Now Reading
Sultan Sharafuddin Tidak Berkenan Penternakan Babi Di Semua Daerah Selangor

Sultan Sharafuddin Tidak Berkenan Penternakan Babi Di Semua Daerah Selangor

Sultan Sharafuddin menegaskan agar isu penternakan babi yang menyebabkan keresahan pelbagai pihak dan menggugat keharmonian masyarakat dihentikan serta dimuktamadkan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Isu operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat yang dirancang pada tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar, Hulu Selangor pada 2030 telah menyebabkan perdebatan dalam kalangan orang ramai.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun mengeluarkan kenyataan semalam (9 Februari) bahawa beliau tidak bersetuju jika penternakan babi dijalankan di kawasan yang dibantah oleh penduduk tempatan.

Beliau turut meminta agar projek tersebut dihentikan jika tiada kawasan yang bersesuaian yang dijumpai di Selangor.

Baca Artikel Berkaitan: Selangor Batal Sementara Projek Ladang Babi Selepas Terima Bantahan Penduduk Setempat

Baca Artikel Berkaitan: Sultan Selangor Titah Tiada Lagi Ladang Babi Di Tanjong Sepat

Baca Artikel Berkaitan: “Walaupun Babi Tu Busuk, Busuk Lagi Budu & Belacan”- MP Puncak Borneo Minta Henti Hina Makanan [Video]

Sultan Sharafuddin Tidak Berkenan Penternakan Babi Di Selangor

Terbaharu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris menyambut baik kenyataan Perdana Menteri dan tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri Selangor.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, pendirian itu dibuat kerana penternakan babi boleh menyebabkan pencemaran udara dan sungai disebabkan oleh bau busuk yang dihasilkan serta pelepasan najis dan sisa kumbahan babi.

“Sebagai contohnya cadangan penternakan babi di Bukit Tagar daerah Hulu Selangor yang merupakan kawasan pendudukan orang Melayu dan kawasan Felda, pastinya menerima bantahan daripada penduduk Melayu di kawasan tersebut dan persekitarannya.

“Di samping itu, ianya boleh mengakibatkan pencemaran kepada kawasan tadahan air dan juga sungai yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” kata kenyataan itu.

Tiada Jaminan Penternakan Moden Tidak Sebabkan Pencemaran

Kenyataan oleh Pejabat Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor itu turut mengulas isu kos yang perlu dikeluarkan untuk menjalankan kaedah penternakan babi secara moden bagi mengatasi pencemaran udara dan sungai.

“Ianya memerlukan perbelanjaan yang besar dan tidak mungkin mampu dibiayai oleh mana-mana pihak yang menternak hanya untuk bekalan daging babi di negeri Selangor sahaja,” katanya.

Malah, jelasnya lagi tiada jaminan bahawa kawasan tadahan air dan sungai yang merupakan sumber air buat penduduk di Selangor tidak akan tercemar dengan penternakan moden.

“Selain itu, penternakan babi berskala besar atau kecil juga tidak sesuai dilaksanakan di negeri Selangor kerana sumber tanah yang terhad dan ditambah pula dengan faktor nilai hartanah yang tinggi yang sewajarnya digunakan untuk tujuan yang lebih ekonomi dan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat,” kata kenyataan itu lagi.

Sultan Selangor Sarankan Kerajaan Keluarkan Lesen Import Daging Babi

Tambah kenyataan itu lagi, Sultan Sharafuddin juga memberi saranan agar lesen pengimportan daging babi dikeluarkan oleh kerajaan bagi menampung permintaan khususnya bagi kaum Cina di negeri Selangor.

Katanya isu penternakan babi di negeri Selangor yang sudah sekian lama berlaku akan dapat diselesaikan menerusi kaedah ini.

“Dalam masa yang sama kerajaan negeri boleh mengoptimumkan penggunaan tanah negeri Selangor bagi tujuan lain seperti pembangunan dan penempatan,” kata kenyataan sama.

Sultan Sharafuddin turut menegaskan agar isu penternakan babi yang menyebabkan keresahan pelbagai pihak dan menggugat keharmonian masyarakat dihentikan serta dimuktamadkan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd