Now Reading
Sin Sing Coffee Tampil Jelaskan & Nafi Terbabit Kes Guna Berus Bulu Babi

Sin Sing Coffee Tampil Jelaskan & Nafi Terbabit Kes Guna Berus Bulu Babi

Kata Sin Sing Coffee, status halal yang dimiliki syarikat berkenaan adalah masih sah dan diiktiraf, semakan juga boleh dibuat di Halal Malaysia dengan carian “Sin Sing Coffee.”

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada 1 April lalu pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah menarik semula Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) milik sebuah kilang kopi dan biskut di Melaka.

Perkara itu dilakukan selepas kilang berkenaan didapati menggunakan berus yang dipercayai diperbuat daripada bulu babi dalam kerja-kerja pembersihan peralatan.

Keputusan analisis daripada Pusat Analisis Malaysia (MyHAC) di Bandar Enstek, Nilai yang diterima pada Mac turut mengesahkan berus itu ada ciri fizikal bulu babi.

Ekoran daripada berita tersebut, orang ramai mula mencari kilang mana satukah yang dimaksudkan sehingga ada yang memetik beberapa nama.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Dikesan Guna Berus Bulu Babi, JAIM Tarik Semula Sijil Halal Kilang Kopi & Biskut Di Melaka

Sin Sing Nafi terlibat dengan kes dikesan guna berus bulu babi

Terbaharu kilang kopi, Sin Sing Coffee telah tampil menafikan pihaknya ada kaitan dengan isu kilang halal yang menggunakan berus yang diperbuat daripada bulu babi.

Syarikat pengeluar kopi itu turut memaklumkan mereka tidak mengeluarkan sebarang produk biskut.

“Maklumat dan gambar yang tular tersebut adalah tidak berkaitan dengan syarikat kami dan bukan merupakan persekitaran atau peralatan pengeluaran kami.

“Syarikat kami hanya menumpukan kepada pengeluaran produk kopi dan tidak menghasilkan sebarang produk biskut.

“Syarikat kami mematuhi piawaian dan keperluan pensijilan Halal Malaysia. Semua proses pengeluaran kami adalah selaras dengan garis panduan kebersihan dan syariah yang ditetapkan,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook.

Sijil halal yang dimilik masih sah dan diiktiraf

Menurut Sin Sing Coffee lagi, status halal yang dimiliki adalah masih sah serta diiktiraf. Bahkan orang ramai juga boleh membuat semakan di portal rasmi Halal Malaysia dengan carian “Sin Sing Coffee.”

Semakan kami turut menemukan pengesahan produk halal syarikat kopi berkenaan iaitu sehingga 31 Mac 2027 dan 31 Oktober 2026.

Ujar syarikat itu lagi, mereka telah beroperasi lebih 67 tahun serta sentiasa komited dalam menghasilkan produk berkualiti dan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

“Kami menyeru orang ramai agar tidak mempercayai maklumat yang tidak disahkan atau membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan salah faham.”

Dalam pada itu, Sin Sing Coffee juga telah membuat laporan polis berhubung penyebaran maklumat tidak sahih di media sosial.

“Syarikat memandang serius penyebaran maklumat palsu ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya bagi melindungi reputasi serta kepentingan syarikat.”


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd