Now Reading
Angkat Call Tapi Senyap Tak Bersuara, Ini Modus Operandi Baharu Scammer Yang Ramai Tak Sedar

Angkat Call Tapi Senyap Tak Bersuara, Ini Modus Operandi Baharu Scammer Yang Ramai Tak Sedar

Yang peliknya pemanggil dengan nombor mencurigakan ini tidak memberi respon ataupun tanya sebarang soalan pelik ketika panggilan telefon diangkat.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sampai ke hari ini, pihak berkuasa tidak berhenti memberi peringatan kepada orang ramai tentang bahaya taktik scammer yang semakin licik hingga mampu memperdayakan individu tidak kira golongan muda atau tua.

Menurut laporan State of Scams in Malaysia 2025, seramai 85% responden di Malaysia berdepan cubaan penipuan (scam) dalam tempoh setahun lalu, dan 73% daripada mereka menjadi mangsa.

Penipuan pelaburan dikenal pasti sebagai jenis penipuan utama di Malaysia, dengan panggilan telefon kekal sebagai saluran paling banyak digunakan oleh scammer.

Baca Artikel Berkaitan: 73% Rakyat Malaysia Jadi Mangsa Scam, Paling Banyak Menerusi Panggilan Telefon – Laporan

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Lelaki Dedah Bagaimana Scammer Berjaya Akses Data Peribadi Mangsa Dalam Telefon Bimbit

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Menyamar Konon Polis Minta Belikan Barang, Pemandu e-Hailing Ini Dedah Taktik Terbaru Scammer

Taktik ‘Panggilan Senyap’ Jadi Helah Baru Scammer

Sebenarnya terdapat satu lagi modus operandi penipuan terbaharu yang semakin berluasa di kalangan masyarakat.

Pernah tak anda terima panggilan daripada nombor tidak dikenali tetapi apabila dijawab, sunyi sepi tanpa suara daripada pemanggil? Kita pula asyik la, “Hello, hello hello,” sampai ke sudah.

via GIPHY

Jika anda pernah berdepan dengan situasi ini, hati-hati kerana berkemungkinan besar panggilan itu datang daripada geng scammer.

Menurut CyberSecurity Malaysia (CSM), mengangkat panggilan sedemikian boleh menyebabkan nombor telefon anda dikenal pasti sebagai nombor aktif dan dijadikan sasaran untuk pelbagai jenis penipuan pada masa akan datang.

“(Ia bagi) mengumpul metadata suara. Walaupun senyap, kadangkala panggilan dirakam untuk mengenal pasti latar bunyi atau suara pengguna.

“Jika mangsa menjawab, nombor akan dimasukkan ke dalam senarai sasaran dan seterusnya dijual atau digunakan untuk penipuan lanjut,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CSM Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab.

Ada Yang Terima SMS Selepas Jawab ‘Panggilan Senyap’

Situasi itu juga dipanggil sebagai ‘panggilan senyap’ yang bermaksud panggilan telefon diangkat tetapi tidak mempunyai sebarang respon dari pemanggil. Talian juga akan diputuskan selepas beberapa ketika.

Kadangkala, individu yang mengangkat panggilan ini turut menerima komunikasi susulan dalam bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai helah penipuan.

“Ada kes di mana selepas terima panggilan senyap, mangsa menerima SMS mengatakan akaun (bank) akan digantung dan diminta untuk menghubungi nombor telefon yang tertera,” dedah Amiruddin.

Sumber: Pexels

Ada Scammer Berlakon Seolah-olah Dari Agensi Kerajaan

Sesetengah individu yang menjawab panggilan senyap ini juga akan menerima mesej di WhatsApp berserta dengan pautan palsu ataupun tawaran kerja.

Tidak terhenti di situ, scammer akan cuba menghubungi anda semula menggunakan nombor lain jika anda pernah mengangkat panggilan senyap sebelum ini.

Waktu inilah mereka akan berlakon — kononnya wakil bank, syarikat kurier, polis, mahkamah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau dari agensi kerajaan lain untuk buat mangsa percaya.

“Kadang-kadang nombor pemanggil dipalsukan (spoofing) agar kelihatan seperti nombor tempatan,” tambah Amiruddin.

Baca Artikel Berkaitan: Rakyat Malaysia Negara Paling Senang Kena Scam Berulang, Tertinggi Di Asia

Scammer Akan Cuba Hubungi Berulang Kali Guna Pelbagai Jenis Nombor Mencurigakan

Tetapi tidak dapat dinafikan bahawa sesetengah nombor tidak dikenali bukanlah panggilan daripada scammer tetapi individu yang secara tidak sengaja terdial nombor anda.

Cara mudah untuk membezakannya adalah scammer akan berulang kali menghubungi anda menggunakan nombor telefon sama ataupun yang lebih kurang.

Scammer juga menggunakan nombor telefon luar negara atau antarabangsa yang pelik atau terlalu panjang.

Sumber: BuzzKini

Apa Perlu Buat Jika Terima Panggilan Senyap?

Ada kalanya, kita memang tidak boleh mengelak daripada menjawab panggilan daripada nombor tidak dikenali. Hal ini kerana sesetengah individu mungkin menantikan panggilan penting — contohnya daripada syarikat yang menawarkan pekerjaan.

Menurut CSM, langkah paling selamat boleh dilakukan apabila menerima panggilan senyap adalah menamatkannya dengan kadar segera. Ia penting bagi mengelakkan scammer atau sistem automatik (robocall) mengenal pasti nombor itu sebagai nombor aktif.

Amiruddin turut menasihati orang ramai agar tidak membiarkan panggilan itu berterusan atau mendedahkan sebarang maklumat peribadi.

“Sebagai langkah pencegahan, laporkan nombor mencurigakan kepada pihak berkuasa. Gunakan aplikasi seperti Truecaller atau Whoscall bagi membantu mengesan nombor spam.

“Anda boleh menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau syarikat telekomunikasi untuk menyemak status nombor dan melaporkan kegiatan spam yang berulang,” tambahnya lagi.

Sumber: Freepik

Jangan Kongsi Nombor Telefon Di Media Sosial!

Selain langkah di atas, individu juga dinasihati untuk tidak mendedahkan nombor telefon peribadi di media sosial dan memberi kesedaran kepada keluarga mengenai taktik penipuan terkini.

Malah anda juga disarankan untuk menggunakan dua nombor berasingan bagi tujuan peribadi dan umum.

Alternatif adalah orang ramai turut digalakkan memeriksa akaun kewangan serta digital masing-masing dari semasa ke semasa, dan membuat pengesahan terus dengan organisasi rasmi melalui talian yang disahkan.

Baca Artikel Berkaitan: Individu Dakwa Wang Dipulangkan Semula Lepas Lakukan 20 Transaksi Bank Pada Scammer

Baca Artikel Berkaitan: Wanita Kongsi Taktik Scam Baru, ‘Pancing’ Mangsa Dengan Hantar Hadiah Ke Rumah


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd