Now Reading
Lebih 3,000 Kes Jenayah Seksual Bawah Umur Direkodkan, 19.65% Berlaku Di Sekolah

Lebih 3,000 Kes Jenayah Seksual Bawah Umur Direkodkan, 19.65% Berlaku Di Sekolah

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, mendedahkan sebanyak 3,093 kes jenayah seksual bawah umur direkodkan antara 2023 hingga Oktober tahun ini.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kes jenayah seksual di dalam negara dilihat semakin meningkat, dengan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mencatatkan peningkatan 12.1% pada tahun 2024 berbanding tahun sebelum.

Malangnya, terdapat juga jenayah seksual yang berlaku di dalam kawasan sekolah sendiri, lokasi yang sepatutnya menjadi tempat selamat buat kanak-kanak.

Seperti pada Oktober lalu, media melaporkan satu kes rogol bergilir-gilir dan satu kes rogol berkumpulan yang terjadi di dalam perkarangan sekolah.

Baca Artikel Berkaitan: Statistik Jenayah Malaysia 2025 Dedah Kadar Kes Jenayah Meningkat 11.1%

Baca Artikel Berkaitan: Lagi Kes Rogol Berkumpulan Di Sekolah, 3 Pelajar & Bekas Pelajar Ditahan Polis

Baca Artikel Berkaitan: Lebih 12,000 Pengikut, Grup FB Penuh Gambar Budak Sekolah & Komen Jelik Curi Perhatian

Lebih 3,000 Kes Jenayah Seksual Bawah Umur Direkodkan Dalam Tempoh 3 Tahun

Semalam (13 November), Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran, mendedahkan bahawa hampir 20% kes jenayah seksual membabitkan individu bawah umur berlaku di sekolah.

Statistik itu diambil daripada rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mencatatkan 608 (19.65%) kes daripada sejumlah 3,093 kes jenayah seksual bawah umur antara 2023 hingga Oktober lalu.

“Jumlah kes jenayah seksual membabitkan individu bawah umur 18 tahun adalah 1,160 kes pada 2023 dan diikuti 1,041 kes pada 2024, manakala 892 kes direkodkan pada Januari hingga Oktober tahun ini,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid, bertanya tentang usaha kerajaan dalam menangani krisis jenayah seksual remaja di Malaysia.

Dalam pada itu, Kulasegaran berkata terdapat sejumlah 3,601 kes jenayah yang direkodkan membabitkan individu bawah umur 18 tahun antara 2023 hingga Oktober lalu.

Daripada jumlah ini, 1,194 kes dilaporkan pada 2023, diikuti 1,348 kes pada 2024 dan 1,059 kes lagi antara Januari hingga Oktober tahun ini.

KPM Tubuh Jawatankuasa Khas Bagi Menambah Baik Program Sekolah Selamat

Mengulas tentang langkah bagi menangani isu berkenaan, Kulasegaran berkata Kementerian Pendidikan (KPM) telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan yang menggabungkan kepakaran pelbagai pihak.

Antara yang terlibat dalam jawatankuasa itu termasuk pakar akademik, agensi kerajaan seperti PDRM serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

“Sehingga kini, jawatankuasa itu telah bermesyuarat dua kali dan telah membincang serta membuat cadangan berkenaan menambah baik program sekolah selamat,” katanya dipetik Berita Harian.

CCTV Akan Dipasang Di 200 Sekolah, 600 Pembantu Warden Asrama Bakal Dilantik

Dalam masa sama, Kulasegaran memaklumkan bahawa sebanyak 1,253 sekolah setakat 17 Oktober lalu, telah terbabit dalam pelaksanaan audit keselamatan yang bermula 19 Ogos tahun ini.

Tambahnya lagi, peruntukan sebanyak RM3 juta telah disediakan bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di 200 buah sekolah yang bertujuan untuk memantau kawasan berisiko.

“Sebagai langkah tambahan, peruntukan RM5 juta diturunkan bagi tujuan sama dengan perolehan akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.

Bagi tujuan meningkatkan pemantauan keselamatan murid pula, Kulasegaran berkata seramai 600 pembantu warden asrama bakal dilantik dalam kalangan personal MySTEP, sekali gus dapat mengurangkan beban tugas warden.

Komuniti Wajib Laporkan Kes Jenayah Seksual Kanak-Kanak Yang Disaksikan

Masyarakat sebenarnya mempunyai tanggungjawab untuk cakna dengan kes jenayah seksual yang berlaku terhadap kanak-kanak bawah umur.

Oleh itu, sekiranya seseorang tahu tentang insiden jenayah seksual kanak-kanak yang terjadi, mereka perlu melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini berkata, komuniti setempat seperti guru, jiran dan ahli keluarga yang menjadi saksi kes jenayah seksual kanak-kanak boleh didakwa di mahkamah sekiranya menyembunyikan atau tidak melaporkan kes berkenaan.

Dia berkata bahawa tidak ramai saksi terutamanya yang mempunyai hubungan rapat dengan mangsa tampil membuat laporan berhubung kes itu.

“Kes jenayah seksual kanak-kanak bukan hanya membabitkan mangsa (kanak-kanak) dan suspek sahaja tetapi jiran, cikgu sekolah dan ahli keluarga boleh dilibatkan jika mereka gagal buat laporan.

“Ini (tindakan) yang saya nak buat secara agresif. Sebab jika jiran tahu, cikgu tahu dan ahli keluarga tahu tetapi diam dan tidak mahu terlibat, maka kes dihadapi mangsa akan bertambah sulit,” ujarnya.

Baca Artikel Berkaitan: Jiran, Guru & Ahli Keluarga Boleh Didakwa Jika Gagal Lapor Kes Jenayah Seksual Kanak-Kanak

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Ini Dedah Masyarakat Kurang Cakna Kes Jenayah ‘Child Grooming’, Anggap Sekadar Jenaka

Baca Artikel Berkaitan: Penganiayaan Seksual Kanak-Kanak Dijana Guna Deepfake AI, Sebabkan Ketagihan Di Kalangan Remaja – PDRM


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd