Jersi Pelé dari Final Piala Dunia 1958 Dijangka Bakal Cecah RM23.79 Juta di Lelongan
Pelé telah menjaringkan dua gol ketika perlawanan final Piala Dunia 1958 menentang Sweden merangkul Piala Dunia pertama Brazil.
- Jersi Pelé bernombor 10 dari final Piala Dunia 1958 dijangka dijual melebihi AS$6 juta (RM23.79 juta) di Sotheby's.
- Pelé, berusia 17 tahun ketika itu, menjadi pemain termuda dalam final Piala Dunia, rekod yang masih kekal hingga kini.
- Jersi ini pernah dilelong pada tahun 2004 dengan harga £59,000 sahaja, kini dijangka bernilai hampir 100 kali ganda.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Jersi yang dipakai oleh legenda bola sepak Brazil, Pelé, ketika final Piala Dunia 1958 dijangka akan dijual melebih AS$6 juta (RM23.79 juta) di rumah lelongan Sotheby’s.
Rumah lelongan itu bakal mengadakan event bertajuk The Beautiful Game dari 29 Jun hingga 16 Julai di New York sempena Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung tidak lama lagi di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Pelé atau nama sebenarnya Edson Arantes do Nascimento berusia 17 tahun ketika itu menyarung jersi bernombor 10 dalam perlawanan akhir menentang Sweden pada tahun 1958.

Baca Artikel Berkaitan: JDT Menyamai Rekod Dunia – 108 Perlawanan Tanpa Kalah Selepas Belasah Kelantan 14 – 1
Pemain Termuda Dalam Final Piala Dunia
Beliau telah menjaringkan dua gol ketika Brazil menewaskan tuan rumah (5-2) untuk merangkul gelaran Piala Dunia pertama mereka dan menamatkan kejohanan itu dengan enam gol dalam empat perlawanan.
Rekod tersebut menjadikan Pelé sebagai pemain termuda dalam final Piala Dunia yang masih kekal sehingga ke hari ini.
Jersi Berusia 68 Tahun Menjadi Legasi Seorang Legenda

Selepas perlawanan tersebut, Pelé telah menyerahkan jersinya kepada rakan sebiliknya, Didi.
Kemudian, jersi tersebut disimpan oleh keluarga Didi sebelum disumbangkan kepada Museu does Esportes Edvaldo Alves Santa Rosa di Brazil pada tahun 1993.
Jersi itu dilelong buat kali pertama di London pada tahun 2004 dengan harga sekitar £59,000 (RM315,992) dan hari ini lebih dua dekad kemudian ia dijangka akan dijual hampir 100 kali ganda nilai tersebut.
Memetik laporan dari The Guardian, Brendan Hawkes, Naib Presiden Strategi Sukan Sotheby’s berkata jersi itu masih dalam keadaan baik dengan warna biru masih kelihatan terang tidak pudar walaupun sudah berusia hampir 70 tahun.
Hawkes turut menyifatkan saiz jersi tersebut sangat kecil mencerminkan saiz tubuh Pelé yang masih remaja ketika itu.
Jersi Pelé Bukannya Jersi Paling Mahal Pernah Dilelong Oleh Sotheby’s

Menariknya sebelum ini Sotheby’s turut menawarkan jersi Hand of God, Diego Maradona dalam perlawanan Piala Dunia 1986 serta beberapa barangan milik pemain Argentina Lionel Messi dalam lelongan yang sama.
Jersi Maradona telah dijual pada harga AS$9.3 juta (RM36.88 juta) pada tahun 2022 merupakan rekod tertinggi bagi jersi bola sepak sehingga hari ini dan Sotheby’s menjangkakan jersi Pelé akan dijual sekitar harga sama.
Untuk pengetahuan umum, Pelé telah meninggal dunia pada Disember 2022 pada usia 82 tahun akibat kanser kolon dan pameran awam koleksi lelongan ini akan dibuka mulai 1 Julai di bangunan Sotheby’s Breuer, New York.
Rumah Lelongan Terkemuka, Sotheby’s Auction House

Ditubuhkan pada tahun 1744, ia merupakan rumah lelongan seni yang paling lama beroperasi dan paling diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan jualan tahunannya melebihi AS$7 bilion (RM27.8 bilion).
Rumah lelongan ini terkenal dengan rekod jualan artifak dimiliki oleh tokoh legenda dunia seperti koleksi dimiliki oleh Andy Warhol (1998), Jacqueline Kennedy Onassis (1996) dan David Bowie (2016).
Sotheby’s turut mencatatkan rekod jualan karya seni seperti lukisan Picasso, Garçon à la pipe pada harga AS$104.2 juta (RM414 juta) serta karya Andy Warhol, Silver Car Crash pada AS108.4 juta (RM430 juta).
Baca Artikel Berkaitan: Bakal Cipta Sejarah, Manchester United ‘Lamar’ Perodua
Baca Artikel Berkaitan: “Kuat Stamina Abang Ni!” – Sekumpulan Lelaki Kudung Main Bola Sepak Curi Perhatian
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



