10 Juta Pekerja Bakal Nikmati Perlindungan 24 Jam Sehari & Tidak Kira Tempat Kemalangan – KESUMA
Menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), rekod PERKESO menunjukkan sejumlah 26,865 kes tuntutan telah ditolak antara tahun 2018 hingga 31 Ogos 2025 kerana dikategorikan sebagai bukan bencana kerja.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Di Malaysia, majikan wajib mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi pekerjanya untuk tujuan mendapatkan perlindungan keselamatan sosial.
Menerusi caruman ini, pekerja boleh mendapatkan tuntutan manfaat sekiranya mengalami kemalangan ketika di tempat kerja ketika waktu bekerja.
Ini juga termasuk kemalangan yang berlaku jika seseorang singgah di mana-mana tempat sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja seperti yang pernah dikongsikan oleh seorang wanita.
Baca Artikel Berkaitan: Wanita Kongsi Pengalaman Buat Tuntutan PERKESO Akibat Tulang Kaki Retak
Baca Artikel Berkaitan: Pekerja Boleh Tuntut Rawatan Percuma Di Klinik Panel PERKESO Jika Terlibat Dalam Kemalangan Ketika Bekerja
Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Perlindungan PERKESO Yang Mungkin Ramai Tak Tahu
LINDUNG 24/7 Tawar Manfaat Luar Waktu & Tempat Bekerja
Kini, perlindungan keselamatan sosial ini bakal dinikmati oleh 10 juta pekerja formal secara menyeluruh dengan pindaan terhadap Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
Menerusi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau ‘LINDUNG 24/7’, perlindungan yang ditawarkan bukan terhad kepada waktu bekerja sahaja, tetapi diberikan selama 24 jam sehari.
Menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), inisiatif terbaharu di bawah program LINDUNG Pekerja ini juga bakal memberi manfaat kepada pekerja yang kemalangan di mana-mana tempat dan tidak kira masa.
“Bacaan pertama Rang Undang-Undang (RUU) bagi pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) telah dibentangkan di Dewan Rakyat, menandakan langkah penting dalam memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara melalui pengenalan LINDUNG 24/7.
“Pengenalan LINDUNG 24/7 bukan sahaja meningkatkan perlindungan kepada pekerja dan keluarga mereka, malah membantu mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan awam negara dengan memastikan mangsa kemalangan terus mendapat bantuan kewangan dan pemulihan sewajarnya,” katanya.
Lebih 26,000 Tuntutan PERKESO Ditolak, Dikategorikan Sebagai Bukan Bencana Kerja
Mengulas lanjut, KESUMA berkata rekod PERKESO menunjukkan bahawa sejumlah 26,865 kes tuntutan telah ditolak antara tahun 2018 hingga 31 Ogos 2025 kerana dikategorikan sebagai bukan bencana kerja.
Menerusi pelaksanaan LINDUNG 24/7, situasi ini akan dapat dielakkan seterusnya memberi pelbagai faedah buat pekerja termasuk:
- Faedah Perubatan
- Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS)
- Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK)
- Faedah Orang Tanggungan (FOT)
- Elaun Layanan Sentiasa (ELS)
- Faedah Pengurusan Mayat (FPM)
- Faedah Pemulihan dan Faedah Pendidikan
Di samping itu, KESUMA menjelaskan bahawa pindaan tersebut dibuat berasaskan kesedaran bahawa tekanan dan risiko pekerjaan bukanlah berlaku di tempat kerja semata-mata.
Apatah lagi dalam era fleksibel dan ada yang bekerja jauh dari tempat tinggal, KESUMA berkata inisiatif baharu ini dijalankan selaras dengan realiti masa kini serta mengakui bahawa kemalangan dan kecedaran boleh berlaku bila-bila masa.
Bacaan kedua dan ketiga pindaan berkenaan akan dibentangkan di dewan rakyat dan dibahaskan pada Disember ini.
Ramai Setuju Dengan Perlindungan 24/7 PERKESO
Menerusi hantaran oleh konsultan dan pelatih sumber manusia Noorul Jannah di LinkedIn, ramai merasakan LINDUNG 24/7 sebagai satu inisiatif yang bagus.
“Dengan budaya kerja secara remote dan kerja 24/7, ini sememangnya berita baik untuk para pekerja,” kata seorang individu.
Inisiatif ini juga dikatakan mungkin akan memudahkan urusan pihak sumber manusia syarikat apabila tuntutan dilakukan oleh pekerja.
Namun seorang individu mempersoalkan jika pembaharuan ini akan menyebabkan kadar caruman PERKESO disemak semula dan berisiko meningkat.
Dalam masa sama, ada juga yang bertanya jika perlindungan ini termasuklah bagi kerja outstation di luar negara selama berbulan lamanya, sebagai contoh untuk memasang mesin.
Namun Noorul berkata regulasi penuh berkenaan inisiatif itu masih belum tersedia memandangkan ia baru menjalani bacaan pertama di dewan rakyat.







Pekerja Gig & Suri Rumah Juga Boleh Carum Dengan PERKESO
Selain pekerja formal, pekerja yang bekerja sendiri termasuk pekerja gig juga boleh membuat caruman sendiri dengan PERKESO.
Dikuatkuasakan pada 1 Mei 2023, terdapat dua kategori di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (LINDUNG KENDIRI) iaitu SPS Padanan Caruman dan SPS Madani.
Antara faedah-faedah yang dapat dinikmati oleh pencarum di bawah skim ini adalah:
- Faedah Perubatan – Rawatan perubatan percuma di klinik panel atau hospital kerajaan.
- Faedah Hilang Upaya Sementara – Terima bayaran 80% daripada RM1,550 dengan bayaran harian RM41.33 ketika cuti sakit.
- Faedah Hilang Upaya Kekal – Terima bayaran 90% daripada RM1,550 dan tertakluk kepada faktor umur dan taksiran peratus hilang upaya kekal.
- Elaun Layanan Sentiasa – Terima RM500 sebulan jika alami hilang upaya kekal.
- Faedah Orang Tanggungan – Tanggungan mendapat bayaran bulanan RM1,395 sepanjang hayat (mengikut kategori) jika pencarum meninggal dunia sewaktu bekerja.
- Faedah Pinjaman Pendidikan – Anak diberi pinjaman pendidikan jika pencarum meninggal dunia atau alami hilang upaya kekal.
- Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional – Pemulihan fizikal dan vokasional percuma di Pusat REHAB PERKESO dan bekalan alat bantuan.
- Faedah Pengurusan Mayat – Keluarga menerima RM2,000 bagi pengurusan jenazah.
Malah, terdapat juga Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR PERKESO) bagi para wanita yang tidak bekerja yang melindungi mereka sekiranya terlibat dalam bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga.
Namun setakat ini, tidak pasti sama ada kedua-dua golongan ini akan turut menerima mafaat di bawah inisiatif LINDUNG 24/7.
Baca Artikel Berkaitan: Khas Buat Wanita, Ini Info Tentang Skim Suri Rumah PERKESO
Baca Artikel Berkaitan: Masih Ada Tak Tahu, Golongan Bekerja Sendiri Hanya Perlu Bayar 20% Caruman PERKESO Menerusi SKSPS
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



