Penuntut UA Mengaku Tidak Bersalah Atas 2 Pertuduhan, Cemar Al-Quran & Post Hantaran Jelik
Ikat jamin RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan telah dikurangkan kepada RM10,000 selepas peguam mewakili tertuduh memohon agar mahkamah mempertimbangkan untuk mengurangkan jumlah itu dengan alasan tertuduh masih ditanggung bapanya yang bekerja sebagai seorang penternak ikan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Seorang penuntut lelaki dari sebuah Universiti Awam (UA) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini (3 Mac) atas pertuduhan mencemar al-Quran dan membuat hantaran komunikasi jelik melampau.
Dua pertuduhannya ialah:
- Seksyen 295 Kanun Keseksaan [Akta 574]
- Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]
Bagaimanapun tertuduh, K Vikneswaran 21, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan selepas ia dibacakan dihadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.
Dia didakwa telah mencemarkan satu kitab suci yang dipegang oleh penganut agama Islam, iaitu sebuah al-Quran, dengan niat hendak mengaibkan agama Islam.
Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Baca Artikel Berkaitan: Pijak Al-Quran: Polis Terima 62 Laporan Seluruh Negara, Kertas Siasatan Dirujuk AGC Hari Ini
Didakwa Secara Sedar Hantar Komunikasi Jelik Yang Melampau
Berdasarkan pertuduhan kedua pula, Vikneswaran didakwa secara sedar menggunakan akaun Threads ‘Ryandaselva’ dan menghantar komunikasi yang jelik dan melampau dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.
Penuntut tahun akhir Fakulti Komputer tersebut didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 233(2) akta yang sama.
Hukuman diperuntukkan bagi kesalahan terbabit ialah denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. Tertuduh juga boleh juga dikenakan denda selanjutnya sebanyak RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Memetik Sinar Harian, kedua-dua perbuatan itu dilakukan di rumahnya di Taman Seri Mahkota Aman, Jalan Gambang, pada jam 1.30 petang, 22 Februari lalu.
Ikat Jamin Tertuduh Dikurangkan Kepada RM10,000
Dalam pada itu, Pengarah Pendakwaan Pahang, Sharizat Ismail menawarkan ikat jamin RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan semasa prosiding berlangsung pagi ini.
Jelas beliau, kesalahan dilakukan tertuduh amat serius dan boleh mengundang kegusaran orang awam.
Pun begitu, peguam bela, Muhammad Amirul Afiqq Mohamad Lokman yang mewakili tertuduh memohon agar mahkamah mempertimbang untuk mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan tertuduh masih ditanggung bapanya.
Menerusi hujahan rayuan tersebut, Muhammad Amirul berkata bapa tertuduh bekerja sebagai penternak ikan dengan pendapatan sekitar RM5,000 sebulan.
Justeru, jumlah jaminan yang tinggi akan membebankan keluarga tertuduh memandangkan bapanya perlu menanggung perbelanjaan isi rumah yang lain juga.
“Tertuduh tidak mempunyai niat untuk melarikan diri kerana ayahnya sendiri yang membuat laporan polis.
“Sepanjang tempoh reman, mereka sentiasa memberikan kerjasama dan tertuduh juga pernah dirujuk ke sebuah klinik ketika masih bersekolah tingkatan tiga kerana mengalami gangguan psikologi,” katanya.
Susulan itu, mahkamah memutuskan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di Balai Polis Jaya Gading pada setiap awal bulan.
Kes ini dilaporkan akan dibicarakan semula pada 8 April akan datang.
Kes Pijak Al-Quran Timbulkan Kegusaran Orang Ramai
Sebelum ini, polis pada 25 Februari lalu telah menahan seorang pelajar UMPSA bagi membantu siasatan kerana disyaki memijak al-Quran, memuat naik serta menyebarkan gambar perbuatan tersebut.
Hantaran itu kemudiannya telah mencetuskan kemarahan orang ramai khususnya penduduk umat Islam di negara ini.
Sebelum ini, individu terbabit sudah pun memohon maaf atas tindakannya itu dan mengakui berbuat demikian ketika dalam keadaan marah serta dipengaruhi perasaan dendam. Mahasiswa itu turut menyifatkan tindakannya adalah salah dan tidak beradab.
Dalam pada itu, kes ini juga telah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara AGC semalam (2 Mac).
Baca Artikel Berkaitan: Biadab & Tidak Boleh Diterima, Pijak Al-Quran Ibarat Pijak Kitab Veda – Sivamalar
Baca Artikel Berkaitan: Pelajar Disyaki Pijak Al-Quran Sudah Ditahan Polis, UMPSA Jalankan Siasatan
Baca Artikel Berkaitan: “Dia Budak Baik, Apa Yang Berlaku?” – Firdaus Wong Dakwa Individu Pijak Al-Quran Seorang Mualaf
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



