Now Reading
Kes Pemandu Mabuk: Arwah Pernah Berjenaka Nak ‘Masuk’ TV, Ibu Mangsa Reda Pemergian Anak

Kes Pemandu Mabuk: Arwah Pernah Berjenaka Nak ‘Masuk’ TV, Ibu Mangsa Reda Pemergian Anak

Menurut ibu Allahyarham Amirul Hafiz Omar, anak lelakinya itu sempat memeluk dan memohon maaf sebelum pergi buat selama-lamanya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Satu insiden menyayat hati dilaporkan kelmarin (29 Mac) melibatkan pemergian seorang penunggang motosikal yang dirempuh oleh pemandu Honda City dalam keadaan mabuk di Jalan Raya Barat, Klang.

Menurut siasatan polis, kereta terbabit dipandu secara melulu pada kelajuan tinggi oleh lelaki berusia lingkungan 20-an itu dan dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan sekaligus melanggar motosikal terbabit.

Kejadian ini kemudiannya mendapat perhatian ramai yang mana rata-rata orang berasa berang dengan kecuaian pemandu. Dalam masa sama, ramai juga bersimpati dengan nasib keluarga mangsa yang kehilangan susuk seorang ayah, Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33.

Baca Artikel Berkaitan: Hukuman Penjara Sahaja Tak Cukup, Ustaz Wadi Gesa Kerajaan Perkasa Undang-undang Susulan Kes Pemandu Mabuk

Allahyarham Pernah Seloroh Akan Masuk TV, Si Ibu Tak Sangka Jadi Kenyataan

Pemergian Amirul juga memberi impak yang mendalam buat ibunya, Faridah Ahmad, 56. Jelasnya, dia reda menerima hakikat tersebut bahawa si anak sudah tiada lagi di sisi selain menyifatkan arwah seorang anak yang baik.

“Saya reda, Mirul anak yang baik, sangat baik…”

Ujarnya, momen bersama Allahyarham pada sambutan Aidilfitri tahun ini merupakan memori terakhir yang tidak akan dilupakan.

Malah menurut Faridah, dia sempat meluangkan masa di rumah arwah sekitar Shah Alam selama beberapa hari sebelum kejadian kemalangan berlaku.

“Saya duduk di rumah dia tiga hari. Dia layan kami macam biasa, masak untuk kami, masak kurma daging, suruh makan,” katanya, lapor Sinar Harian.

Faridah berkata, arwah kelihatan ceria seperti biasa serta gemar bergurau bersama ahli keluarga yang lain ketika menghadiri sebuah kenduri di Klang. Kongsinya, arwah sempat berjenaka kononnya akan ‘masuk TV’ ketika sesi bergambar sebelum ini, namun siapa sangka kata-kata itu menjadi satu realiti.

“Saya ingat dia bergurau saja, rupanya seperti satu petanda,” tambahnya.

Arwah Sempat Peluk & Mohon Maaf Pada Si Ibu Sebelum Berpisah

Meskipun kehilangan anak dalam keadaan menyayat hati, namun si ibu tetap reda dengan ketentuan Ilahi. Faridah juga berkongsi bahawa arwah sempat memeluk dan memohon maaf seperti rutin biasa yang dilakukannya setiap kali berpisah.

“Dia peluk saya, minta maaf, halal makan minum, macam selalu. Saya kata saya reda, dia anak yang baik.

“Saya terkejut sangat. Menantu telefon beritahu ‘Mirul dah tak ada’. Tapi saya reda, sekurang-kurangnya sepanjang raya saya sempat luang masa dengan dia.”

Sumber: Pusat Khidmat ADUN Selama

Keluarga Sentiasa Menjadi Keutamaan Allahyarham Amirul

Berbicara tentang sifat budi pekerti Amirul, si ibu berkata arwah seorang yang bertanggungjawab dan sentiasa memikirkan hal keluarga, termasuk anak-anaknya yang masih kecil.

“Saya nampak dia kira duit seringgit-seringgit, dia kata itu untuk sekolah anak-anak. Dia juga dah bayar duit rumah. Dia fikir semua benda untuk keluarga.”

Sebelum ini, media turut melaporkan bahawa arwah sebenarnya dalam perjalanan untuk membeli buku teks subjek Matematik buat anaknya sebelum maut dirempuh pemandu Honda City.

Isteri arwah, Nor Nadia Abdul Majid, 32, memaklumkan bahawa arwah sudah beberapa hari berhasrat membeli buku itu kerana bimbang anak sulung mereka berusia sembilan tahun tidak dapat mengikuti pembelajaran di sekolah.

Dalam pada itu, si ibu turut meluahkan rasa syukur kerana proses pengebumian Amirul di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh, Batu Kurau, Perak berjalan dengan lancar.

MOT Cadang Pinda Akta Pengangkutan Jalan 1987

Dalam perkembangan terbaharu kes, Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang merangka cadangan pindaan lanjut terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah memandu bawah pengaruh alkohol atau dadah, membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, selain menjalani hukuman penjara.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, MOT memandang serius insiden nyawa terkorban akibat pemandu bawah pengaruh alkohol mahupun dadah, malah kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dalam hal sebegitu.

“Kehilangan ini amat menyayat hati dan insiden sebegini bukan saja meragut nyawa tidak berdosa, malah menjadi satu bentuk kecuaian jenayah yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd