Kenapa Semakin Ramai M40 Sukar Memiliki Rumah?
Di atas kertas, dilihat paling stabil, namun realitinya mereka sahaja tahu.
Memiliki rumah pernah dianggap sebagai antara pencapaian paling asas bagi golongan M40.
Namun, saban hari impian tersebut terasa semakin jauh.
Bukan kerana tidak mempunyai pendapatan, tetapi beberapa faktor seperti harga rumah, kos pemilikan dan syarat pinjaman semakin tidak seiring dengan realiti gaji.
Sering digambarkan sebagai ‘invisible middle class’, M40 tersekat di tengah-tengah. Terlalu layak untuk menerima bantuan subsidi, tetapi belum cukup kukuh untuk bersaing dengan pasaran hartanah bandar.
Tidak Semua M40 Di Negara Hidup Dalam Keadaan Selesa
Secara keseluruhan, M40 merangkumi 40% isi rumah di Malaysia. Menurut Department of Statistics Malaysia, golongan ini memegang sekitar 38.2% pendapatan negara, berbanding 45.1% bagi kumpulan T20.
Dalam kelompok M40 pula, segmen bawah seperti M1 dan M2 adalah antara yang paling terdedah kepada tekanan kewangan.

Malah, ketika pandemik, sekitar 20% isi rumah M40 mengalami penurunan pendapatan sehingga ada yang tergelincir ke kategori B40.
Walaupun anda berada di status M40, tidak semestinya anda selamat.
Harga Rumah Semakin Meningkat Tidak Selari Dengan Kadar Gaji Pendapatan

Masalah utama dalam isu ini bermula apabila harga rumah tidak lagi selari dengan pendapatan. Bagi M40 bawah, pendapatan median bulanan dianggarkan sekitar RM5,250.
Berdasarkan kiraan kemampuan, harga rumah yang sesuai untuk golongan ini sepatutnya berada sekitar RM300,000 hingga RM450,000.
Namun, purata harga rumah dianggarkan sekitar RM502,922. Di ibu kota, angkanya sudah melepasi RM810,000. Manakala, negeri Selangor mencatat sekitar RM567,505.
Kos Rumah Tidak Berhenti Pada Harga Pembelian

Ramai pembeli sering melihat harga rumah sebagai kos utama. Sebenarnya, kos pemilikan ramai terlepas pandang.
Banyak projek perumahan kini hadir dengan fasiliti gaya hidup seperti gim, kolam renang dan kemudahan yang lain.
Ia nampak menarik, tetapi semuanya datang dengan bayaran penyelenggaraan. Yuran bulanan selalunya bermula sekitar RM300 hingga RM500, dan untuk bangunan mewah boleh meningkat melebihi RM700.
Jumlah ini bukannya kecil, ia boleh membezakan sama ada mampu miliki rumah atau terpaksa tangguhkan pembelian.
Ramai Mengambil Keputusan Untuk Tinggal Jauh Di Luar Bandar, Tetapi Ada Kos Yang Lain Pula

Disebabkan harga di bandar semakin meningkat, ramai pembeli mula mencari pilihan di lokasi di luar bandar seperti Semenyih, Nilai dan Rawang.
Di kawasan ini, masih ada rumah dalam lingkungan RM300,000 – RM400,000.
Namun harga yang lebih mampu milik datang dengan kos lain.
Perjalanan lebih jauh, penggunaan petrol lebih tinggi, tol, menempuh kesesakan jalan raya akan memberi kesan kepada beban bulanan.
Masih Ramai Mengimpikan Istana Persendirian Walaupun Harga Tetap Meningkat

Realiti hari ini, projek perumahan tumbuh bagai cendawan tetapi masih ramai tidak mampu untuk memiliki rumah yang dijual di pasaran.
Tetapi ini tidak menghalang ramai untuk menyimpan angan-angan untuk memiliki rumah sendiri.
Baca Artikel Berkaitan: Nak Beli Rumah Pertama? Tips Influencer Ini Boleh Selamatkan Anda Dari Tersalah Langkah! | TRP
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Mampu Ke Nak Beli Rumah Sebelum Umur Cecah 25 Tahun? Ini Kata Pakar Kewangan | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Siapa Yang Sebenarnya Kena Bayar Yuran Ejen Sewa Rumah? Ini Penjelasan Pakar Kewangan | TRP



