Now Reading
Kurangkan Kuota BUDI95, Inisiatif BDR Antara Langkah Kerajaan Dalam Berdepan Krisis Tenaga

Kurangkan Kuota BUDI95, Inisiatif BDR Antara Langkah Kerajaan Dalam Berdepan Krisis Tenaga

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, jumlah subsidi bahan api yang ditanggung kerajaan telah mencecah RM4 bilion/bulan setakat semalam (26 Mac).

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sejak tercetusnya perang antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) dan rejim Israel, ekonomi dunia menjadi kacau-bilau apatah lagi dengan penutupan Selat Hormuz yang merupakan laluan utama perdagangan minyak global.

Keadaan ini menyebabkan harga bahan api global melonjak tinggi, seterusnya turut meningkatkan harga petrol dan diesel di dalam negara.

Sehubungan itu, kerajaan Malaysia telah menetapkan langkah-langkah bagi mengimbangkan antara kemampanan fiskal dengan keperluan memastikan bekalan tenaga dapat dinikmati oleh rakyat.

Baca Artikel Berkaitan: “Kerajaan Tak Dapat Tanggung Subsidi Selamanya” – Prof Jomo Kwame Kongsi Impak Krisis Iran-AS

Baca Artikel Berkaitan: Perang Asia Barat: RON95 Bersubsidi Kekal RM1.99 Seliter Walau Berdepan Krisis Global

Baca Artikel Berkaitan: Anwar Ibrahim Kecam Pembunuhan Khamenei, Sifatkan Asia Barat Di Ambang Krisis Besar

Kuota Subsidi BUDI95 Dikurangkan Kepada 200 Liter Sebulan

Dengan kenaikan harga minyak global, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, subsidi bahan api yang ditanggung oleh kerajaan telah meningkat kepada RM3.2 bilion sekitar dua minggu lalu, sebelum mencecah RM4 bilion/bulan setakat semalam (26 Mac).

Oleh yang demikian, bagi memastikan negara dapat berdepan krisis tenaga dunia, kerajaan telah mengambil keputusan untuk mengurangkan kuota subsidi BUDI95 dari 300 liter kepada 200 liter sebulan.

Anwar berkata keputusan ini dibuat selepas mengambil kira bahawa kira-kira 90% rakyat Malaysia hanya menggunakan purata 100 liter bahan api sebulan, sekali gus bermakna majoriti rakyat tidak akan terkesan dengan pengurangan subsidi.

Dalam masa sama, subsidi bagi pemandu e-hailing kekal pada 800 liter sebulan.

Harga subsidi RON95 bagaimanapun kekal pada RM1.99 seliter berbanding harga tanpa subsidi yang kini mencecah RM3.87.

Had Pengisian Diesel Di Sabah, Sarawak & Labuan

Perubahan bukan hanya dibuat bagi petrol RON95, tetapi juga turut merangkumi had pengisian diesel yang bakal dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Bermula 1 April 2026, had pengisian diesel akan dilaksanakan seperti berikut:

  • Kenderaan ringan (persendirian, awam dan barangan) – 50 liter setiap pembelian.
  • Kenderaan pengangkutan darat awam & barangan (bawah 3 tan) – 100 liter setiap pembelian.
  • Kenderaan berat (melebihi 3 tan) – 150 liter setiap pembelian.

Dalam pada itu, kerajaan mengekalkan harga diesel bersubsidi pada kadar RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Anwar berkata perubahan membabitkan kuota subsidi bahan api ini merupakan langkah sementara bagi memastikan sebahagian besar rakyat dilindungi, bekalan kekal stabil dan negara bertahan dalam ketidaktentuan global.

Penyelewengan Subsidi Bahan Api Akan Dikenakan Tindakan Tegas

Di samping itu, Anwar turut mengucapkan penghargaan buat rakyat Malaysia yang cakna dan melaporkan aktiviti mencurigakan di stesen minyak.

Beliau berkata, kerajaan bakal mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap kesalahan penyelewengan subsidi bahan api termasuk penyeludupan dan pencatutan.

Arahan turut dikeluarkan terhadap agensi penguatkuasaan agar menggempur kawasan sempadan dalam operasi bersepadu yang dipertingkatkan.

Inisiatif BDR Akan Dilaksanakan Secara Berperingkat Buat Sektor Awam

Sebagai langkah menjimatkan penggunaan tenaga negara, Anwar turut mengumumkan inisiatif Bekerja Dari Rumah (BDR) atau ‘Work From Home’ (WFH) buat sektor awam.

Inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan terpilih, dengan perincian bakal dimaklumkan dalam masa terdekat.

Dalam masa sama, kerajaan turut menggesa sektor swasta agar menyahut seruan dalam melaksanakan inisiatif BDR ini.

“Dalam tempoh mencabar ini, disiplin dan kebersamaan kita menjadi kekuatan utama. Saya memohon kerjasama semua untuk terus berhemah dan memahami langkah yang diambil demi memastikan bekalan kekal terjamin untuk semua,” kata Anwar.

Baca Artikel Berkaitan: AS & Israel Serang Iran, Ini Apa Yang Kita Perlu Tahu

Baca Artikel Berkaitan: “Tak Macam Disangka” – Lelaki Kongsi Pengalaman & Sisi Sebenar Masyarakat Ketika Berkunjung Ke Iran

Baca Artikel Berkaitan: Penerbangan Jemaah Umrah Dibatalkan, Andalusia Belanja Hampir RM1 Juta Demi Beli Tiket Baharu


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd