Rafizi Ramli & Nik Nazmi Umum Keluar PKR, Ambil Alih Parti Bersama Malaysia
Dalam masa sama, kedua-dua bekas menteri itu juga mengumumkan akan mengosongkan kerusi parlimen mereka hari ini (18 Mei) bagi menyerahkan kembali mandat rakyat yang dimenangi di Pilihan Raya Umum ke-15.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, mengumumkan perletakan jawatan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) sementara memulakan arah tuju politik baharu dengan mengambil alih Parti Bersama Malaysia.
Perkara itu diumumkan semalam (17 Mei) ketika majlis Pengumuman Hala Tuju Politik Rafizi dan Nik Nazmi, yang mana mereka turut memaklumkan bakal mengosongkan kerusi parlimen masing-masing hari ini (18 Mei)
“Sejak setahun lalu, kami meneliti pelbagai parti kecil sedia ada sebelum memilih Parti Bersama Malaysia (Bersama) sebagai platform paling sesuai dengan aspirasi yang mahu dibawa,” katanya dipetik Awani.
Tambah kedua-dua bekas menteri itu, mereka akan menulis secara rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul hari ini berkenaan perletakan jawatan sebagai ahli parlimen Pandan dan Setiawangsa.
Mereka juga berkata akan menyerahkan surat perletakan jawatan rasmi kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, hari ini.
Namun Dr Fuziah menjelaskan bahawa keanggotaan kedua-dua bekas menteri itu sudah pun tergugur selepas mereka mengisytiharkan akan keluar dari parti tersebut.
Rafizi & Nik Nazmi Tegaskan Mereka Tidak Lompat Parti
Dalam masa sama, Rafizi dan Nik Nazmi menegaskan bahawa keputusan itu tidak dianggap sebagai satu bentuk ‘lompat parti’ kerana mereka sanggup menyerahkan mandat yang dimenangi ketika bertanding di bawah PKR dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15.
“Tuntutan mahkamah atau bon PKR hanya diguna pakai jika kami meninggalkan parti dan menyertai yang lain sementara mengekalkan jawatan Ahli Parlimen. Sebelum ini, tiada Ahli Parlimen yang sanggup mengosongkan kerusi mereka.
“Semua orang mahu menjadi Ahli Parlimen tetapi juga mahu bertukar parti. Apa yang kami lakukan hari ini adalah mengosongkan kerusi kami dan mengembalikan mandat kepada rakyat,” jelas Rafizi.
Namun mereka menjelaskan akan terus berkhidmat untuk komuniti konstitusi masing-masing walaupun setelah mengosongkan kerusi sebagai Ahli Parlimen.
Rafizi Percaya Ahli Parlimen Lain Juga Akan Membuat Keputusan Serupa Kelak
Rafizi berkata beliau mempercayai bahawa ahli parlimen lain juga akan mempertimbangkan keputusan serupa setelah platform politik baharu diwujudkan.
Pun begitu, beliau menerangkan bahawa Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) berkenaan anti lompat parti akan menjadi kekangan utama.
“Sebab inilah mengapa saya dan Nik perlu membuka jalan dahulu dengan menubuhkan dan menyediakan platform ini. Keputusan seterusnya bergantung kepada wakil rakyat terpilih yang lain,” katanya dipetik MalayMail.
Tambah Rafizi lagi, Bersama juga sedia untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya akan datang sekiranya terdapat keperluan.
Dalam satu laporan media, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen memberi bayangan bahawa dia akan meninggalkan PKR untuk menyertai Bersama.
“Jika saya memutuskan untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang, saya akan bertanding sebagai calon Bersama,” katanya dipetik Scoop.
Parti Bersama Malaysia Telah Berdaftar Sejak 2016
Memetik Awani, Parti Bersama Malaysia yang didaftarkan pada Disember 2016 merupakan sebuah parti politik kecil yang berpangkalan di Pulau Pinang.
Matlamat utamanya adalah untuk “menjadi kuasa ketiga selain memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan serta blok pembangkang”.
Rafizi berkata, Bersama mahu mewujudkan budaya politik baharu, di mana calon muda dan berpengalaman diketengahkan, yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Parti tersebut telah diasaskan oleh Tan Gin Theam yang pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kerusi Parlimen Bukit Bendera dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih. Namun tewas kepada wakil DAP-PH dan kehilangan deposit.

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



