Thailand Bakal Memendekkan Tempoh Bebas Visa Kepada 30 Hari Untuk 93 Negara, Termasuk Malaysia
Cadangan itu dibuat oleh Menteri Luar Thailand susulan kebimbangan penyalahgunaan oleh pelancong asing.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Thailand sering menjadi pilihan ramai orang tempatan untuk bercuti kerana lokasinya, kos percutian dengan harga berpatutan serta pelbagai tarikan pelancongan yang menarik.
Tambah pula dengan kemudahan bebas visa memudahkan kita merancang perjalanan untuk meneroka lebih banyak lokasi dalam satu percutian.
Bagaimanapun, kerajaan Thailand dilaporkan bakal mengurangkan tempoh tinggal tanpa visa bagi pelancong dari 93 negara termasuk Malaysia daripada 60 hari kepada 30 hari.
Baca Artikel Berkaitan: Ramai Lelaki Kelantan Pilih Wanita Thailand Jadi Pasangan Hidup
Membuka Cadangan Untuk Memendekkan Tempoh Bebas Visa Pelancong

Menurut laporan dari Reuters, pada Selasa lalu (12 Mei) Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow berkata bahawa Kementerian Luar Negeri akan mengemukakan pelan kepada Kabinet untuk meluluskan pengurangan tempoh tinggal tanpa visa bagi pelancong di Thailand.
Walau bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan bila cadangan berkenaan akan mula dilaksana sekiranya diluluskan.
Untuk pengetahuan umum, Thailand sebelum ini membenarkan pelancong dari 93 negara tinggal tanpa visa sehingga 60 hari sejak Julai 2024.
Kebimbangan Terdapat Salah Guna Untuk Tujuan Selain Pelancongan
Cadangan memendekkan tempoh bebas visa itu dibuat susulan kebimbangan pihak berkuasa Thailand terhadap penyalahgunaan kemudahan berkenaan.
Tempoh tinggal 60 hari sebelum ini dikhuatiri akan disalah guna oleh segelintir individu untuk tujuan selain pelancongan serta bertujuan membantu pihak berkuasa mencegah aktiviti jenayah melibatkan warga asing.
Selain tempoh bebas visa, pihak berkuasa Thailand dijangka akan meneliti jenis visa lain dengan lebih ketat bagi memastikan setiap individu yang memasuki ke negara itu benar-benar mematuhi tujuan visa digunakan.
Thailand Merekodkan Penurunan Pelancong Sebanyak 3.43% Berbanding Tahun Lalu

Umum mengetahui sektor pelancongan masih menjadi antara penyumbang penting kepada ekonomi Thailand.
Dari 1 Januari hingga 10 Mei 2026, Thailand telah menerima 12.4 juta pelancong asing.
Sebagai perbandingan, ketibaan pelancong ke negara ini pernah mencecah hampir 40 juta orang pada 2019.
Ini 5 Tempat Kids-Friendly Yang Boleh Anda Bawa Keluarga Bercuti Di Thailand
Walaupun cadangan tempoh bebas visa Thailand masih menunggu kelulusan, negara ini masih kekal menjadi destinasi percutian yang menarik untuk bawa keluarga kerana mempunyai banyak lokasi, kemudahan dan aktiviti sesuai untuk kanak-kanak.
Pilihan ini sesuai kepada mereka yang sedang merancang percutian keluarga semasa musim sekolah nanti. Ini antara lokasi yang boleh anda pertimbangkan di Thailand:
#1. Chiang Mai

Terletak di utara Thailand, Chiang Mai sangat sesuai jika anda mahukan percutian yang lebih santai sambil mengenali budaya dan sejarah Thailand sambil menikmati pelbagai makanan menyelerakan.
Selain itu, kawasan ini menjadi pintu masuk ke beberapa taman negara yang bakal membuatkan anak-anak anda teruja seperti melihat air terjun, berjalan-jalan menikmati suasana alam sekitar dan macam-macam lagi.
#2. Ayutthaya

Ayutthaya pula sesuai untuk mengajar anak-anak tentang sejarah dan budaya lama kerajaan Siam.
Dahulu merupakan bandar terbesar dunia sebelum dipindahkan ke Bangkok, kawasan Warisan Dunia UNESCO ini dipenuhi dengan peninggalan sejarah Siam yang boleh diterokai bersama keluarga.
#3. Kanchanaburi

Tempat ini menggabungkan sejarah, aktiviti luar yang sesuai untuk seisi keluarga. Contohnya seperti melawat Taman Negara Erawan terkenal dengan laluan hiking dan air terjun bertingkat.
#4. Krabi

Krabi sangat sesuai untuk keluarga yang ingin menikmati pantai dan aktiviti air.
Selain menjadi lokasi transit popular untuk ke pulau-pulau berdekatan, kebanyakan pantai di sini mudah diakses dan banyak aktiviti bersama keluarga boleh dilakukan seperti berkayak atau melihat tarikan alam semula jadi.
#5. Koh Phi Phi

Ingin bawa keluarga menikmati pulau menakjubkan yang susah untuk mereka lupakan? Boleh bawa mereka ke sini.
Koh Phi Phi terkenal dengan air laut jernih dan pantai berpasir putih menawarkan aktiviti seperti snorkeling, hiking dan macam-macam lagi. Memang seronok untuk habiskan masa anda di sini.
Baca Artikel Berkaitan: Bercuti Ke Hat Yai Dengan Bajet RM450. Puas Makan & Berjalan!
Baca Artikel Berkaitan: 3 Jenama Terkenal Thailand Kini Berada Di Pavilion Bukit Jalil
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



