“Kerajaan Tak Perlu Tergesa-Gesa Laksana Subsidi Bersasar Sepenuhnya” — Prof Barjoyai
Pengelasan pendapatan seperti B40, M40 dan T20 belum cukup untuk menilai kemampuan sebenar kos sara hidup rakyat.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pelaksanaan subsidi bersasar bukanlah perkara mudah kerana ia melibatkan jutaan rakyat dengan latar belakang kewangan yang berbeza.
Walaupun kategori seperti B40, M40 dan T20 sering digunakan sebagai rujukan, kemampuan individu sebenarnya tidak boleh dinilai melalui pendapatan kasar semata-mata.
Faktor lain seperti kos sara hidup, lokasi tempat tinggal, jumlah tanggungan, beban hutang dan pendapatan boleh guna perlu diambil kira sebelum subsidi dapat disasarkan dengan lebih adil.
Baca Artikel Berkaitan: Kerajaan Cadang Kurangkan Lagi Kuota BUDI95 Kepada 150 Liter
Risiko Menanggung Kos Tambahan Sebanyak RM5 Bilion Setahun

Menurut laporan dari Berita Harian, penganalisis ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, kerajaan dianggarkan boleh menanggung kos tambahan sekitar RM5 bilion setahun jika dasar subsidi dibuat tanpa pengelasan pendapatan yang lebih terperinci.
Katanya, jumlah itu termasuk subsidi yang mungkin masih dinikmati golongan berpendapatan tinggi sekiranya sistem pengelasan terlalu umum.
Dalam kata mudah, bantuan yang sepatutnya disalurkan kepada golongan memerlukan berisiko turut dinikmati mereka yang lebih berkemampuan.
Kategori Kelas Pendapatan Belum Cukup Tepat

Barjoyai turut menjelaskan pengelasan seperti B40, M40 dan T20 belum mampu mencerminkan kedudukan sebenar rakyat Malaysia.
Ini kerana dua individu dalam kumpulan pendapatan sama boleh mempunyai keadaan hidup yang sangat berbeza.
Sebagai contoh, seseorang yang tinggal di bandar besar dengan kos sara hidup tinggi mungkin berdepan tekanan kewangan lebih besar berbanding individu berpendapatan sama di kawasan kos hidup lebih rendah.
Selain itu, jumlah tanggungan, komitmen hutang, sewa rumah dan baki pendapatan selepas perbelanjaan bulanan turut memberi kesan kepada kemampuan sebenar seseorang.
Tidak Perlu Tergesa-Gesa Untuk Melaksanakan Subsidi Bersasar
Bagaimanapun, Barjoyai berpendapat kerajaan tidak perlu tergesa-gesa melaksanakan subsidi bersasar sepenuhnya kerana proses mengumpul data lengkap mengambil masa, walaupun usaha memperkukuh pangkalan data sudah dilakukan.
Menurutnya, masih ada kekurangan maklumat terutama berkaitan tempat tinggal dan komitmen kewangan individu.
Jadi dalam tempoh peralihan, kerajaan boleh meneruskan pendekatan sedia ada sementara sistem data diperbaiki agar pelaksanaan subsidi lebih tepat pada masa akan datang.
Memberi Tumpuan Untuk Mengurangkan Salah Guna Subsidi
Pada masa sama, kos tambahan RM5 bilion itu masih boleh diimbangi jika kerajaan berjaya mengurangkan ketirisan dan salah guna subsidi.
Antara isu yang perlu diberi perhatian termasuk penyeludupan serta pemberian subsidi kepada pihak yang tidak sepatutnya, termasuk bukan warga negara.
Jika perkara ini dapat dikawal, penjimatan yang diperoleh kerajaan berpotensi melebihi RM5 bilion. Ini bermakna tumpuan bukan sahaja perlu diberikan kepada siapa yang layak menerima subsidi, tetapi juga bagaimana memastikan bantuan itu tidak bocor kepada pihak tidak sepatutnya.
Cadangan Memperkenalkan Cukai Sementara

Selain memperkemas sistem subsidi, Barjoyai turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan cukai sementara terhadap sektor yang meraih keuntungan besar.
Antara sektor yang disebut termasuk minyak dan gas, sawit serta semikonduktor.
Menurut beliau, pendekatan ini pernah dilaksanakan sebelum ini ketika harga komoditi seperti getah dan sawit meningkat. Langkah tersebut dilihat boleh membantu menambah hasil kerajaan tanpa memberi kesan langsung yang besar kepada rakyat.
Mencari Keseimbangan Antara Penjimatan & Kebajikan
Isu subsidi bersasar bukan sekadar tentang mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
Ia juga berkait dengan keadilan, ketepatan data dan usaha memastikan bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.
Jika dilaksanakan terlalu lambat, kerajaan mungkin terus menanggung kos tinggi. Namun jika dibuat terlalu cepat tanpa data lengkap, ada rakyat yang layak pula berisiko tercicir.
Sebab itu, pelaksanaan subsidi bersasar perlu dibuat secara berhati-hati, berperingkat dan berpandukan data yang lebih menyeluruh.
Baca Artikel Berkaitan: “Ini Dah Kira Salah Guna” – Lelaki Dikritik Jual Subsidi RON95 RM2.70 Seliter
Baca Artikel Berkaitan: Kurangkan Kuota BUDI95, Inisiatif BDR Antara Langkah Kerajaan Dalam Berdepan Krisis Tenaga
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



