Hampir 12,000 Kanak-Kanak Tercedera Atau Terbunuh Dalam Konflik Pada 2024, Jumlah Tertinggi Sejak 2006
Laporan oleh Save the Children juga mendedahkan bahawa 70% daripada jumlah kanak-kanak yang tercedera atau terkorban di zon perang pada 2024 adalah disebabkan oleh senjata letupan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa walaupun dunia sudah memasuki fasa moden, masih terdapa pihak yang tamak sehingga sanggup melakukan peperangan.
Antara perang yang mendapat perhatian dunia termasuklah Perang Saudara Sudan, Perang Rusia-Ukraine dan pembantaian ke atas rakyat Palestin di Gaza.
Walaupun undang-undang peperangan menetapkan bahawa orang awam tidak boleh dibunuh, masih ramai dalam kalangan mereka yang menjadi mangsa.
Lebih mengecewakan lagi apabila kanak-kanak tidak bersalah turut terkorban kerana terperangkap dalam konflik yang berlaku.
Baca Artikel Berkaitan: 28 Kanak-Kanak Palestin Terbunuh Setiap Hari Di Gaza – UNICEF
Baca Artikel Berkaitan: Bekalan Makanan Tak Dibenarkan Masuk Ke Gaza, Penduduk Akan Terkorban Akibat Kebuluran
Baca Artikel Berkaitan: Konflik Di Sudan: Apa Sebenarnya Yang Berlaku? Ini Yang Patut Korang Tahu
Jumlah Kanak-Kanak Terbunuh & Tercedera Dalam Konflik Tertinggi Pada 2024
Terbaharu, laporan oleh Save the Children mendedahkan jumlah kanak-kanak yang tercedera atau terbunuh disebabkan oleh senjata letupan, seperti peluru berpandu dan bom tangan, telah mencapai tahap tertinggi tahun lepas.
Menurutnya, data Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) merekodkan hampir 12,000 kanak-kanak yang terbunuh atau tercedera dalam konflik di seluruh dunia pada tahun 2024, tertinggi sejak 2006 dan meningkat 42% berbanding 2020.
Sebelum ini, kanak-kanak di kawasan konflik atau perang lebih kerap terkorban akibat malnutrisi, penyakit atau kegagalan sistem kesihatan.
Namun Save the Children berkata lebih banyak kanak-kanak menjadi mangsa apabila pengeboman dan serangan dron disasarkan ke atas hospital, sekolah dan kawasan tempat tinggal di bandar, seperti yang terjadi di Gaza, Sudan dan Ukraine.

70% Kecederaan & Kematian Kanak-kanak Disebabkan Senjata Letupan
Laporan sama turut mendedahkan bahawa senjata letupan telah menyebabkan kecederaan atau kematian lebih 70% kanak-kanak di zon perang pada tahun lepas, meningkat dari purata 59% bagi tempoh 2020 ke 2024.
“Dunia sedang menyaksikan pemusnahan zaman kanak-kanak yang disengajakan, dan bukti tidak dapat disangkal. Kanak-kanak yang paling menderita dalam peperangan zaman ini.
“Peluru berpandu disasarkan di mana kanak-kanak tidur, bermain dan belajar. Setiap lokasi yang sepatutnya paling selamat seperti rumah dan sekolah, menjadi perangkap kematian,” kata penasihat konflik dan advokasi hak manusia, Narmina Strishenets.
Menurut Save the Children, antara konflik yang menyebabkan jumlah kecederaan dan kematian kanak-kanak tertinggi pada tahun lepas adalah yang berlaku di Gaza dan Tebing Barat, Sudan, Myanmar, Ukraine serta Syria.
Lebih 20,000 kanak-kanak telah terbunuh di Gaza sejak Oktober 2023, manakala sekurang-kurangnya 3,000 terbunuh atau tercedera di Ukraine sejak tahun 2022.
“Tindakan yang dahulunya dikutuk oleh komuniti antarabangsa dan menyebabkan kemarahan global kini diremehkan sebagai ‘kos peperangan’,” kata Strishenets.
Kanak-kanak Lebih Lambat Sembuh Jika Tercedera Akibat Letupan
Berbanding orang dewasa, tubuh badan kanak-kanak yang kecil dengan organ sedang berkembang bermakna mereka menanggung kecederaan lebih serius akibat letupan, sekali gus membuatkan penyembuhan lebih kompleks dan lambat.
Perunding doktor kecemasan pediatrik Paul Reavley berkata kanak-kanak lebih terdedah kepada senjata letupan berbanding dewasa.
Dia yang juga pengasas bersama Paediatric Blast Injury Partnership menjelaskan bahawa kanak-kanak lebih banyak terkesan disebabkan oleh anatomi, fisiologi, tingkah laku dan keperluan psikososial yang berbeza.

Lebih 50,000 Kanak-Kanak Tercedera Atau Terbunuh Di Gaza
Satu kenyataan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Mei lalu mendedahkan sekurang-kurangnya 50,000 kanak-kanak dilaporkan terbunuh atau tercedera di Gaza sejak Oktober 2023.
Malah Pengarah Wilayah UNICEF untuk Timur Tengah dan Afrika Utara, Edouard Beigbeder berkata, sebanyak 1,309 kanak-kanak dilaporkan terkorban dan 3,738 lagi mengalami kecederaan dalam tempoh antara gencatan senjata dihentikan pada 18 Mac sehingga 27 Mei.
Salah satu pengeboman yang berlaku di sebuah sekolah di bandar Gaza dilaporkan telah membunuh 18 orang kanak-kanak yang terperangkap dalam kebakaran.
“UNICEF sekali lagi menggesa setiap pihak dalam konflik agar menghentikan segala keganasan, melindungi orang awam termasuk kanak-kanak, menghormati undang-undang kemanusiaan dan hak asasi antarabangsa, membenarkan kemasukan bantuan dan pembebasan tawanan.
“Kanak-kanak Gaza memerlukan perlindungan. Mereka memerlukan makanan, air dan ubat-ubatan. Mereka memerlukan gencatan senjata. Tetapi lebih daripada segalanya, mereka memerlukan tindakan kolektif segera untuk menghentikan segala ini sepenuhnya,” katanya ketika itu.
Baca Artikel Berkaitan: Kem Pelarian Di Gaza Dilanda Banjir, Kerugian Dianggar Lebih RM8.3 Juta
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.