Kes Bunuh Diri Lelaki Muda Tunjukkan Peningkatan Yang Membimbangkan, Perlu Ambil Tindakan Segera
Data oleh Polis Diraja Malaysia (PDR) menunjukkan bahawa kes bunuh lebih banyak berlaku dalam kalangan lelaki muda yang bekerja.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Tidak dapat dinafikan lagi saban hari semakin ramai orang kini mengalami masalah kesihatan mental termasuk tekanan, kegelisahan dan gangguan lain.
Sekiranya individu yang mengalami masalah kesihatan mental tahap teruk tidak mendapatkan bantuan dan sokongan, mereka turut berisiko mengalami pemikiran untuk bunuh diri atau ‘suicidal ideation’.
Terdapat golongan tertentu yang lebih berisiko mengalami masalah ini, sering kali disebabkan oleh stigma yang membelenggu masyarakat terkait soal kesihatan mental.
Baca Artikel Berkaitan: Cubaan Bunuh Diri Bukan Lagi Kesalahan Jenayah Di Malaysia
80% Kes Bunuh Diri Yang Dilaporkan Di Malaysia Membabitkan Lelaki
Di Malaysia, kes bunuh diri dalam golongan lelaki muda, terutamanya mereka yang berada dalam dunia pekerjaan, menunjukkan peningkatan yang membimbangkan.
Berdasarkan data bagi tempoh 2020 hingga Oktober 2025, lebih 80% daripada 5,857 kes bunuh diri yang dilaporkan dalam negara membabitkan lelaki. Daripada jumlah ini, 1,813 merangkumi individu berumur antara 15 ke 30 tahun.
Data tersebut telah dikongsikan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di satu Persidangan Meja Bulat Belia tertutup berkenaan intervensi awal terhadap bunuh diri dalam kalangan golongan muda minggu lepas.
Orang ramai memberi reaksi yang berbeza dengan sesetengah daripada mereka tidak terkejut melihat angka itu, memandangkan gaji kekal rendah sementara kos kehidupan meningkat.
Dalam masa sama, golongan lelaki ini juga mengalami tekanan dari tahap jangkaan yang tinggi terhadap diri mereka.
Ini termasuklah kepercayaan bahawa seorang lelaki perlu kekal kuat dan tidak menangis, yang sering kali ditekankan oleh sistem patriarki atau figura lelaki toksik.
Mereka yang bergelut dengan masalah ini juga sukar mendapatkan bantuan akibat halangan stigma yang terkait dengan isu kesihatan mental.
Malah topik tentang kesihatan mental masih menjadi satu taboo dalam kalangan segolongan rakyat Malaysia disebabkan oleh perselisihan faham, ketakutan dan kejahilan.

Hannah Yeoh Dedah Golongan Muda Takut Dapatkan Bantuan Kerana Tanggapan Individu Lain
Bercakap selepas sesi konferens tersebut, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, menyatakan kebimbangan yang mendalam terhadap peningkatan kes bunuh diri dalam kalangan lelaki.
Dia juga menegaskan bagaimana banyak insiden tidak dilaporkan, membuatkan data yang dikumpul tidak begitu tepat.
Di samping itu, Yeoh memberi amaran bahawa pelaporan media secara tidak sensitif boleh mencetuskan insiden ‘copycat’, iaitu apabila individu lain meniru aksi terbabit.
Dia menekankan keperluan latihan komprehensif dalam segenap ekosistem, sementara mendedahkan bahawa testimoni dari golongan muda menunjukkan mereka yang mengalami masalah itu takut untuk mendapatkan bantuan kerana risau akan tanggapan rakan dan individu lain di sekeliling.
“Stigma kekal sebagai halangan utama. Golongan muda yang mendapatkan bantuan sering kali dilabel, termasuklah oleh pensyarah, rakan sekerja, guru atau ahli keluarga,” katanya.
Dalam masa sama, data oleh PDRM turut menunjukkan peningkatan kes bunuh diri dalam kalangan kanak-kanak dan golongan tua. Selangor merakamkan jumlah insiden bunuh diri tertinggi, diikuti oleh Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Kes Bunuh Diri Lelaki Di Malaysia Lebih 3 Kali Ganda Berbanding Wanita
Sebelum ini, satu kajian yang dijalankan ke atas insiden bunuh diri di Malaysia mendapati bahawa, kadar purata bunuh diri bagi lelaki antara tahun 2017 hingga 2019 adalah 8.8, manakala kadar bagi wanita hanya 2.4.
Ini menunjukkan perbezaan lebih tiga kali ganda bagi kadar bunuh diri dalam kalangan lelaki berbanding wanita.
Malah, kadar bunuh diri telah meningkat dengan mendadak dalam kalangan lelaki dari tahun 2014 hingga 2019.
Statistik bagi tahun 2010 hingga 2014 daripada Pusat Informatik Kesihatan KKM juga menunjukkan bahawa jumlah kematian akibat bunuh diri bagi lelaki adalah lebih tinggi daripada wanita.
Baca Artikel Berkaitan: Benarkah Lebih Banyak Kes Bunuh Diri Terjadi Dalam Kalangan Lelaki?
Dapatkan Bantuan Jika Anda Mengalami Tekanan Atau Perasaan Bunuh Diri
Mengalami masalah kesihatan mental sememangnya menjadi beban buat seseorang. Namun masih ramai yang benar-benar peduli dan boleh memberikan sokongan.
Jika anda berdepan masalah sedemikian dan takut untuk bercakap kepada orang tersayang atau kenalan, terdapat pihak pakar yang boleh memberi bantuan dan sokongan dengan lebih bagus.
Berikut kami senaraikan beberapa nombor untuk dihubungi yang boleh membantu anda atau seseorang yang anda rasa perlukan bantuan.
Servis Sokongan Psikososial Kesihatan Mental
Tel: 03-2935 9935 or 014-322 3392
Talian Kasih
Tel: 15999 atau WhatsApp 019-2615999
Befrienders KL
Tel: 03-7627 2929
Laman web: www.befrienders.org.my/centre-in-malaysia
Talian Buddy Bear (Panggilan percuma untuk kanak-kanak, 6pm-12am)
Tel: 1800-18-BEAR atau 1800-18-2327
Facebook: buddybear.humankind
Aplikasi MySejahtera
Klik pada butang ‘MyMinda’ dalam aplikasi
Baca Artikel Berkaitan: Rasa Sakit-Sakit Badan Tapi Doktor Kata Tiada Masalah? Mungkin Alami Tekanan Emosi
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Wanita Kongsi Macam Mana Nak Tahu Mental Sudah Penat
Baca Artikel Berkaitan: Betul Ke Joging & Berlari Dapat Bantu Kurangkan Masalah Mental?
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.