Now Reading
AS Heret Tiga Pegawai Kanan TM Ke Mahkamah, Didakwa Seleweng Dana AS$20 Juta

AS Heret Tiga Pegawai Kanan TM Ke Mahkamah, Didakwa Seleweng Dana AS$20 Juta

Tertuduh Mohd Hafiz Lockman telah ditahan di lapangan terbang San Francisco, manakala Mohd Yuzaimi Yusof dan Khanh Thuong Nguyen menyerah diri kepada pihak berkuasa bulan lalu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Hari ini (20 Mei), media melaporkan tiga pegawai kanan di anak syarikat Telekom Malaysia (TM) di Amerika Syarikat (AS) diheret ke mahkamah.

Menurut Jabatan Kehakiman AS (DOJ), tiga individu iaitu Mohd Hafiz Lockman, Mohd Yuzaimi Yusof dan Khanh Thuong Nguyen, didakwa menyeleweng lebih AS$20 juta (RM79 juta) daripada syarikat telekomunikasi milik kerajaan Malaysia itu.

Ketiga-tiga mereka didakwa menggunakan kenyataan palsu dan rekod dipalsukan untuk menyalurkan dana syarikat secara haram serta memperdaya rakan niaga, pembekal, juruaudit dan penyelia di AS dalam pelbagai kejadian antara Julai 2020 hingga Februari 2026, lapor Berita Harian.

“Tiga individu ini didakwa menjalankan skim pecah amanah yang disengajakan dan terancang, termasuk memalsukan rekod korporat demi kepentingan kewangan sendiri,” kata Penolong Pengarah FBI yang bertanggungjawab, James C. Barnacle Jr.

Tertuduh Didakwa Melakukan Penipuan Wayar & Kecurian Identiti Berat

Menurut laporan Reuters, Mohd Hafiz ditahan di lapangan terbang San Francisco, manakala dua lagi tertuduh menyerah diri kepada pihak berkuasa bulan lalu.

Menurut DOJ, mereka didakwa atas pertuduhan konspirasi penipuan wayar, penipuan wayar dan kecurian identiti berat.

Berita Harian bagaimanapun berkata mereka tidak dapat menghubungi Mohd Hafiz, Mohd Yuzaimi dan Nguyen bagi mendapatkan komen, serta masih menunggu maklum balas TM bagi mendapatkan kenyataan.

Dakwaan Tidak Dikenakan Ke Atas TM, Syarikat Beri Kerjasama Penuh

Mengulas lanjut, DOJ berkata dakwaan tidak dikenakan ke atas TM selepas syarikat itu melaporkan sendiri salah laku jenayah berkenaan dan bersetuju untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

Memetik laporan MalayMail, TM berkata ia akan meneruskan kerjasama penuh dengan DOJ berkaitan bekas pekerjanya di TM USA Inc.

Dalam satu kenyataan, TM memaklumkan siasatan dalaman telah dijalankan ke atas individu berkaitan akibat kecurigaan salah laku sehingga menyebabkan pemecatan mereka.

“Maklumat dari siasatan itu kemudian dikongsi bersama pihak berkuasa berkaitan. Perkara itu kini di bawah siasatan DOJ dan mahkamah AS,” katanya.

Tertuduh Didakwa Jual Lebihan Kapasiti Kepada Syarikat Lain, Tingkatkan Kos Pembelian Kabel

Menurut pertuduhan mahkamah, tiga defendan itu didakwa menyalurkan jutaan dolar daripada TM ke akaun bank di bawah kawalan mereka.

Memetik satu kejadian, mereka didakwa menjual lebihan kapasiti kepada syarikat lain dan menyalurkan hasil jualan haram itu melalui entiti palsu.

Mereka sebelum itu telah meminta TM meluluskan penjualan kapasiti lapan terabait (TB) kepada sebuah syarikat multinasional AS bernilai AS$54 juta (RM214 juta), sedangkan hanya enam TB sebenarnya dibeli.

Selain itu, mereka dituduh meningkatkan kos pembelian kabel dan mengalihkan hampir AS$2.9 juta (RM11.5 juta) pembayaran ke akaun bank yang mereka kawal.

DOJ berkata ketiga-tiga defendan turut membuat tuntutan bayaran balik bagi perbelanjaan kerja yang direka dan tidak wujud.

Mereka juga didakwa menyamar sebagai pekerja dan pelatih bagi mendapatkan gaji mereka, malah dalam satu kejadian menggunakan penyamar berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk memperdaya kakitangan sumber manusia, lapor BH.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd