Mahu Tuntut Keadilan, Keluarga Mangsa Kemalangan Di Ipoh Mohon Saksi Tampil Buat Laporan
Insiden kemalangan di Jalan Ipoh-Lumut sekitar Puncak Jelapang, Ipoh pada 10 Februari lalu melibatkan dua anggota polis yang menaiki MPV bersama seorang ibu dengan anak perempuannya yang menaiki kereta Perodua Kelisa.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sebelum ini, media tempatan melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut selepas kereta dipandu ibunya terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan peronda polis (MPV) di Jalan Ipoh-Lumut dekat Puncak Jelapang, Ipoh pada 10 Februari.
Nahas yang berlaku sekitar jam 3.35 petang itu mengakibatkan kanak-kanak dikenali sebagai Chong Zee Han cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 4.32 petang ketika sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, siasatan awal mendapati insiden berlaku ketika MPV yang dipandu anggota lelaki berpangkat konstabel itu dalam perjalanan dari arah Lumut menghala ke Jelapang.
Setibanya di tempat kejadian, pemandu kereta Perodua Kelisa iaitu ibu mangsa yang berada di laluan bertentangan didakwa hilang kawalan lalu memasuki laluan MPV tersebut hingga menyebabkan perlanggaran berlaku.
Si ibu bersama dua anggota polis tersebut dilaporkan selamat, manakala anak perempuan mangsa maut.
Keluarga Mangsa Mohon Saksi Kemalangan Tampil Buat Laporan Polis
Terbaharu, seorang ahli keluarga mangsa dikenali sebagai Steven Wong menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya menyeru orang ramai khususnya saksi kejadian untuk tampil membuat laporan berhubung insiden berkenaan.
Menurut Steven yang juga pakcik kepada mangsa, keluarganya mahu menuntut keadilan untuk anak saudaranya itu.
“Di sini kami ingin merayu kepada orang ramai, sesiapa yang nampak kejadian kemalangan itu atau mempunyai apa-apa bukti seperti rakaman dashcam ataupun saksi kejadian, kami mohon sangat-sangat supaya membuat laporan polis dan menghubungi kami.
“Kami hanya mahu menuntut keadilan yang sepatutnya untuk si mati dan juga untuk adik perempuan kami.
Steven di akhir perkongsian turut memohon orang ramai untuk menyebarkan mesej tersebut. Kepada mereka yang mempunyai maklumat lanjut, anda boleh menghubungi Steven Wong di talian: 016 770 8617
Seorang Saksi Kemalangan Sudah Tampil Buat Laporan
Menerusi semakan kami di ruangan komen, seorang individu dipercayai saksi kejadian memaklumkan bahawa dia telah tampil membuat laporan polis berhubung insiden.
“Hai, saya saksi kejadian. Saya sudah membuat laporan dan memaklumkan kepada Kelvin (salah seorang keluarga mangsa),” kata saksi kejadian, Rajvin Rajalingam.

Namun setakat ini, belum ada sebarang info lanjut daripada pihak berkuasa mengenai laporan yang dibuat saksi berkenaan.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.Â