KL ‘Total Lockdown’ Sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, Ini Info Anda Patut Tahu
16,000 anggota polis akan digerakkan bagi melancarkan aliran trafik dan protes anti-Trump dijangka berlaku ketika tempoh persidangan ASEAN ini.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kuala Lumpur kini giat membuat persiapan menghadapi sekatan keselamatan luar biasa menjelang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober 2025.
Pusat bandar akan ditutup sepenuhnya sepanjang tempoh sidang kemuncak, melibatkan penutupan jalan penuh dan secara bergilir, pemantauan polis yang dipertingkat, serta pelaksanaan sekatan pergerakan yang ketat.
Menurut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, lockdown ini bagaimanapun akan bermula lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2025.

“Polis akan menggerakkan kira-kira 16,000 anggota dari seluruh negara, khususnya negeri-negeri bersempadan dengan Kuala Lumpur bermula 23 Oktober ini bagi membantu dan melancarkan aliran trafik.
“Justeru, pusat bandar raya Kuala Lumpur ditutup sepenuhnya dan polis tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan,” kata beliau.
Antara Jalan Yang Ditutup Bersempena Persidangan Kemuncak ASEAN
Sementara itu, Pusat Komando dan Kawalan Kuala Lumpur (KLC3) sebelum ini memaklumkan beberapa jalan utama dan lebuh raya di ibu negara akan ditutup secara berperingkat bermula 26 hingga 28 Oktober.
Antara jalan utama yang terlibat termasuk:
- Jalan Ampang
- Jalan Sultan Ismail
- Jalan P. Ramlee
- Persiaran KLCC
- Jalan Tun Razak
- Jalan Bukit Bintang
- Jalan Imbi
- Jalan Parlimen
- Jalan Kuching
- Beberapa laluan lebuh raya dari KLIA dan Subang menuju ke pusat bandar
Penutupan jalan akan dilaksanakan secara berkala antara 30 hingga 45 minit bagi memberi laluan kepada pergerakan konvoi rasmi peringkat tertinggi sepanjang tempoh persidangan terbabit.
Dalam masa sama, penutupan dan lencongan laluan untuk tujuan raptai juga akan dilaksanakan bermula 17 Oktober. Laluan terlibat ialah dari Lapangan Terbang Anrake hotel penginapan sekitar Kuala Lumpur, Seri Negara Kuala Lumpur serta Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Buat anda yang masih keliru, jangan lupa tarikh-tarikh penting ini khususnya jika anda bekerja atau tinggal di kawasan Kuala Lumpur.
- 17-22 Oktober: Lencongan laluan
- 23-25 Oktober: Penutupan sementara (Dry-run)
- 25-28 Oktober: Penutupan sementara (Sidang Kemuncak ASEAN)
Justeru, orang ramai digalak menggunakan pengangkutan awam seperti MRT, LRT, monorel atau bas.
Penjawat Awam Tinggal Dalam Radius 25KM Dibenarkan WFH
Dalam pada itu, golongan penjawat awam yang bekerja di sekitar lokasi Sidang Kemuncak ASEAN dan tinggal dalam lingkungan 25 km dari pejabat bekerja dari rumah (WFH).
Manakala sebanyak 72 sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor akan beralih kepada pembelajaran dalam talian sepanjang tempoh sidang kemuncak tersebut.

Sumber: Malay Mail
Trump & Pemimpin Dunia Lain Akan Berhimpun Di Kuala Lumpur
Antara tokoh berprofil tinggi yang bakal tiba di Kuala Lumpur ialah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang dijadualkan tiba pada 26 Oktober dan dijangka menyaksikan majlis menandatangani perjanjian damai dicadangkan antara Thailand serta Kemboja.
Penyertaan Trump ini akan menandakan kehadiran pertamanya ke Sidang Kemuncak ASEAN sejak kembali memegang jawatan presiden.
Bagaimanapun, lawatan Trump ini dilihat kurang disenangi sesetengah pihak. Dalam usaha Malaysia menampilkan imej diplomatik yang kukuh, ketegangan politik dalam negara tetap terasa.
Penganjur protes dilaporkan merancang untuk mengadakan demonstrasi membantah kehadiran Trump, dengan alasan berkaitan dasar luar Amerika Syarikat, peperangan Palestin-Israel, dan ketegangan global lain.
Baca Artikel Berkaitan: Amerika Syarikat Akan Ambil Alih Gaza, Kata Donald Trump
Baca Artikel Berkaitan: Cadangan Trump Pindahkan Penduduk Gaza Adalah Satu Bentuk ‘Pembersihan Etnik’ – PBB
Poster anti-Trump juga mula tersebar di media sosial serta di beberapa bandar utama seluruh negara.

Meskipun kempen protes ini belum disahkan secara rasmi, pihak keselamatan dilaporkan sudah mengaktifkan protokol kawalan orang ramai dan memantau sebarang kemungkinan insiden khususnya di kawasan pusat bandar.
Sorotan Utama Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47
Bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kelestarian’ (Inclusion and Sustainability) ini, Malaysia berhasrat untuk memperkukuh dua nilai utama tersebut.
Ini termasuk memfokuskan kepada pengurangan jurang pembangunan, peningkatan taraf hidup rakyat, serta usaha menangani kesan perubahan iklim.
Antara agenda diplomatik utama adalah memperkasakan Perjanjian Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Accord), iaitu perjanjian yang dicadangkan antara Thailand dan Kemboja bagi mengukuhkan gencatan senjata yang dimeterai pada Julai lalu.

Baca Artikel Berkaitan: Hasil Rundingan Di Malaysia, Thailand & Kemboja Setuju Gencatan Senjata Bermula Jam 12 Malam
Dari aspek ekonomi, sidang kemuncak ini bakal menyaksikan perbincangan intensif berkaitan dasar perdagangan, terutamanya bersama Amerika Syarikat.
Bukan itu sahaja, Malaysia dan negara anggota ASEAN lain dijangka mengadakan perbincangan mengenai tarif, dengan sektor semikonduktor diberi keutamaan tinggi memandangkan peranannya yang penting dalam rantaian bekalan serantau dan industri teknologi.
Turut menjadi fokus utama sidang adalah transformasi digital, kerjasama dalam bidang sains dan kecerdasan buatan (AI), serta usaha memperkukuh jalinan hubungan intra-ASEAN.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



