Legasi Karam Singh Walia: Dari Aduan Rakyat Ke Kesedaran Nasional
Karam Singh Walia merupakan wartawan berpengalaman yang terkenal kerana mengetengahkan isu-isu alam sekitar di televisyen Malaysia.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Malaysia kini berduka atas pemergian wartawan alam sekitar veteran, Datuk Karam Singh Walia, figura yang cukup dikenali kerana puluhan tahun menyorot isu alam sekitar negara.
Beliau meninggal dunia pada usia 67 tahun pagi ini (6 April) pada jam 3.30 pagi.
Menurut Bernama, pemergian Karam dimaklumkan oleh adiknya, Jasbant Singh, yang merupakan Ketua Pengarang Kumpulan (GME) Berita dan Hal Ehwal Semasa di Media Prima Berhad.
Pemergian beliau menandakan berakhirnya satu era buat ramai rakyat Malaysia yang membesar dengan menonton laporannya dan memahami kepentingan menjaga alam sekitar melalui kerjanya.
“Pengawal Alam Sekitar” Malaysia
Dilahirkan pada tahun 1959 di Teluk Intan, Perak, Karam bukan sekadar pembaca berita—beliau adalah seseorang yang luar biasa. Menyertai TV3 pada tahun 1995, beliau mencipta laluan tersendiri yang jarang diterokai.
Ketika orang lain memberi tumpuan kepada politik atau hiburan, Karam turun ke sungai tercemar, tapak pelupusan haram, dan hutan yang diceroboh di seluruh Malaysia.
Beliau mudah dikenali melalui gaya laporan yang tegas dan berwibawa, serta penutup uniknya yang sering diakhiri dengan peribahasa Melayu yang tajam dengan mesej sosial.
Sebagai anggota utama pasukan Aduan Rakyat, beliau memberi suara kepada golongan terpinggir, berani berdepan pihak berkepentingan untuk mendedahkan pencemaran dan kemerosotan alam sekitar.
“Apabila saya diberi peluang bekerja dalam pasukan ‘Aduan Rakyat’, ia merupakan satu kebanggaan dan peluang berharga untuk belajar daripadanya.
“Suaranya tegas dalam menegakkan kebenaran. Hari ini, suara itu telah tiada,” kata Penolong Editor Berita dan Hal Ehwal Semasa TV3, Juliana Sharin.
Sementara itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil turut memuat naik posting mengenai pemergian Karam.
“Pemergian Karam Singh Walia, seorang wartawan penyiaran yang tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia, meninggalkan kesan mendalam dalam dunia kewartawanan negara.
“Saya juga antara yang setia mengikuti laporannya dan amat menghargai dedikasi serta sumbangannya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Selain tokoh awam dan politik yang menzahirkan ucapan takziah, banyak organisasi media turut meluahkan rasa sedih atas pemergian beliau.
Legasi Dalam Kata & Tindakan
Karam bersara pada tahun 2014 atas faktor kesihatan (kemudian disahkan menghidap kanser hati), namun pengaruhnya tidak pernah pudar.
Beliau memberi inspirasi kepada generasi wartawan untuk melihat isu alam sekitar bukan sekadar topik sampingan, tetapi medan penting dalam memperjuangkan keadilan.
Apa yang membezakan Karam ialah pendekatannya dalam kewartawanan.
Beliau bukan sekadar menyampaikan berita, tetapi menyelami isu dengan lebih mendalam. Sepanjang kerjayanya, beliau konsisten menyorot kecuaian terhadap alam sekitar, sering mempersoalkan pihak berkuasa dan menuntut pertanggungjawaban.
Sama ada isu pembalakan haram, pengurusan sisa yang lemah, atau ancaman terhadap ekosistem semula jadi, Karam memastikan isu-isu ini tidak dipandang sepi.
Gaya laporannya seimbang antara informatif dan berimpak, menjadikan isu alam sekitar yang kompleks lebih mudah difahami dan diambil peduli oleh masyarakat.
Usaha Yang Dihargai Dengan Pelbagai Anugerah
Sepanjang kerjayanya, dedikasi Karam dalam bidang kewartawanan dan advokasi alam sekitar telah meraih penghormatan meluas serta pelbagai anugerah.
Beliau dianggap antara wartawan alam sekitar paling berpengaruh di negara ini selepas memenangi Anugerah Seri Angkasa sebanyak dua kali, selain Anugerah Institut Akhbar Malaysia (MPI) bagi Wartawan Televisyen Alam Sekitar Terbaik selama empat tahun berturut-turut dari 2004 hingga 2007.
Karam bukan sahaja dihargai dalam industri media, malah turut mendapat pengiktirafan daripada kumpulan alam sekitar dan orang ramai.
Dengan pemergiannya, Malaysia bukan sahaja kehilangan seorang wartawan hebat, tetapi juga suara penting dalam memperjuangkan alam sekitar.
Beliau meninggalkan legasi kewartawanan yang berani serta generasi penonton yang lebih peka terhadap isu alam sekitar hasil daripada usahanya.
Karyanya juga menjadi peringatan bahawa kewartawanan bukan sekadar menyampaikan maklumat—ia juga mampu mencetuskan perubahan.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.
I enjoy writing and eating at the same time. I sit at my work desk for hours every day. Oh! I like cafe hopping, though I don't drink coffee. I'm, uh.. indecisive. I see eight sides of everything. Currently leading Bahasa desk for The Rakyat Post as the Head Writer & Assistant Editor.