Now Reading
Kemalangan Proton X50: 6 Sekeluarga Maut Ketika Dalam Perjalanan Ke Kubur Arwah Bapa

Kemalangan Proton X50: 6 Sekeluarga Maut Ketika Dalam Perjalanan Ke Kubur Arwah Bapa

Kemalangan yang berlaku semalam (7 Jun) antara Proton X50 terbabit dengan sebuah lori berlaku hanya beberapa jam selepas kereta SUV itu baru dibeli.

In Brief
  • Enam sekeluarga terkorban dalam kemalangan melibatkan Proton X50 baru dibeli dan lori bermuatan tanah di Sungai Petani.
  • Mangsa sedang dalam perjalanan menziarahi kubur arwah bapa apabila kemalangan maut berlaku semalam.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Hari yang sepatutnya penuh dengan kegembiraan bertukar duka apabila sebuah kereta Proton X50 yang dinaiki tujuh sekeluarga terlibat dalam kemalangan maut.

Dalam insiden yang berlaku semalam (7 Jun), kemalangan berlaku antara kereta tersebut dengan sebuah lori membawa muatan tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani.

Difahamkan kenderaan pelbagai guna (SUV) Proton X50 terbabit baru sahaja dibeli dari sebuah pusat jualan di Juru, Pulau Pinang sekitar 11 pagi hari kejadian.

6 Sekeluarga Maut, Manakala Seorang Kanak-Kanak Cedera Parah

Memetik Utusan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Fauzi Shuaib berkata, satu panggilan kecemasan telah diterima pada pukul 3.46 petang.

Hasil pemeriksaan mendapati kemalangan itu telah meragut nyawa enam pemandu dan penumpang di lokasi kejadian, manakala seorang lagi tercedera.

Individu yang terkorban ialah:

  • Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 27 (Pemandu)
  • Ahmad Fahim, 21
  • Nora Mhd Husin, 55
  • Jamaliah Sannusi, 27
  • Kanak-kanak berusia tujuh tahun
  • Bayi berusia enam bulan

Kesemua mayat enam mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, manakala seorang penumpang kanak-kanak berusia tiga tahun, Aulia Sofea Ahmad Shafiq, yang cedera parah telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Mangsa Sedang Dalam Perjalanan Untuk Ziarah Kubur Arwah Bapa

Menurut Berita Harian, kereta Proton X50 itu dimiliki oleh Ahmad Fahim yang merupakan seorang anggota polis di Pulau Pinang.

Lebih memilukan lagi, kesemua mangsa yang meluangkan masa menaiki kenderaan itu sebenarnya sedang dalam perjalanan ke Merbok bagi menziarahi kubur arwah bapa mangsa.

Bapa kepada salah seorang mangsa, Ibrahim Ghazali berkata, anak keduanya yang berusia tujuh tahun turut serta pada saat akhir kerana sangat teruja menaiki kenderaan baru, lapor Berita Harian.

“Pagi ni mereka seronok sangat nak ambik kereta dan sempat ambil gambar kereta baharu keluar termasuk anak saya, dia nak naik kereta tu. Namun tak sangka semuanya berlaku sekelip mata, ” katanya.

View on Threads

Polis Minta Orang Ramai Elak Buat Spekulasi & Sebar Maklumat Palsu

Menerusi video tular, dapat dilihat kereta terbabit memasuki laluan ke arah bertentangan sebelum bertembung dengan lori muatan tanah.

Sehubungan itu, pihak polis menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan khabar angin berkenaan insiden tersebut.

Memetik laporan NST, Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah, meminta orang ramai agar memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan penuh bagi mengenal pasti punca kemalangan.

Beliau berkata berita kemalangan yang tular di media sosial itu telah membuahkan banyak spekulasi tidak bertanggungjawab.

Katanya terdapat masyarakat awam yang menghantar mesej WhatsApp kepadanya mengandungi maklumat palsu.

“Ada yang beritahu pemandu lori itu mabuk dan turut menyebut bangsa pemandu tersebut. Saya mahu maklumkan bahawa mangsa ialah orang Melayu, begitu juga dengan pemandu lori, jadi tindakan sedemikian amat tidak bertanggungjawab,” katanya.

Kereta Proton X50 Dihantar Ke PUSPAKOM

Tambah Adzil, siasatan awal mendapati lori itu dipandu pada kelajuan 60km/j dan saringan air kencing ke atas pemandunya didapati negatif walaupun dia mempunyai tujuh saman terdahulu.

Malah beliau turut menyebut terdapat pihak yang mendakwa kereta Proton X50 berkenaan mungkin mengalami masalah memandangkan ia baru sahaja dibeli.

“Kami akan menyiasat setiap aspek termasuk menghantar SUV itu kepada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut,” ujarnya.

Mahkamah Tolak Permohonan Reman Pemandu Lori

Dalam perkembangan terbaharu, Mahkamah Majistret Sungai Petani menolak permohonan polis bagi mendapatkan perintah reman terhadap pemandu lori terbabit, hari ini (8 Jun).

Majistret Mohamad Azlan Basri membenarkan lelaki berusia 49 tahun itu dibebaskan hari ini selepas dia ditahan sejurus kejadian kemalangan itu, lapor Awani.

Dia ditahan semalam bagi siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd