Now Reading
Malaysia Cipta Sejarah! Semua Wakil Berjaya Rangkul Pingat Di Olimpiad Matematik Balkan

Malaysia Cipta Sejarah! Semua Wakil Berjaya Rangkul Pingat Di Olimpiad Matematik Balkan

Seramai enam wakil Malaysia di Olimpiad Matematik Balkan (BMO) 2026 masing-masing berjaya membawa pulang dua pingat Perak dan empat pingat Gangsa.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Buat kebanyakan pelajar, matematik bukanlah satu subjek yang mudah. Tak kurang juga ramai yang gagal dalam mata pelajaran matematik tambahan ketika di sekolah menengah!

Namun perkara ini tidak menjadi halangan terhadap sesetengah pihak untuk meningkatkan pencapaian matematik Malaysia setara dengan negara-negara lain di seluruh dunia.

Tahun ini, Malaysia sekali lagi mencipta sejarah apabila kesemua peserta di Olimpiad Matematik Balkan (BMO) 2026 berjaya membawa pulang pingat.

Malaysia Rangkul 2 Pingat Perak & 4 Gangsa Di BMO 2026

Pertandingan bertaraf antarabangsa yang dijalankan di Thessaloniki, Greece itu telah disertai oleh enam wakil Malaysia dengan bakat matematik luar biasa.

Kejayaan mereka dalam merangkul anugerah membuktikan peningkatkan ekosistem Olimpiad Matematik di Malaysia dan menjadi kebanggaan negara.

Enam wakil Malaysia dan pingat yang dibawa pulang adalah:

Penerima pingat Perak

  • Brandon Choo Sze How (Garden International School Kuala Lumpur)
  • Jadon Lim Hao Enn (SMK (L) Methodist Kuala Lumpur)

Penerima pingat Gangsa

  • Kong Hoi Mun (Pin Hwa High School)
  • Travis Sow (Chung Ling Private High School)
  • Avan Lim Zenn Ee (Taylor’s College)
  • Ng Kai Jack (Kolej Tuanku Ja’afar)

Delegasi dari Malaysia ini telah diketuai oleh Ivan Chan Kai Chin yang dibantu, Muhammad Zafree Bin Zaharidan, merangkap Pengerusi Jawatankuasa IMO Malaysia.

Masalah Matematik Di Olimpiad Berbeza Dengan Soalan Biasa Di Peringkat Sekolah

Buat anda yang tidak tahu, BMO 2026 merupakan salah satu pertandingan matematik antarabangsa yang berprestij tinggi.

Masalah matematik yang disajikan di pertandingan itu bukanlah calang-calang, tetapi amat mencabar dan memerlukan kreativiti, penaakulan logik dan kemahiran menyelesaikan masalah yang tinggi, jauh beza dengan apa yang diajar di sekolah.

Olimpiad Matematik Malaysia dalam satu kenyataan berkata keenam-enam wakil negara itu telah dipilih menerusi laluan Olimpiad Matematik yang bermula dengan International Mathematical Olympiad National Selection Test (IMONST).

Mereka kemudiannya perlu melalui latihan, persediaan dan penilaian di peringkat kebangsaan sebelum melayakkan diri untuk ke pentas dunia.

Menurut Zafree, kejayaan ini merupakan satu pencapaian yang berharga buat subjek matematik di Malaysia.

“Kejayaan ini bukan sekadar pingat. Ia adalah hasil dari kerja keras, pengorbanan, disiplin dan usaha bersama pelajar, pelatih, pendidik dan keluarga selama bertahun lamanya yang percaya dengan perkembangan Olimpiad Matematik di Malaysia.

“Pelajar kami telah membuktikan bahawa rakyat Malaysia boleh berdiri dengan bangga di pentas dunia apabila diberi peluang dan bimbingan yang betul,” katanya.

Kejayaan Di BMO 2026 Sebagai Simbol Kecekalan & Ekosistem Pendidikan Kuat

Dalam masa sama, penghargaan turut diberikan kepada Ivan atas kepemimpinan dan dedikasinya yang memainkan peranan penting dalam perjalanan enam delegasi Malaysia itu.

Zafree juga mengucapkan terima kasih kepada kumpulan pelatih dan mentor yang tidak henti memupuk, membimbing dan mengasah bakat matematik kesemua pelajar terlibat sehingga mencapai pencapaian di peringkat dunia itu.

Olimpiad Matematik Malaysia berkata kejayaan di BMO 2026 menjadi simbol hebat tentang pencapaian yang boleh digapai oleh pelajar Malaysia menerusi kecekalan dan ekosistem pendidikan yang kuat.

Malaysia Di Kedudukan-33 Di IMO 2024, Kedua Terhebat Di ASEAN

Malaysia sebelum ini telah mencipta sejarah apabila kesemua enam peserta Olimpiad Matematik Antarabangsa menerima pingat pada tahun 2024.

Malah, wakil Malaysia ketika itu juga berjaya menyelesaikan sepenuhnya Masalah 1 dan Masalah 4 daripada keseluruhan enam soalan buat pertama kali.

Dengan pencapaian tersebut, Malaysia berada di kedudukan kedua dalam kalangan negara ASEAN pada tahun 2024, bersama Vietnam dan di belakang Singapura.

Malaysia juga berada di kedudukan ke-33 IMO 2024 daripada kesemua 108 negara yang mengambil bahagian. Sebagai perbandingan, Singapura berada di tangga keenam dalam pertandingan tersebut.

Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Cipta Sejarah Di Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa 2024, Kesemua Wakil Negara Terima Pingat

Baca Artikel Berkaitan: Soalan Matematik Terlalu Sukar, Ramai Kurang Setuju Silibus KBAT Untuk Murid Sekolah Rendah


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd