Gencatan Senjata Dalam Rundingan: Trump Tangguh Serangan, Iran Bentang 10 Perkara
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagaimanapun berkata gencatan senjata selama dua minggu dengan Iran akan tertakluk kepada persetujuan untuk membuka semula Selat Hormuz secara sepenuhnya, serta-merta dan selamat.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Perang antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) dan rejim Israel masih berlangsung sejak ‘operasi pertempuran besar’ dilancarkan ke atas Republik Islam itu pada 28 Februari.
Peperangan yang berlaku telah menyebabkan Selat Hormuz yang merupakan laluan utama perdagangan minyak global ditutup, sekali gus menyebabkan berlakunya ketidaktentuan ekonomi dunia.
Lebih menggusarkan lagi apabila Presiden AS Donald Trump semalam (7 April) mengugut bahawa ‘keseluruhan tamadun (Iran) akan mati malam ini’ jika Tehran tidak bersetuju dengan permintaannya.
Baca Artikel Berkaitan: AS & Israel Serang Iran, Ini Apa Yang Kita Perlu Tahu
Baca Artikel Berkaitan: Anwar Ibrahim Kecam Pembunuhan Khamenei, Sifatkan Asia Barat Di Ambang Krisis Besar
Baca Artikel Berkaitan: “Cukai Mungkin Naik” – Prof Jomo Kwame Perjelas Impak Krisis Iran-AS Terhadap Malaysia
Trump Setuju Gencatan Dua Hala Dengan Iran Selama 2 Minggu
Dalam perkembangan terkini, Trump bersetuju gencatan senjata akan diadakan antara pihaknya dengan Iran selama dua minggu.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun White House di platform X, Trump berkata keputusan itu dibuat kerana telah mencapai objektif ketenteraan.
Tambahnya lagi, penangguhkan serangan ke atas Iran itu, yang juga akan menjadi gencatan senjata dua hala, tertakluk kepada persetujuan untuk membuka semula Selat Hormuz secara sepenuhnya, serta-merta dan selamat.
“Saya bersetuju untuk menangguhkan pengeboman serta serangan terhadap Iran bagi tempoh dua minggu.
“Ini akan menjadi satu gencatan senjata dua hala. Sebab tindakan ini diambil adalah kerana kita telah pun mencapai dan melebihi semua objektif ketenteraan.
“Kini berada pada tahap yang sangat hampir untuk mencapai satu perjanjian muktamad berkaitan keamanan jangka panjang dengan Iran, serta keamanan di Asia Barat,” katanya.
🚨 President Donald J. Trump makes a statement on Iran: pic.twitter.com/9mqTayL0Q3
— The White House (@WhiteHouse) April 7, 2026
PM Pakistan Jemput AS & Iran Berunding Di Islamabad
Kenyataan sama menjelaskan bahawa keputusan itu dicapai setelah perbincangan diadakan dengan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan Panglima Tentera Asim Munir, yang meminta agar menangguhkan tindakan ketenteraan ke atas Iran.
Sharif juga telah menjemput delegasi daripada kedua-dua pihak untuk berunding lebih lanjut ‘demi menyelesaikan semua pertikaian’ di Islamabad pada Jumaat (10 April) ini.
“Kami ikhlas berharap agar ‘Perbincangan Islamabad’ berjaya mencapai keamanan yang berkekalan dan berharap untuk berkongsi lebih banyak berita gembira pada hari-hari mendatang,” katanya.
Memetik CNN, Pakistan telah meletakkan dirinya sebagai pihak tengah menerusi hubungannya yang stabil dengan Tehran dan Washington.
Iran Kemukakan 10 Perkara Kepada AS Bagi Persetujuan Gencatan Senjata
Dalam masa sama, Trump turut memaklumkan telah menerima kertas cadangan yang mengandungi 10 perkara dari Iran yang dipercayai boleh dijadikan sebagai asas pelaksanaan rundingan.
“Hampir semua perkara yang menjadi pertikaian sebelum ini telah dipersetujui antara AS dan Iran, namun tempoh dua minggu ini akan membolehkan perjanjian tersebut dimuktamadkan dan dimeterai.
“Bagi pihak AS, sebagai Presiden dan juga mewakili negara-negara di Asia Barat adalah satu penghormatan untuk melihat isu jangka panjang ini hampir mencapai penyelesaian. Terima kasih atas perhatian anda terhadap perkara ini,” katanya.
Memetik laporan Berita Harian, berikut merupakan 10 perkara yang dikemukakan oleh Iran:
- Jaminan bahawa Iran tidak akan diserang lagi.
- Penamatan perang secara kekal, bukan sekadar gencatan senjata.
- Penamatan serangan Israel di Lubnan.
- Penarikan semua sekatan AS ke atas Iran.
- Penamatan semua konflik serantau terhadap sekutu Iran.
- Sebagai balasan, Iran akan membuka Selat Hormuz.
- Iran akan mengenakan bayaran sebanyak AS$2 juta bagi setiap kapal melalui Selat Hormuz.
- Iran akan berkongsi hasil bayaran tersebut dengan Oman.
- Iran akan menetapkan peraturan bagi laluan selamat melalui Selat Hormuz.
- Iran akan menggunakan hasil bayaran Selat Hormuz untuk pembinaan semula, bukan sebagai pampasan.
Baca Artikel Berkaitan: Perang Asia Barat: Rakyat Digesa Amal Gaya Hidup Berhemah, Urus Perbelanjaan Dengan Baik
Baca Artikel Berkaitan: Perang Asia Barat: RON95 Bersubsidi Kekal RM1.99 Seliter Walau Berdepan Krisis Global
Baca Artikel Berkaitan: Kurangkan Kuota BUDI95, Inisiatif BDR Antara Langkah Kerajaan Dalam Berdepan Krisis Tenaga
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



