Now Reading
Harga Bahan Api Tertinggi Dalam Sejarah, Batik Air Malaysia Tawar Cuti Tanpa Gaji & Kurangkan Penerbangan

Harga Bahan Api Tertinggi Dalam Sejarah, Batik Air Malaysia Tawar Cuti Tanpa Gaji & Kurangkan Penerbangan

Cuti tanpa gaji secara sukarela ditawarkan kepada kira-kira 3,500 kakitangan Batik Air Malaysia dan akan bermula pada 6 April ini.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Ketegangan geopolitik di Asia Barat telah menyebabkan ekonomi dunia kini berada dalam keadaan yang kacau-bilau.

Malah dunia juga dikhuatiri kekurangan bekalan bahan api dengan penutupan Selat Hormuz yang merupakan laluan utama perdagangan minyak global, yang sekali gus menyebabkan peningkatan harga minyak secara mendadak.

Situasi ini menyebabkan banyak pihak terpaksa mengambil langkah-langkah bagi mengurangkan impak kenaikan harga bahan api terhadap kos operasi mereka.

Baca Artikel Berkaitan: Anwar Ibrahim Kecam Pembunuhan Khamenei, Sifatkan Asia Barat Di Ambang Krisis Besar

Baca Artikel Berkaitan: AS & Israel Serang Iran, Ini Apa Yang Kita Perlu Tahu

Batik Air Malaysia Akan Kurangkan Penerbangan Hingga 35%, Tawar Cuti Tanpa Gaji Sukarela Kepada Staf

Terbaharu, syarikat penerbangan Batik Air Malaysia dilaporkan akan mengurangkan jadual penerbangannya sehingga 35% bagi separuh pertama April susulan harga bahan api jet yang berada pada paras tertinggi dalam sejarah.

Memetik Awani, memo dalaman syarikat itu yang bertarikh 1 April memaklumkan langkah tersebut diambil sebagai pendekatan berjaga-jaga demi melindungi kedudukan kewangan.

Dalam masa sama, Batik Air Malaysia turut menawarkan cuti tanpa gaji secara sukarela kepada sekitar 3,500 kakitangannya bagi mengurus kos dengan tempoh cuti yang akan bermula pada 6 April.

Bekalan Bahan Api Global Makin Terhad & Hanya Tahan Bagi Beberapa Bulan

Mengulas isu bekalan bahan api global, Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Chandran Rama Muthy, berkata situasi semasa menunjukkan ia semakin terhad dan dijangka hanya mencukupi untuk beberapa bulan ke hadapan.

“Syarikat perlu mengambil langkah proaktif dalam mengurus operasi bagi mengurangkan risiko kewangan dan memastikan kelangsungan perniagaan dalam jangka panjang.

“Jika operasi diteruskan tanpa pelarasan, ia boleh meningkatkan risiko kewangan dan operasi, serta memberi kesan kepada kestabilan keseluruhan industri penerbangan,” katanya.

Keputusan Perlu Diambil Walaupun Tidak Mudah Akibat Ketidaktentuan Ekonomi

Dalam pada itu, Chandran menegaskan bahawa tidak mudah bagi pihaknya membuat keputusan berkenaan, namun perlu dilakukan dalam situasi ketidaktentuan ekonomi yang berlaku.

Tambahnya lagi, langkah-langkah yang diambil juga selari dengan kebimbangan dalam kalangan pihak industri mengenai kekangan bekalan bahan api.

Batik Air Malaysia berharap para penumpang memahami situasi ini dan terus memberikan sokongan, sambil syarikat berusaha mengekalkan operasi yang stabil, selamat dan boleh dipercayai sepanjang tempoh ini, lapor Awani.

Kerajaan Jalankan Langkah-Langkah Agar Bekalan Tenaga Negara Terjamin

Terdahulu, kerajaan Malaysia telah menetapkan langkah-langkah yang diambil untuk mengelakkan kemerosotan bekalan tenaga negara.

Ini termasuklah pengurangan kuota subsidi BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan bermula April ini.

Di samping itu, kerajaan turut mengumumkan inisiatif Bekerja Dari Rumah (BDR) atau ‘Work From Home’ (WFH) buat sektor awam sebagai langkah menjimatkan penggunaan tenaga negara.

Baca Artikel Berkaitan: Kurangkan Kuota BUDI95, Inisiatif BDR Antara Langkah Kerajaan Dalam Berdepan Krisis Tenaga

Polisi ini akan dijalankan bermula 15 April dan terpakai buat kementerian, agensi kerajaan, badan berkanun serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Walaupun inisiatif BDR tidak wajib buat syarikat swasta, namun mereka turut digalakkan agar mengambil langkah itu.

Pada Selasa (31 Mac) lalu, PETRONAS mengesahkan bahawa bekalan minyak di stesen runcit miliknya dapat bertahan sehingga akhir Mei 2026.

Baca Artikel Berkaitan: “Kerajaan Tak Dapat Tanggung Subsidi Selamanya” – Prof Jomo Kwame Kongsi Impak Krisis Iran-AS

Baca Artikel Berkaitan: Perang Asia Barat: RON95 Bersubsidi Kekal RM1.99 Seliter Walau Berdepan Krisis Global


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd