Aminuddin Kekal Sebagai MB Negeri Sembilan Dalam Kerajaan Minoriti
Ketua DAP Negeri Sembilan Anthony Loke Siew Fook, mengumumkan kesemua 11 ADUN DAP di negeri itu akan terus memberi sokongan penuh kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Semalam (28 April), 14 ADUN UMNO telah mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, sekali gus menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.
Pun begitu, Aminuddin berkata beliau akan terus mengetuai pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan selepas Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah supaya pentabirannya diteruskan seperti biasa.
Pentadbiran Negeri Sembilan Diteruskan Sebagai Kerajaan Minoriti
Dalam satu sidang akhbar semalam (27 April), Aminuddin berkata beliau telah menyembah maklum mengenai kedudukan semasa ADUN yang menyokongnya kepada Tuanku Muhriz.
“Kita akan jalankan pentadbiran kerajaan (negeri) sedia ada sehingga ada keputusan jelas. Saya akan teruskan tugasan (sebagai Menteri Besar),” katanya.
Beliau juga berkata bahawa pentadbiran negeri akan terus berjalan sebagai kerajaan minoriti.
Sebagai info, Pakatan Harapan (PH) hanya memegang 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 36 jumlah kerusi di Negeri Sembilan.
Dengan penarikan sokongan daripada UMNO, kerajaan pimpinan Aminuddin memerlukan dua lagi kerusi untuk memperoleh majoriti mudah 19 kerusi.
PN Umum Sedia Kerjasama Dengan UMNO
Kemelut politik di Negeri Sembilan itu bermula semalam apabila Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias yang dikatakan akan menjadi Menteri Besar seterusnya, mengumumkan 14 ADUN BN menarik sokongan terhadap Aminuddin.
Beliau mengaitkan tindakan itu dengan krisis pertikaian diraja yang sedang berlaku apabila Undang Yang Empat mengumumkan hasrat untuk melucutkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Setelah UMNO menarik sokongan mereka, Perikatan Nasional (PN) pula mengumumkan bersedia untuk bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri baharu.
Baca Artikel Berkaitan: 5 ADUN PN Negeri Sembilan Umum Sedia Kerjasama Dengan ADUN UMNO
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil maklum tentang perkara itu, namun berkata ia masih belum dibincang di peringkat kepimpinan tertinggi.
“Dalam politik tentu peluang sedang dicari dan tentu peluang ini yang cuba dirangkul oleh mereka,” katanya.
Tambah Zahid, pihaknya akan membincangkan perkara itu dahulu dan beliau akan berjumpa dengan semua 14 ADUN UMNO di Negeri Sembilan secara peribadi.
DAP Beri Sokongan Penuh Kepada MB Negeri Sembilan
Dalam masa sama, parti DAP turut menekankan pendirian mereka mengenai kemelut politik yang berlaku di negeri itu.
Ketua DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook, mengumumkan kesemua 11 ADUN DAP di negeri itu akan terus memberi sokongan penuh kepada Aminuddin.
Tambahnya lagi, parti DAP akan menolak sebarang cubaan untuk membentuk apa yang disebut olehnya sebagai ‘kerajaan tebuk atap’.
Anthony turut menjelaskan bahawa walaupun Undang Yang Empat mempunyai kuasa unik mengikut Adat Pepatih, namun sebarang usaha untuk melucutkan Yang di-Pertuan Besar mesti mengikut proses yang ditetapkan di bawah Perkara X(1) Perlembagaan Negeri Sembilan yang jelas memisahkan kemelut diraja dengan politik.
Perlu Bentangkan Undi Tidak Percaya Jika Mahu Lucut Jawatan MB
Sebagai info, BN memegang 14 manakala PN memegang 5 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan, membentuk sejumlah 19 kerusi dan mencapai majoriti mudah sekiranya mereka bekerjasama.
Namun sebarang cubaan untuk melucutkan Aminuddin masih memerlukan undi tidak percaya dijalankan secara rasmi dalam persidangan DUN.
Aminuddin berkata beliau tidak mempunyai sebarang rancangan untuk bertemu dengan ADUN BN terlibat bagi menyelesaikan kemelut tersebut.
PMX Maklumkan PRN Negeri Sembilan Bergantung Kepada Yang Di-Pertuan Besar & DUN
Dalam satu perkembangan terbaharu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan Negeri Sembilan kemungkinan besar tidak akan menjalankan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Namun beliau berkata perkara itu bergantung kepada keputusan Tuanku Muhriz selaku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta persidangan DUN.
“Kemungkinan besar tidak. (Namun) ia terpulang kepada Tuanku, dan sudah tentu persidangan DUN,” katanya dipetik Berita Harian.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



