Aidilfitri 2026: KESUMA Galak Majikan Beri Cuti Tambahan Untuk Pekerja
Cuti tambahan Aidilfitri yang diisytiharkan semalam (15 Mac) merupakan hari kelepasan am yang turut terpakai kepada pekerja sektor swasta tertakluk kepada seksyen 60D Akta Kerja 1955 [Akta 265].
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Semalam (15 Mac), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan satu berita baik buat rakyat Malaysia, iaitu semua pekerja akan diberikan satu cuti tambahan bersempena Aidilfitri.
Sekiranya Hari Raya Aidilfitri jatuh pada Jumaat (20 Mac), kerajaan akan mengisytiharkan Isnin (23 Mac) sebagai cuti umum tambahan, atau cuti tambahan pada Jumaat sekiranya Aidilfitri jatuh pada Sabtu (21 Mac).
Langkah itu bertujuan memberi ruang kepada rakyat untuk pulang ke kampung halaman serta meraikan hari istimewa tersebut bersama keluarga dengan lebih selesa.
Malah pendekatan itu juga bagi menghargai usaha dan dedikasi orang ramai yang bekerja keras sepanjang bulan Ramadan.
Bukan itu sahaja, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) juga dilaksanakan bertujuan memastikan kestabilan harga barangan keperluan.
Cuti Tambahan Aidilfitri Juga Terpakai Untuk Pekerja Sektor Swasta
Menyambut baik pengumuman tersebut, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi satu kenyataan di laman Facebook menggalakkan majikan memberi kelonggaran kepada pekerja berhubung pelaksanaan cuti tambahan sempena Aidilfitri seperti mana diumumkan PMX sebagai penghargaan kepada rakyat Malaysia.
Menurut KESUMA, cuti tambahan itu selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kelepasan 1951 [Akta 369] yang memperuntukkan kuasa kepada kerajaan untuk mengisytiharkan hari kelepasan am.
“Sehubungan itu, cuti yang diisytiharkan ini merupakan hari kelepasan am yang terpakai kepada pekerja sektor swasta tertakluk kepada seksyen 60D Akta Kerja 1955 [Akta 265].
“Berdasarkan peruntukan tersebut, majikan boleh menggantikan hari kelepasan am berkenaan dengan mana-mana hari lain sebagai ganti cuti am bergaji kepada pekerja,” jelas kementerian terbabit.

Pekerja Layak Terima Kadar Bayaran Ditetapkan Untuk Hari Kelepasan Am Jika Tidak Cuti Pada Hari Diisytiharkan
Tambah KESUMA, majikan hendaklah memaklumkan kepada kakitangan tentang pengaturan cuti berkenaan sama ada akan diberikan pada tarikh yang sama diisytiharkan kerajaan atau digantikan kepada hari lain.
Sekiranya pekerja dikehendaki bertugas pada hari kelepasan am tersebut, maka dia layak menerima kadar bayaran kerja pada hari kelepasan am sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955.
“Sehubungan itu, KESUMA menyeru agar majikan mempertimbangkan pemberian cuti itu kepada pekerja sebagai sebahagian daripada amalan pekerjaan yang prihatin dan menyokong keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan.
“KESUMA berpandangan bahawa sambutan perayaan seperti Aidilfitri merupakan masa yang amat bermakna bagi pekerja untuk bersama keluarga dan orang tersayang.
“Justeru pemberian kelonggaran cuti oleh majikan akan dapat membantu memastikan pekerja dapat meraikan Aidilfitri dalam suasana kebersamaan, keharmonian dan kesejahteraan.”
Kelonggaran Cuti Wujudkan Persekitaran Kerja Work-life Balance
Mengulas lanjut, KESUMA menggalakkan para majikan untuk mempertimbang pemberian kelonggaran cuti kepada pekerja sebagai sebahagian daripada amalan pekerjaan yang prihatin serta progresif.
Pendekatan ini selaras dengan usaha kerajaan bagi memperkukuh keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan (work-life balance) selain mewujudkan persekitaran kerja yang berperikemanusiaan.
“Kementerian turut menggalakkan majikan dan pekerja untuk berbincang secara baik dan bagi memastikan pengurusan operasi syarikat dapat berjalan lancar, sambil memberi ruang kepada pekerja menyambut Aidilfitri dengan penuh makna bersama keluarga.”
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



