Now Reading
Dr Dzulkefly Dedah Hanya 73 Doktor Pakar Pulang Ke Malaysia Dari Tahun 2021 Hingga 2025

Dr Dzulkefly Dedah Hanya 73 Doktor Pakar Pulang Ke Malaysia Dari Tahun 2021 Hingga 2025

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, daripada jumlah itu hanya tiga yang memilih untuk berkhidmat di sektor perubatan awam, selebihnya di sektor swasta.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Negara kini mengalami kekurangan sumber tenaga doktor perubatan dan doktor pakar, lebih-lebih lagi di insituti kesihatan awam.

Seperti yang tular pada Julai lalu, sebuah klinik di Hospital Sungai Buloh hanya mempunyai empat doktor namun didatangi sejumlah 300 orang pesakit dalam masa sehari. Ini adalah bersamaan dengan 75 pesakit bagi setiap doktor.

Situasi ini juga mungkin timbul akibat ramai doktor yang memilih untuk berhijrah dan berkhidmat di luar negara atas pelbagai faktor.

Baca Artikel Berkaitan: “Seorang Doktor, 75 Pesakit” – Notis Di Hospital Sungai Buloh Raih Perhatian Ramai

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Bekas Pegawai Perubatan Dakwa Ramai Doktor Berhijrah Ke Luar Negara Kerana Gaji & Persekitaran Bekerja

Baca Artikel Berkaitan: Belanjawan 2026: 4,500 Doktor Kontrak Akan Ditawar Jawatan Tetap

Hanya 3 Doktor Pakar Yang Pulang Ke Malaysia Bekerja Di Sektor Perubatan Awam

Ketika sesi di Dewan Rakyat semalam (29 Oktober), Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, hanya 73 doktor pakar yang pulang ke Malaysia selepas bekerja di luar negara dari 2021 hingga 2025.

Daripada jumlah ini, 70 doktor pakar iaitu hampir 96% memilih untuk berkhidmat dalam sektor swasta dan badan berkanun setelah tiba di tanah air.

Sebaliknya, hanya tiga doktor pakar yang memilih berkhidmat di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM).

“Tidak semua ‘ground is greener next door’ (rumput di seberang nampak lebih hijau) sehingga mereka memijaknya,” ujarnya dipetik Berita Harian.

KKM Akan Perbaiki Skim Kerjaya Bagi Elak Petugas Kesihatan Berhijrah

Sehubungan itu, Dr Dzulkefly turut mengulas mengenai usaha bagi menangani isu petugas kesihatan berhijrah ke luar negara.

Beliau berkata, penting bagi KKM terus memperbaiki skim kerjaya bagi petugas kesihatan, khususnya yang berkaitan isu upah dan gaji.

Tambah Dr Dzulkefly lagi, pasukannnya sedang berusaha mencari jalan agar kakitangan kesihatan dapat dikekalkan di sektor awam termasuklah doktor pakar, pegawai perubatan (MO) dan jururawat.

“Ini sedang dilakukan antara lain kita perkenalkan untuk kekalkan pakar kita,” katanya.

Gambar sekadar hiasan

Dr Dzulkefly Sangkal Dakwaan MOH Singapura Cuba Rekrut Doktor Tempatan

Sebelum ini, pernah tular dakwaan bahawa Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura cuba merekrut doktor pakar dan jururawat dari Malaysia untuk bekerja di fasiliti kesihatan republik itu ketika satu pameran kerjaya.

Namun menurut Dr Dzulkefly, kegiatan itu dinafikan rakan sejawatnya dan turut dimaklumkan bahawa ia didalangi oleh agensi swasta.

“Jujurnya saya juga telah menghubungi Menteri Kesihatan Singapura. Pada awalnya, saya mendapat pengesahan daripada beliau bahawa ini adalah kegiatan agensi swasta.

“Beliau sendiri menyebut kepada saya dan rasa terkilan. Justeru, kita akan adakan libat urus seterusnya dan saya mahu perkara ini disusuli kerana ini bukan pertama kali saya ambil tindakan,” jelasnya.

Negara Berdepan ‘Krisis’ Kekurangan Doktor & Pakar Dalam Sektor Perubatan Awam

Berdasarkan laporan CNA, profesor di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Sharifa Ezat Wan Puteh, menyifatkan keadaan kekurangan tenaga kerja dalam sektor perubatan awam di Malaysia sebagai sebuah ‘krisis’.

Satu tinjauan yang dijalankan pada oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mendapati hanya 5% daripada fasiliti kesihatan awam negara mempunyai sumber tenaga mencukupi.

Malah data juga menunjukkan bahawa bilangan pelajar yang menjalani housemanship di bawah KKM turun hampir 50%, yakni dari 6,134 pada 2019 ke 3,271 pada 2023.

Sumber gambar: MalayMail

Dari segi ratio doktor-kepada-populasi di Malaysia pula, terdapat sekitar 2.5 doktor bagi setiap 1,000 orang, kedua tertinggi di Asia Tenggara selepas Singapura (2.9).

Walaupun ini adalah ratio yang konsisten dengan negara berpendapatan pertengahan asas, namun kebanyakan doktor tertumpu di kawasan pusat bandar.

Di samping itu, sektor perubatan awam juga mengalami kekurangan doktor pakar, iaitu hanya empat pakar bagi setiap 10,000 orang.

Ini adalah ratio yang amat rendah berbanding purata 14.3 pada 2018 dalam kalangan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Baca Artikel Berkaitan: Ringankan Beban Petugas Kesihatan, KKM Semak Semula Amalan Kerja Termasuk ‘On Call’

Baca Artikel Berkaitan: Dr Zaliha Minta Petugas Kesihatan Buat Aduan Melalui Sistem MyHELP Jika Jadi Mangsa Buli

Baca Artikel Berkaitan: “Garis Panduan Pengurusan Buli Bagi Petugas Kesihatan Akan Dikeluarkan” – KKM


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd