Now Reading
Kebakaran Paling Teruk Di Hong Kong Selepas Puluhan Tahun, 94 Maut & Lebih 200 Dilaporkan Hilang

Kebakaran Paling Teruk Di Hong Kong Selepas Puluhan Tahun, 94 Maut & Lebih 200 Dilaporkan Hilang

Sehubungan itu, polis telah menahan tiga lelaki dari syarikat kontraktor yang bertanggungjawab dalam kerja-kerja pengubahsuaian di Wang Fuk Court atas dakwaan membunuh tanpa niat.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada Rabu (26 November) lalu, satu kebakaran maut telah tercetus di kompleks perumahan Wang Fuk Court di daerah Tai Po, Hong Kong.

Bencana itu merupakan kebakaran paling teruk yang dihadapi oleh Hong Kong dalam tempoh hampir 80 tahun, mengorbankan sekurang-kurangnya 94 orang setakat pagi ini (28 November).

Berdasarkan laporan media, api sudah hampir dipadamkan sepenuhnya dengan kebakaran hanya terhad kepada empat blok di kompleks kediaman tersebut.

Puluhan Tercedera & Ratusan Mangsa Yang Hilang Masih Belum Ditemui

Dalam masa sama, pasukan penyelamat masih meneruskan usaha pencarian ratusan mangsa yang dilaporkan hilang.

Untuk info, 279 mangsa dilaporkan hilang pada pagi Khamis (27 November), namun jumlah berkenaan masih belum dikemas kini.

Menurut jurucakap kerajaan, 76 orang termasuk 11 anggota bomba pula telah tercedera dalam kebakaran terbabit dan kini sedang dirawat.

Penduduk Tidak Mendengar Penggera Kebakaran

Walaupun api di kompleks perumahan itu sudah semakin lemah, namun media antarabangsa melaporkan masih terdapat percikan api dan asap tebal yang sekali-sekala muncul dari struktur bangunan.

Bagi tujuan mengelakkan bara api daripada menyala semula, pasukan bomba terus menyembur air pada struktur bangunan untuk menyejukkannya.

Media juga melaporkan bahawa penduduk di Wang Fuk Court mendakwa tidak mendengar sebarang bunyi penggera kebakaran.

Sebaliknya mereka saling mengetuk pintu setiap rumah bagi memberi amaran kepada penduduk lain tentang bencana yang berlaku.

Tiga Lelaki Ditahan Sebagai Suspek Pembunuhan Kerana Gunakan Bahan Berbahaya

Sehubungan itu, satu siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran maut tersebut.

Berdasarkan laporan Reuters, kompleks perumahan lapan bangunan yang menempatkan lebih 4,600 penduduk itu sedang melalui kerja-kerja pengubahsuaian serta dibaluti perancah buluh dan jaring plastik sebelum kebakaran berlaku.

Dalam satu siasatan awal, pihak berkuasa menemukan bahan styrofoam yang menutupi lif tingkap di setiap tingkat yang dikatakan menyebabkan api tersebar dengan lebih cepat.

Malah jaring dan lembaran mesh yang digunakan di luar bangunan juga tidak menepati standard keselamatan kebakaran.

Dalam pada itu, polis telah menahan dua pengarah dan seorang konsultan dari kontraktor bertanggungjawab atas dakwaan membunuh tanpa niat dengan menggunakan bahan berbahaya.

Mereka didakwa menggunakan bahan yang tidak patuh undang-undang bagi jaring perancah dan menutup tingkap dengan styrofoam, sekali gus menyebabkan tragedi kebakaran tersebut.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd