Now Reading
Ini 10 Kategori Yang Boleh Mohon Permit Khas Untuk Beli Petrol & Diesel Lebih 20 Liter – KPDN

Ini 10 Kategori Yang Boleh Mohon Permit Khas Untuk Beli Petrol & Diesel Lebih 20 Liter – KPDN

Permit Khas bagi pembelian bahan api lebih 20 liter adalah percuma dan terbuka kepada semua pihak yang layak.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sebelum ini, tular di media sosial apabila seorang lelaki dipercayai mengisi minyak petrol RON95 ke dalam tong plastik.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang semalam (25 Mac) mengesahkan individu berkenaan tidak melakukan sebarang kesalahan kerana mempunyai permit sah.

Pengarahnya, Jegan R. Subramaniam berkata, individu tersebut merupakan seorang nelayan dan mempunyai permit sah bagi pembelian bahan api mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa serta tertakluk kepada had kuota yang telah ditetapkan.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Lelaki Isi Minyak Dalam Tong Plastik Ada Permit Sah & Patuhi Peraturan

10 Kategori Layak Mohon Permit Khas Pengisian Bahan Api

Terbaharu, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam, berkata terdapat 10 kategori yang layak memohon Permit Khas bagi pengisian minyak petrol dan diesel 20 liter ke atas, iaitu:

  • Forklift
  • Pengangkutan air
  • Penduduk di kawasan pedalaman dan pulau
  • Pengusaha industri makanan
  • Rekreasi air
  • Pertanian dan penternakan
  • Bantuan kecemasan
  • Penyelenggaraan
  • Pelancongan
  • Pembinaan berskala kecil

Beliau berkata Permit Khas itu hanya diperlukan bagi pembelian bahan api kuantiti melebihi 20 liter dan berdasarkan kepada harga pam semasa di stesen minyak.

Tambahnya lagi, mana-mana syarikat, organisasi atau individu yang ingin membeli petrol dan diesel di stesen minyak selain digunakan bagi kenderaan dan bagi kegunaan persendirian perlu mendapatkan kelulusan tersebut terlebih dahulu.

Tindakan ini diambil bagi mengelakkan barang kawalan dan bersubsidi, seperti petrol dan diesel diseleweng pihak tidak bertanggungjawab, lapor Berita Harian.

Antara kategori yang layak memohon Permit Khas

Permit Khas Percuma Bagi Semua Yang Layak, Mohon Di Portal SPB KPDN

Permit Khas terbuka kepada semua yang layak dan percuma, dengan permohonan boleh dilakukan menerusi Sistem Permit Bekalan (SPB) di portal KPDN [DI SINI].

“Mana-mana pihak yang diberi kebenaran untuk membeli minyak petrol dan diesel melalui Permit Khas ini boleh menggunakan tong dram, plastik atau apa-apa bekas yang selamat dan bersesuaian mengikut kuantiti, alamat stesen minyak, tempoh serta kekerapan belian yang diluluskan,” katanya.

Dalam masa sama, Azman berkata mereka yang tidak memegang Permit Khas hanya dibenarkan untuk membeli minyak yang diisi ke dalam tong bagi kes kecemasan serta kuantiti kurang 20 liter.

Katanya, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 membenarkan stesen minyak menjual bahan api diesel dan semua gred petrol kepada tangki asal kenderaan berkenaan atau yang mendapat kelulusan, serta mereka yang memiliki Permit Khas.

Boleh Dikenakan Tindakan Tegas Jika Beli Bahan Api Lebih 20 Liter Tanpa Permit

Sekadar info, pembelian bahan api lebih 20 liter yang diisi ke dalam bekas lain tanpa permit boleh dikenakan tindakan tegas kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jika disabit bersalah, individu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.

KPDN bagaimanapun menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kekeliruan orang ramai.

Dalam pada itu, orang ramai boleh membuat aduan menerusi saluran rasmi KPDN seperti berikut:

  • WhatsApp: 019 848 8000
  • Portal e-Aduan KPDN: http://eaduan.kpdn.gov.my
  • Call centre: 1800-886-800
  • Aplikasi telefon pintar: ezAdu KPDN

MOF Akan Sekat Kad Pengenalan Individu Salah Guna Subsidi BUDI95

Terdahulu, tular satu lagi kes di Johor yang mana dua individu dilihat mengisi petrol bersubsidi melebihi 71 liter ke dalam tong yang diletakkan pada but kenderaan, sebelum mengisi ke tangki kereta itu sendiri.

Sehubungan itu, Kementerian Kewangan (MOF) berkata pihaknya akan menyekat kad pengenalan yang digunakan ketika itu serta pemilik kenderaan agar tidak dapat lagi menikmati subsidi BUDI95.

MOF menegaskan bahawa kerajaan tidak akan bertoleransi dengan sebarang ketirisan mahupun penyalahgunaan subsidi bahan api di dalam negara.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Tular Isi Petrol RON95 Dalam Tong: MOF Sekat MyKad Individu

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Bahaya Isi Minyak Dalam Tong Di But Kereta, Pakcik Shell Kongsi Sebabnya


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd