuaca menerusi aplikasi mudah alih myCuaca dan laman web rasmi jabatan itu, selain mengamalkan penjimatan air dan mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka.

Sementara itu, Zahid Hamidi berpesan persediaan awal dan kerjasama semua pihak amat penting bagi mengurangkan risiko serta memastikan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat sentiasa diutamakan,” katanya.

Apa Itu Fenomena El Nino?

Musim panas ini perlu berhati-hati. (Foto: Mint)

Untuk pengetahuan umum, El Nino merupakan salah satu fasa dalam fenomena iklim yang dikenali sebagai El Nino-Southern Oscillation (ENSO).

Fenomena ini berlaku dalam tiga fasa, iaitu Neutral, La Nina dan El Nino, dengan El Nino dan La Nina merupakan dua fasa yang bertentangan.

Istilah ‘El Nino’ yang bermaksud budak lelaki dalam bahasa Sepanyol dikatakan dicipta oleh nelayan Peru, yang menamakan arus laut panas itu sempena ‘Christ Child’ atau kelahiran Jesus, kerana ia paling ketara sekitar musim perayaan Krismas.

Rekod awal penggunaan istilah ini dilaporkan seawal 1892 dan hari ini ia merujuk kepada fasa panas ENSO, manakala La Nina yang bermaksud budak perempuan pula merupakan fasa sejuk.

Ketika musim El Nino, tekanan atmosfera di sekitar Indonesia dan barat Lautan Pasifik menjadi tinggi, manakala tekanan di timur Pasifik menjadi rendah mempengaruhi corak cuaca di kawasan ini.

Baca Artikel Berkaitan: “Negara 4 Musim Pun Terkesan” – Pakar Fizik Dedah Kenapa Malaysia Sangat Panas Waktu ini | TRP

Baca Artikel Berkaitan: “Nampak Kecil Tapi Kesannya Besar” – Pakar Psikologi Kongsi Kesan Cuaca Panas Terhadap Kesihatan Mental | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd