Kerajaan Cadang Kurangkan Lagi Kuota BUDI95 Kepada 150 Liter
Memetik data penggunaan semasa, Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, 60% daripada populasi menggunakan kurang daripada 150 liter petrol RON95.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kerajaan sebelum ini telah mengurangkan kuota subsidi petrol RON95 di bawah program BUDI95 kepada 200 liter berbanding kuota asal 300 liter akibat kenaikan harga bahan api global.
Walaupun begitu, harga subsidi masih dikekalkan pada kadar RM1.99 seliter meskipun negara berdepan krisis bahan api global.
Terbaharu, kuota tersebut mungkin dikurangkan lagi kepada 150 liter sebulan bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan api di dalam negara.
Baca Artikel Berkaitan: Kurangkan Kuota BUDI95, Inisiatif BDR Antara Langkah Kerajaan Dalam Berdepan Krisis Tenaga
Baca Artikel Berkaitan: Perang Asia Barat: RON95 Bersubsidi Kekal RM1.99 Seliter Walau Berdepan Krisis Global
Data Dapati 60% Populasi Guna Kurang 150 Liter RON95
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, berkata data penggunaan menunjukkan bahawa sebahagian besar rakyat Malaysia menggunakan petrol RON95 jauh di bawah kuota 200 liter bulanan yang ditetapkan buat masa ini.
“Walaupun berlaku pengurangan, kesannya kepada majoriti rakyat didapati amat minimum apabila data menunjukkan kira-kira 80% rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan.
“Langkah seterusnya ialah 150 liter. Sebanyak 60% daripada populasi menggunakan kurang daripada 150 liter. Malah, 50% daripada populasi menggunakan kurang daripada 100 liter,” katanya dipetik Berita Harian.
Golongan Berpendapatan Rendah Perlu Dilindungi Menerusi Pemberian Kadar Subsidi Tinggi
Tambah Chin Tong lagi, penting untuk melindungi golongan berpendapatan rendah dan pengguna motosikal yang dijangkakan akan paling terkesan dengan peningkatan harga bahan api secara mendadak.
Beliau menjelaskan bahawa golongan pengguna motosikal dianggarkan hanya menggunakan 50 liter petrol sebulan.
Katanya, golongan ini perlu terus menikmati kadar subsidi tinggi bagi mengelakkan tekanan kos sara hidup yang lebih besar.
Menurut BH, kerajaan telah membelanjakan subsidi bahan api hampir 10 kali ganda lebih tinggi apabila harga minyak mentah melonjak disebabkan oleh konflik geopolitik Asia Barat sejak Februari.
Kerajaan Teliti Cadangan Tarik Subsidi Dari T20, Ahli Ekonomi Tidak Setuju
Semalam (11 Mei), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kerajaan sedang meneliti cadangan untuk mengecualikan golongan berpendapatan tinggi daripada subsidi petrol RON95 sepenuhnya.
Namun ahli ekonomi, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, mencadangkan agar penarikan subsidi itu dimulakan dengan sub-kumpulan terkaya (T1).
Pun begitu, beberapa ahli ekonomi berpendapat melakukan pengecualian berdasarkan pendapatan semata-mata mengetepikan realiti yang dihadapi banyak isi rumah.
Konsultan di Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, berkata polisi terbaik bukan untuk menghukum berdasarkan jumlah pendapatan, sebaliknnya yang mengurangkan pembaziran, melindungi keperluan dan mengekalkan kepercayaan masyarakat umum.
Katanya, kaedah yang lebih adil adalah dengan menjalankan sistem bertingkat (tier) atau berasaskan kuota.
Menerusi sistem sedemikian, semua rakyat negara diberi akses kepada kuota subsidi petrol asas bagi pergerakan penting dan dikenakan harga menghampiri kadar pasaran bagi penggunaan lain.
Baca Artikel Berkaitan: “Kerajaan Tak Dapat Tanggung Subsidi Selamanya” – Prof Jomo Kwame Kongsi Impak Krisis Iran-AS
Baca Artikel Berkaitan: Anwar Ibrahim Kecam Pembunuhan Khamenei, Sifatkan Asia Barat Di Ambang Krisis Besar
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



