2 Kanak-Kanak Terjatuh Di Apartmen Di Johor, Seorang Maut & Seorang Lagi Sedang Dirawat Di ICU
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha, mengesahkan kejadian dan berkata kenyataan rasmi akan dikeluarkan selepas siasatan.
Dua beradik, berusia 8 dan 10 tahun, terjatuh dari tingkat 12 ke tingkat 7 sebuah apartmen di Tampoi, Johor Bahru.
Kanak-kanak perempuan disahkan meninggal dunia, manakala kanak-kanak lelaki sedang menerima rawatan di ICU Hospital Sultanah Aminah.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Semalam (7 Jun), tular di media sosial apabila beberapa individu berkongsi satu insiden menyayat hati membabitkan dua beradik.
Difahamkan seorang kanak-kanak perempuan telah terjatuh dari sebuah unit apartmen sebelum diikuti abangnya tidak lama kemudian.
Menurut pengguna Threads (@irainany) yang juga merupakan saksi kejadian, dia sedang bersama suami dan bayinya di tingkat 7 apartmen berdekatan kolam renang semasa insiden berlaku.
2 Beradik Terjatuh Dari Tingkat 12 Ke Tingkat 7 Apartmen
Katanya, kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun dan kanak-kanak lelaki 10 tahun berkenaan telah terjatuh dari tingkat 12 ke tingkat 7 blok sama sekitar jam 7.57 pagi semalam.
Tambahnya lagi, kanak-kanak perempuan terbabit telah disahkan meninggal sejurus selepas tiba di hospital, manakala kanak-kanak lelaki sedang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
“Semasa kejadian kami baru buka paip tepi kolam nak basahkan badan sebelum mandi kolam,” katanya sebelum kedengaran bunyi yang sangat kuat.
“Suami saya tengok ke kiri ada budak jatuh sambil jerit, ‘Ada budak jatuh!’. Masa kami kalut jerit-jerit minta tolong orang lain, selang seminit budak lelaki pula jatuh,” tambahnya lagi.
Dia berkata suaminya telah menghubungi ambulans dan menjerit meminta tolong dari penghuni lain apabila insiden tersebut berlaku.
“Tak boleh lupa betapa cemasnya kami masa tu. Lepas tu baru ramai jiran-jiran lain semua turun. Sampai sekarang saya masih trauma teringat,” katanya.
Di ruangan komen, seorang wanita yang dikenali sebagai Rozima mendakwa dirinya sebagai penduduk di tingkat 13.
Katanya, kanak-kanak perempuan itu dikenali sebagai Puteri, manakala abangnya digelar Irfan.
“Maknya orang Indonesia. Selepas beberapa minit maknya turun, saya sempat peluk untuk bagi tenang. Maknya betul-betul dah tak boleh kawal,” katanya.
Sumber: Threads
Polis Sahkan Kejadian, Akan Keluarkan Kenyataan Rasmi Selepas Siasatan
Memetik laporan media, insiden menyayat hati itu berlaku di sebuah blok apartmen di Tampoi, Johor Bahru.
Kanak-kanak perempuan dilaporkan meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital, manakala kanak-kanak lelaki sedang menerima rawatan di ICU di Hospital Sultanah Aminah.
Kejadian turut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha apabila dihubungi pihak media.
Pun begitu, beliau tidak memberikan butiran lanjut dan berkata kenyataan rasmi akan dikeluarkan selepas siasatan dijalankan.