Now Reading
Berkat Simpanan Ibu Sejak Kecil, 10 Beradik Capai Impian Tunai Haji Bersama

Berkat Simpanan Ibu Sejak Kecil, 10 Beradik Capai Impian Tunai Haji Bersama

Menurut anak keempat dari 10 beradik itu, Muhammad Huzair Zakhal, akaun Tabung Haji mereka telah dibuka oleh ibu yang mula menyimpan dengan memotong dari pendapatan sendiri.

In Brief
  • A mother saved as little as RM10 monthly into each child's Tabung Haji account from birth, ensuring all 10 children could eventually perform Hajj.
  • When some siblings lacked sufficient savings upon receiving their Hajj call, their mother selflessly offered to cover the shortfall so everyone could go together.
  • Performing Hajj together strengthened family bonds, with the siblings spending nearly 48 meaningful days together in the holy land.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Boleh dikatakan setiap umat Islam pasti menyimpan impian untuk menunaikan rukun Islam kelima, iaitu ibadah haji sekurang-kurangnya sekali seumur hidup mereka.

Namun kos untuk menjalankan ibadah itu bukanlah sedikit dan kebanyakan orang perlu menyimpan duit dengan lebih awal agar cita-cita mereka untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah dan Madinah tercapai.

Begitu juga dengan 10 adik-beradik ini yang berjaya mencapai impian menunaikan haji sekeluarga, berkat usaha dan didikan ibu sejak kecil lagi.

Baca Artikel Berkaitan: Tabung Haji Jadi Contoh Buat Thailand Untuk Wujudkan Simpanan Bagi Bakal Jemaah

Baca Artikel Berkaitan: Hajat Warga Emas Tercapai, Tunaikan Haji Pada Umur 90 Tahun Selepas 75 Tahun Menabung

Baca Artikel Berkaitan: Topik Ambil Pinjaman Bank Untuk Pergi Haji & Umrah Jadi Perdebatan Di Media Sosial

Ibu Mula Menyimpan RM10 Dalam Akaun Tabung Haji, Diteruskan Pula Oleh Anak-Anak

Memetik laporan media, anak keempat daripada 10 beradik itu, Muhammad Huzair Zakhal berkata, ibu bapa mereka telah menerapkan amalan menyimpan sejak kecil lagi bagi tujuan itu, sekali gus menjadikan perjalanan mereka lebih bermakna.

Sebaik sahaja dilahirkan, setiap daripada mereka akan dibuka akaun Tabung Haji, dan ibu akan memasukkan simpanan bagi setiap anak, bermula RM10 sebulan sebelum dinaikkan menjadi RM20.

“Mak yang mula simpan untuk kami semua. Dia potong daripada pendapatan sendiri, sedikit demi sedikit, sampai cukup jumlah untuk daftar haji bagi semua anak-anak pada 2009,” ujarnya.

Muhammad Huzair berkata, akaun Tabung Haji itu kemudiannya diserahkan kepada setiap anak untuk meneruskan simpanan sendiri, termasuklah duit raya yang diterima dan tidak pernah digunakan sama sekali.

“Sebenarnya duit raya kami dari kecil pun tidak digunakan. Semua disimpan dalam Tabung Haji. Hari ini itulah antara yang kami gunakan untuk menunaikan haji.

“Bila mak serahkan, kami pula sambung simpan. Walaupun sedikit, tetapi konsisten. Sampai akhirnya cukup untuk tunaikan haji,” katanya dipetik Awani.

Dalam masa sama, dia berkata perkara sama turut dilakukan olehnya untuk tiga orang anaknya yang telah dibukakan akaun Tabung Haji sejak kecil.

Mak Sanggup Bantu Walaupun Ada Yang Belum Cukup Simpanan Selepas Terima Panggilan Haji

Perjalanan mereka tidaklah datang dengan mudah kerana menurut Muhammad Huzair, masih terdapat antara adik-beradiknya yang belum mencukupi jumlah simpanan saat menerima panggilan menunaikan haji.

Namun pengorbanan ibu mereka tidak pernah terhenti apabila sanggup membantu agar kesemua anaknya dapat menunaikan haji bersama-sama.

Muhammad Huzair berkata, pengorbanan itu menjadi detik yang sangat menyentuh hati dan membuktikan kesungguhan ibu bapa dalam memastikan impian keluarga itu tercapai, lapor Awani.

“Ada yang rasa nak tangguh sebab simpanan belum cukup. Tetapi mak kata tak apa, mak sanggup bantu. Asalkan semua anak-anak dapat pergi haji bersama.

“Apa yang kami capai hari ini sebenarnya hasil pengorbanan mak ayah sejak awal lagi,” katanya.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Pexels)

Bukan disiplin menyimpan sahaja yang dipupuk oleh ibu bapa sejak kecil, tetapi juga didikan agama yang telah membentuk keluarga itu.

Muhammad Huzair menceritakan bagaimana mereka adik-beradik dibesarkan dalam suasana pembelajaran al-Quran dan hadis di rumah sementara ibu bapa sentiasa mengingatkan tentang keikhlasan dan tujuan sebenar beribadah.

“Mak selalu ingatkan, jaga niat. Kita datang untuk haji kerana Allah, bukan sebab nak tunjuk atau benda lain,” katanya.

Tunaikan Haji Bersama Eratkan Lagi Hubungan Adik-Beradik

Dalam masa sama, wakil kepada keluarga itu sempat mengulas serba sedikit mengenai pengalaman mereka menunaikan ibadah bersama-sama, yang begitu bermakna buatnya.

Perjalanan mereka di tanah suci juga mengeratkan lagi hubungan antara mereka serta pasangan yang turut ikut serta.

“Biasanya memang susah nak berkumpul lama sebab semua dah bekerja, ada keluarga sendiri. Tapi di sini, hampir 48 hari kita bersama. Itu satu nikmat yang tak dapat digambarkan.

“Bukan sahaja ibadah, tetapi hubungan antara adik-beradik dan pasangan pun semakin erat,” katanya yang turut berharap agar dapat menunaikan haji bersama keluarga besar pula suatu hari nanti.

Ini Tips Menabung Untuk Simpanan Haji Dalam Masa 10 Tahun

Kos haji sememangnya semakin meningkat dari tahun ke tahun dan dijangkakan akan meningkat sehingga RM64,200 menjelang tahun 2035.

Jika anda baru hendak mula menabung bagi ibadah haji selepas bekerja atau pada usia dewasa, jangan risau.

Perunding Unit Amanah, Faiz Zulfakar telah berkongsi tips menyimpan agar dapat mencapai jumlah simpanan diperlukan dalam masa 10 tahun.

Apa yang penting adalah lakukan simpanan secara konsisten ke dalam instrumen dengan faedah sekitar 8% agar dapat menikmati pulangan faedah lebih tinggi.

Jumlah simpanan bulanan juga perlu ditingkatkan setiap tahun agar dapat mengumpul sekitar RM72,000 dalam tempoh tersebut.

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Kongsi Tips Menyimpan Agar Dapat Tunaikan Haji Dalam 10 Tahun

Baca Artikel Berkaitan: Belanjawan 2026: Had Pengeluaran KWSP Untuk Tunai Haji Dinaikkan Kepada RM10,000

Baca Artikel Berkaitan: Wajib Jual Harta Yang Bukan Keperluan Untuk Tunai Haji, Tak Jual Berdosa – UAI [Video]


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd