Merdeka 118 Diiktiraf Bangunan Tinggi Terbaik Dunia, Utamakan Kelestarian Alam
PNB Merdeka Ventures Snd Bhd (PNBMV) berkata pengiktirafan ini mencerminkan kehebatan seni bina, kepakaran kejuruteraan dan komitmen Merdeka 118 dalam mengutamakan kelestarian.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Menara Merdeka 118 kini merupakan bangunan tertinggi di Malaysia selepas mengatasi Menara Berkembar Petronas.
Malah ia turut menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa yang terletak di Dubai, Arab Saudi dan bangunan paling tinggi di Asia Tenggara.
Pembinaan menara ini sememangnya telah meletakkan negara di mata dunia dari segi aspek pembangunan moden.
Baca Artikel Berkaitan: Ini Sebab Kenapa Logo Maybank Diletakkan Pada Menara Merdeka 118
Merdeka 118 Terima Anugerah Bangunan Tinggi Terbaik Dunia
Terbaharu, Council of Vertical Urbanism telah mengiktiraf Merdeka 118 sebagai Bangunan Tinggi Terbaik (300 meter ke atas) di dunia.
Pengiktirafan itu dibuat ketika Majlis Anugerah CVU 2025 di Toronto, Kanada yang meraikan kecemerlangan dalam reka bentuk bangunan tinggi dan perancangan bandar di peringkat global.
Sebelumnya dikenali sebagai Council on Tall Buildings and Urban Habitat (CTBUH), CVU merupakan salah satu pihak berkuasa terkemuka dalam bidang pencakar langit dan kehidupan bandar moden.
Merdeka 118 Utamakan Pembangunan Bandar Mampan & Inklusif
Menerusi satu kenyataan, PNB Merdeka Ventures Snd Bhd (PNBMV) berkata pengiktirafan itu mencerminkan kehebatan seni bina, kepakaran kejuruteraan dan komitmen Merdeka 118 dalam mengutamakan kelestarian.
“Dengan ketinggian 678.9 meter di tengah-tengah Kuala Lumpur menjadikan Merdeka 118 sebagai bangunan tertinggi di Asia Tenggara dan menara kedua tertinggi di dunia, melambangkan kemajuan serta aspirasi negara,” katanya dipetik Berita Harian.
Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV Datuk Tengku Ab Aziz Tengku Mahmud berkata, pengiktirafan itu menjadi penghormatan besar buat negara dan turut merangkumi semua mereka yang terlibat dalam merealisasikan pembinaan Merdeka 118.
“Sejak dari awal lagi, visi kami bukan hanya untuk membina sebuah menara ikonik, tetapi juga membentuk sebuah kawasan menghubungkan masyarakat, meraikan warisan serta menyumbang kepada pembangunan bandar yang lebih mampan dan inklusif.
“Kami berasa bangga apabila visi ini diiktiraf di peringkat antarabangsa. Merdeka 118 mencerminkan semangat kemerdekaan, melambangkan ketabahan dan keyakinan Malaysia terhadap masa depan,” katanya.

Merdeka 118 Cerminkan Warisan & Identiti Negara
Mungkin ada yang menganggap Merdeka 118 direka dengan tujuan untuk mencapai ketinggian luar biasa.
Namun menurut Arkitek Utama Fender Katsalidis Karl Fender, reka bentuk menara itu sebenarnya merupakan peluang bagi mencipta satu monumen yang menghormati warisan Malaysia sementara turut meraikan masa depannya.
“Anugerah ini mengukuhkan keyakinan kami bahawa seni bina unggul terhasil daripada nilai serta tujuan mendalam, sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada generasi akan datang,” ujarnya.
Mengulas tentang reka bentuk bersepadunya, Pengerusi CVU Shonn Mills berkata, Merdeka 118 menggabungkan kecekapan teknikal, nilai penceritaan budaya dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Ia menjadi contoh bagaimana bangunan tinggi mampu berperanan sebagai pemangkin kepada pembaharuan bandar, sambil mencerminkan identiti serta aspirasi sesebuah negara,” katanya.
Stadium Merdeka & 118 Mall Bakal Dibuka
PNBMV berkata pengiktirafan Merdeka 118 dilakukan sebaris dengan pembangunan bertaraf global lain yang memiliki keunggulan reka bentuk, inovasi serta peranan dalam memajukan konsep pembangunan bandar lestari.
Merupakan mercu utama Presint Merdeka 118, menara itu merangkumi pembangunan bercampur yang menampilkan dua stadium bersejarah, ruang komuniti dan reka bentuk berasaskan kelestarian.
“Komponen utama seperti Stadium Merdeka dan 118 Mall dijangka menjadi destinasi awam inklusif, disokong pelbagai inisiatif berteraskan komuniti termasuk Program Penambahbaikan Ruang Awam Merdeka 118 dan Geran Komuniti Merdeka 118,” jelas PNBMV.
Sebagai info, kedua-dua inisiatif itu merupakan sebahagian daripada projek Warisan KL dengan tujuan bagi menghidupkan semula kawasan kejiranan di sekitar menara itu termasuk dalam mengukuhkan jalinan komuniti di ibu kota.
Tambah PNBMV lagi, pengiktirafan Merdeka 118 sebagai Bangunan Tinggi Terbaik dunia sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pembangunan bandar mampan dan inklusif.
Reka Bentuk Merdeka 118 Tampil Sejarah Kemerdekaan Negara
Merdeka 118 telah dirasmikan pada 10 Januari 2024, sekali gus menjadi mercu baru kebanggaan negara.
Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika merasmikannya bertitah, bahawa menara itu menjadi simbol rakyat meraikan kepelbagaian negara sebagai realiti wajah Malaysia yang merdeka.
Dibina di tapak bekas Taman Merdeka, pembangunaan Merdeka 118 dibuat sempena memperingati sejarah kemerdekaan Malaysia.
Ia juga terletak bersebelahan dua warisan negara iaitu Stadium Negara serta Stadium Merdeka.
Malah rekaan menara itu sendiri diinspirasikan daripada imej ikonik Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Ia seolah-olah menyerupai tangan kanan Tunku Abdul Rahman dinaikkan semasa melaungkan ‘Merdeka’ tujuh kali pada 31 Ogos 1957.
Menurut portal Merdeka Tower, sekitar 5 bilion ringgit (1.07 bilion dolar) dihabiskan untuk konstruksi menara tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: Menara Merdeka 118 Baru Sahaja Dirasmikan YDPA, Ini 8 Fakta Menarik Yang Anda Patut Tahu
Baca Artikel Berkaitan: 10 Tempat Menarik Boleh Dilawat Untuk Rasai Semangat Patriotik Merdeka
Baca Artikel Berkaitan: Filem Thunderbolts* Oleh Marvel Studios Tampilkan Babak Di Malaysia
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



