Now Reading
AirAsia Tempah 150 Pesawat Airbus A220 Bernilai USD19 Bilion, Fokus Perkukuh Laluan Global

AirAsia Tempah 150 Pesawat Airbus A220 Bernilai USD19 Bilion, Fokus Perkukuh Laluan Global

Persediaan masa hadapan menerusi A220-500 sebagai pengganti pesawat A320 dengan kapasiti setanding melebihi 180 tempat duduk.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


AirAsia X Berhad (AAX / Kumpulan AirAsia) mencipta sejarah baharu dalam industri penerbangan apabila memeterai perjanjian pembelian 150 pesawat Airbus A220-300 bernilai kira-kira USD19 bilion berdasarkan harga senarai.

Lebih menarik, perjanjian itu turut merangkumi pilihan tambahan sehingga 150 pesawat lagi, sekali gus membuka ruang kepada AirAsia untuk memperluaskan armada kepada 300 pesawat keluarga Airbus A220 pada masa hadapan.

Tempahan tersebut kini menjadi tempahan terbesar dunia bagi pesawat Airbus A220 oleh mana-mana syarikat penerbangan.

AirAsia Jadi Pengendali Pertama Konfigurasi Baharu 160 Tempat Duduk

Pengumuman rasmi dibuat dalam satu majlis di fasiliti Airbus di Mirabel, Kanada yang turut dihadiri Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Penasihat AirAsia Group serta Lars Wagner, Ketua Pegawai Eksekutif Airbus Pesawat Komersial.

Turut hadir ialah Perdana Menteri Kanada, Mark Carney dan Premier Quebec, Christine Fréchette.

Menerusi tempahan itu, AirAsia turut mencipta sejarah sebagai syarikat penerbangan pertama yang bakal mengoperasikan konfigurasi baharu 160 tempat duduk bagi pesawat Airbus A220.

Menurut AirAsia, konfigurasi tersebut dibangunkan untuk meningkatkan kecekapan operasi selain membantu syarikat mengoptimumkan keuntungan di laluan dengan permintaan sederhana.

Pesawat A220 juga dilihat sebagai persediaan jangka panjang AirAsia untuk beralih kepada model operasi pesawat badan sempit dengan kadar penggunaan tinggi.

Lebih Jimat Bahan Api, Kurang Pelepasan Karbon

Selain kapasiti yang lebih fleksibel, pesawat Airbus A220 turut menawarkan kelebihan dari segi penjimatan bahan api dan pelepasan karbon.

AirAsia memaklumkan pesawat itu menggunakan sekitar 20% kurang bahan api serta menghasilkan kira-kira 20% kurang pelepasan karbon berbanding Airbus A320ceo.

Pesawat tersebut juga mampu terbang sehingga tujuh jam, sekali gus membuka peluang kepada AirAsia untuk meneroka lebih banyak laluan baharu di Asia dan rantau lain.

Dalam masa sama, AirAsia turut merancang penggunaan A220-500 pada masa hadapan sebagai pengganti kepada pesawat A320 dengan kapasiti melebihi 180 tempat duduk.

Fokus Tingkat Kekerapan Penerbangan Dan Hubungkan Lebih Banyak Destinasi

AirAsia berkata pesawat A220 memainkan peranan penting dalam strategi baharu syarikat untuk meningkatkan kekerapan penerbangan di laluan utama sedia ada.

Langkah itu dijangka memberikan lebih banyak pilihan waktu penerbangan kepada penumpang selain memperkukuh rangkaian Fly-Thru syarikat.

Kapasiti pesawat yang lebih kecil berbanding pesawat badan sempit lain turut membolehkan AirAsia memasuki pasaran baharu yang sebelum ini kurang berdaya saing dari segi komersial.

Ini termasuk hab sekunder dan laluan dengan permintaan sederhana tetapi berpotensi berkembang.

“Kami Akan Lakukannya Untuk Dunia” — Bo Lingam

Foto: AirAsia

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Bo Lingam berkata syarikat itu telah menghabiskan lebih dua dekad untuk memperkukuh hubungan penerbangan di seluruh Asia.

Menurut beliau, tempahan baharu tersebut akan membantu AirAsia membina rangkaian tambang rendah yang lebih besar dan komprehensif di peringkat global.

“Kami telah mendemokrasikan perjalanan udara di Asia dengan membuka laluan yang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan, dan kini kami akan melakukannya untuk dunia.”

Beliau turut berkata jarak penerbangan sehingga tujuh jam membolehkan AirAsia mengoptimumkan kapasiti berdasarkan permintaan selain menawarkan fleksibiliti lebih baik kepada penumpang menerusi peningkatan kekerapan penerbangan.

Tony Fernandes: AirAsia Bersedia Untuk Fasa Pertumbuhan Baharu

Sementara itu, Tan Sri Tony Fernandes menyifatkan tempahan tersebut sebagai langkah penting untuk memperkukuh daya tahan operasi AirAsia dalam persekitaran kos bahan api yang tinggi dan pasaran global yang tidak menentu.

Menurut beliau, Airbus A220 mampu mengurangkan kos operasi serta meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api.

“A220 merupakan aset ideal untuk fasa pertumbuhan seterusnya, membolehkan kami membina rangkaian syarikat penerbangan tambang rendah sebenar yang pertama di dunia.”

Tony turut menjelaskan kerjasama lebih dua dekad bersama Airbus menjadi antara faktor utama kejayaan AirAsia sehingga hari ini.

Penghantaran Bermula 2028

Penghantaran pesawat Airbus A220 dijangka bermula seawal tahun 2028.

Pesawat itu bakal digunakan untuk laluan di seluruh Asean dan Asia Pasifik, manakala pesawat Airbus A320 dan A321 akan memberi fokus kepada laluan jarak sederhana.

Dalam masa sama, Airbus A330 pula akan terus digunakan bagi penerbangan jarak jauh melibatkan Eropah, Australia dan Amerika Utara.

Perubahan nama daripada AirAsia X Berhad kepada AirAsia Group Berhad masih tertakluk kepada kelulusan pemegang saham serta pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd