Malaysia Berpotensi Hadapi El Nino Paling Panas, Gelombang Haba Cecah 40°C
Cuaca panas Tahap 3 yang berkemungkinan melanda Malaysia ini dipengaruhi beberapa faktor dan yang paling utama adalah fenomena El Nino.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sejak awal Syawal hari itu, ramai warganet di media sosial mengadu kampung halaman mereka panas berdenting. Sampaikan nak keluar beraya pun tak sanggup sebabkan terlampau panas.
Ada juga yang mempersoalkan mengapa suhu panas dan bahang tersebut mula dirasai bermula perayaan Aidilfitri?
Kalau anda nak tahu, keadaan panas terik ini ada kaitan dengan fenomena El Nino.
Baca Artikel Berkaitan: Suhu Di Asia Tenggara Kekal Tinggi, Ini Tips Untuk Hadapi Cuaca Panas
Malaysia Mungkin Capai Suhu Haba 40°C Akibat El Nino
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Ambun Dindang memaklumkan bahawa Malaysia berisiko mengalami cuaca panas Tahap 3 atau gelombang haba ekstrem dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius (°C).
Keadaan ini tertakluk kepada beberapa faktor cuaca termasuk fenomena El Nino yang kuat. Bagaimanapun, beliau berkata perkembangan fenomena El Nino ketika ini masih dipantau rapi.
Menurut Ambun, kawasan Chuping, Perlis pernah mencatatkan suhu tertinggi negara iaitu 40.1 °C pada 1998.
Setakat ini, keadaan El Nino Southern Oscillation (ENSO) neutral dijangka berlaku dari April hingga Jun sebelum beralih kepada fasa El Nino bermula Julai hingga penghujung tahun.
“Walaupun El Nino diramalkan berlaku, berdasarkan rekod kebiasaannya suhu tidak akan meningkat secara ekstrem,” katanya.
Namun, beliau menjelaskan bahawa keadaan panas dan kering yang berlarutan tanpa hujan dalam tempoh panjang masih boleh menyebabkan ketidakselesaan.
Untuk info, cuaca panas dan kering ketika fasa akhir Monsun Timur Laut merupakan fenomena tahunan di Malaysia sejajar dengan peningkatan suhu harian yang turut berlaku di peringkat global.
Pakar Ramal Malaysia Bakal Dilanda El-Nino Paling Panas Dalam Sejarah
Jelas Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim, Prof Emeritus Dr Fredolin Tangang pula, suhu dunia paling panas dijangka direkodkan pada tahun ini susulan fenomena El Nino dan kesan pemanasan global.
“Mengikut ramalan, kebarangkalian El Nino muncul pada musim barat daya ini adalah melebihi 70% dan kebarangkalian itu meningkat sekitar 80 hingga 90% sehingga penghujung tahun ini,” katanya.
Mengikut pengalaman beliau sebagai seorang penyelidik berkaitan El-Nino selama lebih tiga dekad, Dr Fredolin berpandangan bahawa ini berkemungkinan merupakan El Nino berintensiti kuat yang berlanjutan dari tahun 2026 hingga awal tahun 2027.
Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyesuaikan diri terhadap keadaan cuaca kini sebagai contoh:
- Minum air mencukupi
- Mengurangkan aktiviti luar
- Memakai pakaian yang sesuai ketika berada di luar rumah
- Kurangkan pengambilan kafein
- Sapukan pelindung matahari (sunscreen)
Saranan kami, bawa juga botol air bersama ketika menziarahi rumah saudara-mara atau kenalan rapat sepanjang musim perayaan ini untuk mengelakkan dehidrasi.
Awasi Tanda-tanda Awal Strok Haba
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dalam satu hantaran turut mengingatkan orang ramai supaya mengawasi tanda-tanda awal strok haba susulan 15 kes berkaitan cuaca panas dan satu kematian yang dilaporkan pada tahun ini.
Antara tanda-tanda strok haba yang boleh diperhatikan adalah pening berpanjangan, kehausan dan suhu badan meningkat.
Umat Islam Diseru Tunaikan Solat Istisqa’ Untuk Mohon Hujan Turun
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan turut menyeru umat Islam seluruh Malaysia untuk menunaikan solat sunat istisqa’ bagi memohon rahmat hujan susulan cuaca panas dan kering ketika ini.
“Semoga segala doa dan munajat yang dipanjatkan diterima serta dimakbulkan oleh Allah SWT serta dikurniakan hujan yang membawa keberkatan kepada seluruh alam,” katanya dalam kenyataan.
Baca Artikel Berkaitan: Cuaca Terlampau Panas? Ini 5 Cara Untuk Kekal Sejuk Di Rumah Tanpa Guna Pendingin Hawa
Baca Artikel Berkaitan: Cuaca Panas Bukan Halangan, Ini 7 Tips Kekal Sihat & Bertenaga Di Bulan Ramadan
Baca Artikel Berkaitan: Fenomena La Nina Dijangka Melanda Malaysia, Ini Punca Hujan Lebat Bertambah & Ketahui Risikonya
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



