Malaysia Cipta Sejarah, Julang Trofi Sulung Kuadran Piala Dunia Sepak Takraw
Sokongan ribuan penyokong tempatan di Stadium Titiwangsa menjadi pembakar semangat kepada skuad negara menewaskan India.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Malaysia mencipta sejarah selepas menjulang trofi sulung acara kuadran pada Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam.
Kejayaan itu berlaku selepas skuad negara menewaskan India 2 – 0 dalam aksi final yang berlangsung sengit, terutama pada set pertama apabila Malaysia terlebih dahulu berdepan tekanan awal.
Dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shahalril Aimian Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi, skuad negara turut mendapat suntikan semangat daripada 3,000 penyokong yang hadir memenuhi stadium.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Aksi Pelakon ‘Squid Game 2’ Hebat Main 3 Permainan Tradisional Malaysia Buat Ramai Kagum
Bangkit Semula Selepas Kesilapan Awal Perlawanan

Skuad sepak takraw negara menghadapi pelbagai ujian apabila beberapa kesilapan awal memberi ruang kepada India untuk mendahului 4-0 pada set pertama.
Namun, skuad kendalian Ahmad Jais Baharun berjaya kembali mendapatkan rentak semula dengan menyamakan kedudukan 5-5.
Selepas itu, perlawanan semakin ketat apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sehingga mata terikat 15-15.
Malaysia akhirnya melepaskan nafas lega dengan menutup set pertama dengan kemenangan 17-15.
Kemenangan Pada Set Kedua Berjaya Mencipta Sejarah Baru
Memasuki set kedua, Malaysia tampil lebih tersusun dan berjaya memberi tekanan kepada pasukan India.
Skuad negara mendahului 10-7 sebelum mengekalkan momentum untuk menamatkan perlawanan dengan 15-10 sekali gus mengesahkan Malaysia sebagai juara dunia acara kuadran buat kali pertama dalam kejohanan tersebut.
Kapten Pasukan Akui Saingan Tahun Ini Lebih Mencabar

Menurut laporan dari BERNAMA, Kapten pasukan, Amirul Zazwan mengakui laluan Malaysia dalam kejohanan kali ini bukan mudah sejak peringkat kumpulan lagi.
Katanya, pertemuan menentang India kali ini lebih mencabar berbanding saingan Piala Asia tahun lalu dan skuad negara telah menyesuaikan cara permainan terutama dalam aspek menerima servis pihak lawan untuk perlawanan ini.
Thailand Muncul Juara Acara Regu

Sementara itu, acara regu menyaksikan Thailand muncul juara selepas menewaskan Myanmar 2-1 dalam aksi final.
Thailand telah memenangi set pertama 15-8 sebelum Myanmar bangkit semula mengambil set kedua 15-13.
Namun, Thailand kembali menguasai set penentuan untuk menang 15-17 dan menamatkan kempen sebagai juara acara regu.
Bagi skuad negara, kejayaan dalam acara kuadran menjadi pencapaian penting dalam sejarah, lebih-lebih lagi apabila ia diraih di tanah air sendiri dengan sokongan kuat dari penyokong tempatan.
Baca Artikel Berkaitan: Tunggang Kuda Mainan? Ini Info Menarik Tentang Sukan Hobby Horsing Anda Mungkin Tak Tahu
Baca Artikel Berkaitan: Nak Cuba Main Sukan Pickleball? Ini Perkara Yang Anda Perlu Tahu
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



