Raja Charles Lucut Gelaran Putera Dari Andrew Atas Dakwaan Terbabit Skandal Epstein
Terdahulu, Andrew telah berdepan dakwaan mendera mendiang Virginia Giuffre secara seksual ketika wanita itu masih remaja.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Nama Jeffrey Epstein pasti tidak asing lagi dalam kalangan mereka yang mengikuti kes skandalnya melakukan penderaan dan menjalankan rangkaian kanak-kanak perempuan bagi tujuan seks.
Malah beberapa nama terkemuka turut didakwa mempunyai kaitan dengan pemangsa kanak-kanak itu, antaranya Putera Andrew dari United Kingdom.
Raja Charles Lucutkan Gelaran Putera Dari Andrew Atas Kaitan Skandal Epstein
Terbaharu, laporan media mendedahkan bahawa Raja United Kingdom Charles III telah melucutkan gelaran putera dari Andrew serta mendesaknya agar meninggalkan rumah Windsor.
Ia disifatkan sebagai tindakan paling dramatik terhadap seorang ahli keluarga diraja dalam sejarah moden British.
Berdasarkan makluman dari Buckingham Palace semalam (30 Oktober), tindakan itu diambil demi menjarakkan keluarga diraja dengan Andrew atas kaitannya dengan skandal Epstein.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, anak kedua mendiang Ratu Elizabeth itu berdepan tekanan kuat berkenaan tindakannya dan kaitannya dengan pesalah seks Epstein.
Gelaran Duke of York Telah Dilucutkan Dahulu Dari Andrew
Pada awal bulan ini, Andrew telah dipaksa agar berhenti menggunakan gelaran Duke of York.
Kini, Charles telah mengambil tindakan lebih tegas terhadap adiknya dengan melucutkan semua gelaran diraja, sekaligus meninggalkannya dengan hanya gelaran Andrew Mountbatten Windsor.
Dalam pada itu, Buckingham Palace telah mengutuskan notis rasmi kepada Andrew agar menyerahkan pajakan bagi rumah agam Royal Lodge di Windsor Estate, London.
Dia pula akan berpindah ke penginapan peribadi alternatif di estet Sandringham yang terletak di timur England.
Mengulas lanjut, Buckingham Palace berkata tindakan itu dianggap perlu walaupun Andrew terus menafikan sebarang dakwaan terhadapnya.
“Para Duli Yang Maha Mulia berharap untuk menyatakan bahawa ingatan dan simpati mereka telah dan masih ada bersaama mangsa-mangsa dalam mana-mana dan segala bentuk penderaan,” katanya.
Andrew Didakwa Lakukan Penderaan Seksual Terhadap Virginia Giuffre Ketika Masih Remaja
Pada tahun 2022, mendiang Virginia Giuffre telah membuat tuntutan guaman terhadap Andrew atas dakwaan menderanya secara seksual ketika zaman remajanya.
Satu gambar berkait skandal Epstein yang sering berlegar-legar di dalam talian menyaksikan Andrew merangkul pinggang Giuffre dengan Ghislaine Maxwell (bekas teman wanita Epstein) turut bergambar bersama.
Gambar yang tidak diketahui tarikhnya itu telah dikongsikan oleh United States District Court for the Southern District of New York pada 9 Ogos 2021, namun lokasi gambar tidak didedahkan.
Ini membuatkan Andrew dilucutkan dari segala kaitan ketenteraan dan perlindungan diraja pada tahun sama, walaupun tegas menafikan dakwaan itu.
Dalam memoirnya ‘Nobody’s Girl’, Giuffre berkata Andrew percaya bahawa mengadakan hubungan seksual bersama adalah hak kelahiran lelaki itu.
Pada awal tahun ini, Daily Mail menerbitkan satu surat antara Andrew dan Epstein dari tahun 2011. Ia mendedahkan bahawa Andrew berkata mereka patut “kekalkan hubungan rapat” dan akan “bermain lebih banyak tidak lama lagi”.

Andrew Tidak Bayar Sewa Rumah Agam Windsor Selama 2 Dekad
Walaupun Andrew berterusan menafikan dakwaan berkenaan, satu sumber istana menyatakan bahawa jelas terdapat kesalahan sementara dalam pertimbangan ketika perbicaraan.
Sumber itu juga berkata keputusan yang dibuat oleh Charles menerima sokongan keluarga diraja termasuk pewaris takhta Prince William.
Bukan sahaja berkait skandal Epstein, keputusan memaksa Andrew keluar dari Windsor juga penting setelah media melaporkan dia tidak membuat bayaran sewa selama dua dekad, selepas membayar untuk pengubahsuaian pada awalnya.
Pada Rabu (29 Oktober), seorang ahli jawatankuasa parlimen British mempersoalkan sama ada Andrew sepatutnya masih tinggal di dalam rumah agam itu.
Sebelum ini, tinjauan mendedahkan bahawa generasi muda di negara itu kurang membersi sokongan terhadap keluarga diraja.
Pun begitu, Charles dengan sokongan William, bertindak untuk melindungi institusi itu yang dijelaskan oleh pakar sebagai keutamaan bagi mana-mana pemerintah.
Epstein Mati Dalam Tahanan Sebelum Perbicaraan Atas Dakwaan Jalankan Rangkaian Gadis Bawah Umur Bagi Seks
Kes membabitkan Epstein telah dilaporkan sekurang-kurangnya seawal 2008, apabila ibu bapa kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun melaporkannya kepada pihak polis Florida atas dakwaan mencabul anak mereka di rumahnya di Palm Beach.
Siasatan yang dijalankan mendapati banyak gambar kanak-kanak wanita di seluruh rumahnya, dan dia disabitkan atas kesalahan meminta pelacuran daripada seorang minor.
Epstein bagaimanapun bebas dari hukuman penjara berat menerusi persetujuan dari pendakwa raya dan didaftarkan sebagai pesalah seks.
Pada tahun 2019, skandal Epstein menggemparkan dunia apabila dia berdepan dakwaan menjalankan rangkaian tersembunyi merangkumi gadis bawah umur bagi tujuan seks.
Dia bagaimanapun telah mati di dalam penjara sewaktu menunggu perbicaraan mahkamah, dengan kematiannya disifatkan sebagai bunuh diri.
Dalam pada itu, bekas teman wanitanya Maxwell telah disabit pada 2021 kerana berkomplot dengan Epstein untuk merekrut kanak-kanak perempuan bagi tujuan seks.
Sekadar info, orang ramai boleh memahami lebih lanjut berkenaan skandal Epstein dan dakwaan ke atas Andrew dengan menonton siri dokumentari Jeffrey Epstein: Filthty Rich di Netflix.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



