Kes Denggi Negara Naik 20.7%, Sabah Catat Kenaikan Drastik Sebanyak 50.4%
Sebanyak 33,367 kes denggi telah direkodkan di seluruh negara setakat 13 Jun ini.
- Kes denggi negara meningkat 20.7% kepada 33,367 kes, dengan Sabah mencatat lonjakan drastik sebanyak 50.4%.
- Lonjakan kes dipengaruhi kitaran jangkitan empat hingga lima tahun dan dominasi subvarian virus denggi DEN-3.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kes denggi di seluruh negara meningkat 20.7% kepada 33,367 kes setakat 13 Jun, berbanding 27,640 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Memetik laporan dari Berita Harian, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata situasi di Sabah lebih membimbangkan apabila negeri itu mencatat lonjakan drastik sebanyak 50.4%, dengan 2,866 kes berbanding hanya 1,905 kes bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Beliau turut berkata lima daerah di Sabah iaitu Kota Kinabalu, Kota Marudu, Tawau, Sandakan, Penampang, dan Putatan dikenal pasti menyumbang kepada kenaikkan kes ini.
Kota Kinabalu Penyumbang Kes Tertinggi Di Sabah

Menurut Sabah Media, Kota Kinabalu telah mencatat jangkitan aktif tertinggi dengan 1,033 kes, diikuti Tawau (578 kes) dan Sandakan (500 kes), selain daerah Penampang dan Putatan.
Di sebalik lonjakan itu, Dr Dzulkefly turut memuji Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan fasiliti kesihatan tempatan yang berjaya mengawal pesakit sehingga merekodkan tiada kematian pada tahun ini.
Beliau berkata Pekan Manggatal dan Kampung Cenderamata 2 di Likas masing-masing turut merekodkan tiada kematian denggi selama lima tahun berturut-turut, iaitu dari 2022 hingga 2026.
“Saya ingin memuji komitmen JKNS dan fasiliti kesihatan di sini,” katanya ketika merasmikan majlis sambutan Hari Denggi ASEAN, Hari Malaria Sedunia dan gotong-royong mega peringkat kebangsaan sempena Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) 2026 di Manggatal.
Lonjakan Kes Dipengaruhi Subvarian DEN-3

Menurut Dr Dzulkefly, lonjakan ini berada dalam ramalan kitaran pusingan jangkitan yang berlaku setiap empat hingga lima tahun, namun orang ramai diingatkan supaya kekal waspada.
Selain faktor kitaran itu, pihak Kementerian turut mengesan peningkatan kes dipengaruhi perubahan subvarian virus denggi yang kini didominasi subvarian DEN-3.
KKM Perkenal Pendekatan ‘Nudge’ Untuk Ubah Tingkah Laku
Kementerian Kesihatan (KKM) turut memperkenalkan pendekatan strategik baharu berasaskan Behavioural Insights (BI) menerusi program Komuniti Bebas Denggi (KomBeD).
Pendekatan ini turut dikenali sebagai nudging strategy bertujuan mendorong perubahan tingkah laku masyarakat ke arah amalan pencegahan yang lebih efektif.
Program KomBeD tertumpu kepada tiga strategi utama, iaitu intervensi persekitaran, sokongan kerjasama komuniti serta penglibatan menyeluruh masyarakat termasuk pengukuhan pengawasan sains entomologi.
Malaysia Antara Yang Tertinggi Di ASEAN Catat Kes Denggi
Untuk pengetahuan umum, Malaysia berada di kedudukan ketiga dari segi jumlah kes, di belakang Indonesia (39,672 kes) dan Vietnam (35,986 kes) dan Dr Dzulkefly mengingatkan ia bukan alasan untuk kita selesa.
“Hakikatnya, kadar insiden kita adalah yang tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN,” katanya.
Ini 5 Cara Mudah Untuk Mencegah Denggi Merebak Di Kawasan Rumah Anda

Umum mengetahui, denggi merebak menerusi gigitan nyamuk Aedes aegypti dan bukan melalui sentuhan manusia ke manusia.
Menurut Health Pulse, satu daripada empat orang yang dijangkiti denggi akan jatuh sakit, manakala satu daripada 20 berisiko mengalami simptom teruk.
Antara simptom utama seperti demam tinggi secara tiba-tiba, sakit kepala teruk, sakit di belakang mata, sakit otot dan sendi, rasa mual, kelenjar bengkak serta ruam pada badan.
Tambahan pula, pesakit denggi dinasihatkan berjumpa doktor, banyak berehat dan minum air, serta mengambil paracetamol, dan bukan aspirin atau ibuprofen.
Bagi mencegah penularan, orang ramai boleh mengamalkan langkah berikut:
#1. Halang pembiakan nyamuk Aedes
Buang bekas yang boleh mengumpul air, tukar air pasu bunga dengan kerap, dan pastikan semua bekas air sentiasa ditutup kerana air bertakung menjadi tempat pembiakan nyamuk.
#2. Tutup pintu dan tingkap atau pasang jaring
Nyamuk Aedes paling aktif pada waktu senja dan subuh, jadi tutup pintu dan tingkap atau pasang skrin, selain tidur di bawah kelambu.
#3. Gunakan penghalau nyamuk
Sapukan penghalau nyamuk pada badan. Bagi bayi dan kanak-kanak, gunakan tampalan antinyamuk yang boleh diperoleh di farmasi.
#4. Hapuskan nyamuk dewasa
Gunakan penghalau serangga aerosol, gegelung nyamuk atau wap elektrik bagi menghapuskan nyamuk dewasa.
#5. Pakai pakaian pelindung
Pakai baju berlengan panjang dan seluar panjang, lengkap dengan stoking dan kasut bertutup untuk menutup seluruh tubuh badan.
Baca Artikel Berkaitan: Kadar Kematian Antara 30 Hingga 40 Peratus, Ini Perkara Yang Perlu Anda Tahu Tentang Hantavirus | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Penyakit Kusta Belum Lenyap Di Malaysia, Lapan Kes Baharu Dikesan Di Kelantan Tahun Lepas | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.