“Pijak Al-Quran Bagi Penganut Hindu Seumpama Pijak Kitab Veda” – Sivamalar Kecam Penghinaan Terhadap Islam
Jelas Timbalan Setiausaha Agung, Parti Keadilan Rakyat (PKR), G. Sivamalar, agama Hindu sebagaimana agama-agama lain, tidak pernah mengizinkan sebarang perbuatan menghina kitab suci atau rumah ibadat mana-mana agama.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Beberapa hari lalu, kecoh mengenai kisah seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang memuat naik hantaran foto memijak al-Quran sekaligus menghina kitab suci tersebut.
Susulan itu, polis pada 25 Februari lalu, telah bertindak menahan individu terbabit untuk siasatan lanjut dan direman selama empat hari. Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, penuntut terbabit ditahan selepas laporan polis dibuat bapa suspek sendiri.
Memetik Kosmo, mahasiswa terbabit kemudiannya memohon maaf atas tindakannya itu dan mengakui berbuat demikian ketika dalam keadaan marah serta dipengaruhi perasaan dendam. Penuntut berkenaan turut menyifatkan tindakannya adalah salah dan tidak beradab.
Kes ini bukan sahaja mengundang kemarahan orang ramai di media sosial, malah menurut Menteri Agama, Dr Zulkifli Hasan, ia juga mencalarkan maruah penduduk beragama Islam.
Baca Artikel Berkaitan: Pelajar Disyaki Pijak Al-Quran Sudah Ditahan Polis, UMPSA Jalankan Siasatan
Penganut Hindu Bertanggungjawab Tidak Akan Pijak Al-Quran – Sivamalar
Isu yang menyentuh isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) jelas mendapat reaksi kurang senang orang ramai.
Menurut Timbalan Setiausaha Agung, Parti Keadilan Rakyat (PKR), G. Sivamalar, agama Hindu sebagaimana agama-agama lain, tidak pernah mengizinkan sebarang perbuatan menghina kitab suci atau rumah ibadat mana-mana agama.
Tambahnya, seorang penganut Hindu yang bertanggungjawab tidak akan melakukan perbuatan sebegitu.
“Saya dengan tegas mengecam perbuatan terbaharu yang melibatkan penghinaan terhadap Al-Quran. Tindakan sedemikian (pijak al-Quran) amat biadab, tidak boleh diterima dan sama sekali tidak mempunyai tempat dalam sebuah masyarakat bertamadun serta berbilang agama seperti Malaysia.
“Memijak Al-Quran bagi kami adalah seumpama memijak kitab Veda kami sendiri. Ia merupakan satu pelanggaran terhadap suara hati, keimanan dan nilai kemanusiaan,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook.
Persenda Kuil Boleh Gugat Keharmonian Antara Agama
Dalam pada itu, Sivamalar turut berkata bahawa perbuatan mempersenda, menyebarkan rakaman video di media sosial melibatkan perobohkan kuil, tokong atau mana-mana rumah ibadat sambil bergambar dan ketawa, malah berkali-kali menyatakan kuil sebagai ‘haram’ juga tidak boleh diterima.
“Tindakan sedemikian amat menyakitkan hati dan menggugat keharmonian antara agama. Seorang Muslim yang berpegang kepada prinsip dan nilai agama tidak akan bertindak sedemikian. Penghinaan tidak boleh sama sekali dibenarkan, tanpa mengira daripada komuniti mana ia datang.
“Adalah tidak adil dan berbahaya untuk menghukum atau melabel keseluruhan komuniti Hindu atau Cina atas perbuatan segelintir individu, sebagaimana tidak wajar untuk menggeneralisasikan umat Islam berdasarkan tindakan tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu.
“Sikap menyalahkan secara kolektif hanya akan menambahkan rasa curiga dan meretakkan fabrik sosial negara,” jelasnya.
Malaysia Tolak Provokasi & Kebencian Antara Agama
Mengulas lanjut, Sivamalar menegaskan bahawa Malaysia dihormati di peringkat antarabangsa bukan semata-mata kerana kekuatan ekonomi, tetapi kerana kemampuan rakyat berbilang kaum dan agama dapat hidup bersama dalam suasana aman serta harmoni.
“Marilah kita berdiri teguh dan bersatu hati untuk menghantar mesej yang jelas dan tegas bahawa Malaysia menolak ekstremisme, provokasi dan kebencian agama. Kita adalah satu negara yang diikat oleh nilai hormat, maruah dan hidup bersama secara aman,” katanya lagi.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



