Larangan Jual Produk Rokok 40 Meter Dari Institusi Pendidikan Kini Berkuatkuasa
Akta 852 telah dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Oktober lalu selepas tempoh setahun pelaksanaan berfasa.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Akta Kawalan Produk Rokok (Akta 852) telah mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024.
Antara aspek yang dikuatkuasakan serta-merta ketika itu adalah pengiklanan dan promosi produk merokok serta tempat larangan penjualannya termasuk institusi pendidikan.
Di samping itu, beberapa aspek lain diberi tempoh antara enam ke 12 bulan sebelum pelaksanaan penuh bermula pada 1 Oktober lalu.
Baca Artikel Berkaitan: KKM Kuat Kuasa Akta 852 Berkaitan Kawalan Produk Rokok Mulai Hari Ini, 1 Oktober
Baca Artikel Berkaitan: Dr Zulkefly Dedah Lebih 100,000 Notis Ingkar Larangan Merokok Di Kedai Makan Dikeluarkan Berjumlah RM11.45 Juta
Baca Artikel Berkaitan: Bekerja Di Kedai Jual Rokok Haram Dalam Islam, Betul Ke?
Rokok Tak Boleh Dijual 40m Dari Institusi Pendidikan
Berdasarkan laporan media, antara aspek yang ditetapkan di bawah pelaksanaan penuh Akta 852 adalah larangan menjual produk merokok di kawasan dalam lingkungan 40 meter dari institusi pendidikan.
Penjualan produk merokok juga dilarang jika insitusi pendidikan atau pendidikan tinggi berada di dalam sebuah bangunan komersial.
Tinjauan oleh media The Star di Petaling Jaya mendapati banyak peniaga yang mengikut undang-undang tersebut.
Namun wujud juga persoalan berkaitan seperti sama ada pusat tusyen juga dikira sebagai sebuah institusi pendidikan.
Menurutnya, sebuah kedai serbaneka didapati telah menghentikan penjualan rokok dan vape walaupun terletak 1km dari sekolah terdekat.
“Ibu bapa mendakwa anak-anak mereka membeli rokok dari kami, tapi bila semak CCTV, kami dapati ia tidak benar.
“Kami juga berkongsi blok dengan beberapa pusat tusyen yang meletakkan kami dalam keadaan merisaukan. Pihak pengurusan membuat keputusan untuk menghentikan penjualan sepenuhnya,” kata seorang pekerja.
Tambahnya lagi, keputusan menghentikan penjualan produk rokok dilakukan sekitar tiga bulan lalu, sebahagiannya disebabkan oleh peraturan Akta 852 itu.
“Kami dengar sesetengah cawangan dikenakan saman berat kerana membiarkan kabinet pameran terbuka sedikit,” katanya.

Kedai Serbaneka Tapis Umur Pembeli Produk Rokok
Pun begitu, tinjauan mendapati dua kedai serbaneka lain masih meneruskan penjualan dengan produk rokok yang tersorok di dalam kabinet pameran.
“Kami meneruskan penjualan seperti biasa tetapi pastikan untuk menapis pembeli lebih-lebih lagi jika mereka kelihatan seperti bawah umur,” kata pekerja di sana dipetik The Star.
Tambahnya lagi, pihak pengurusan akan menghentikan penjualan sepenuhnya jika sebarang arahan dikeluarkan.
Kedai Mamak Berhenti Jual Produk Merokok, Banyak Pelajar Lepak Di Sana
Sebuah kedai mamak yang terletak kira-kira 1km dari lingkungan sekolah juga telah menghentikan penjualan rokok dan vape.
“Pelajar sekolah selalu makan tengahari atau melepak di kedai kami, dan ibu bapa telah mengadu kepada pihak berkuasa tempatan tentang pelajar membeli rokok dan vape di sini.
“Kami telah menghentikan penjualan produk itu sejak beberapa bulan lepas. Kami juga menguatkuasakan larangan merokok walaupun sehingga lewat malam,” jelas juruwang di sana.
Dalam tinjauan sama, sebuah kedai runcit juga didapati tidak lagi menjual rokok sejak dua bulan lalu walaupun penguatkuasaan penuh belum bermula.
Seorang pekerja menerangkan bahawa mereka pada mulanya tidak mempamerkan produk rokok sebelum menghentikan penjualan sepenuhnya.
Walaupun masih ada pelanggan tetap yang meminta rokok, namun mereka tidak mahu berisiko dikenakan saman.

Kedai Terletak Berhampiran Sekolah Henti Jualan Vape, Tetapi Masih Jual Rokok
Di samping itu, sebuah kedai serbaneka yang terletak di seberang jalan dari sebuah sekolah rendah telah menghentikan jualan vape, manakala jualan rokok masih diteruskan.
“Walaupun berhampiran dengan sekolah, tetapi bukan dalam lingkungan 40 meter yang ditetapkan undang-undang.
“Tetapi kami berhenti menjual vape kerana pihak pengurusan risau pelajar akan beli produk itu di sini,” kata seorang pekerja kepada The Star.
Kesalahan Menjual Produk Merokok Boleh Dikenakan Denda Atau Penjara
Di bawah Akta 852, mana-mana perniagaan atau individu yang didapati menjual atau memaparkan tembakau atau produk merokok secara bertentangan dengan peraturan adalah satu kesalahan.
Individu boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga satu (1) tahun bagi kesalahan pertama, dan denda sehingga RM30,000 atau dua (2) tahun penjara bagi kesalahan berulang.
Bagi syarikat perniagaan pula, mereka berdepan denda antara RM20,000 ke RM100,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun bagi kesalahan pertama, dan denda antara RM50,000 ke RM300,000 atau sehingga tiga (3) tahun penjara bagi kesalahan berulang.

Akta 852 Berkuat Kuasa Melalui Operasi Selamat Paru-Paru
Akta 852 telah dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Oktober lalu selepas tempoh setahun pelaksanaan berfasa.
Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, kesemua peruntukan di bawah akta ini dikuatkuasakan sepenuhnya melalui Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa).
Antara seksyen penting yang mula berkuat kuasa penuh adalah:
- Seksyen 3 – Pendaftaran produk merokok.
- Seksyen 10 – Larangan menjual atau mempamerkan produk yang tidak mematuhi kehendak ditetapkan.
- Seksyen 15 – Larangan mengilang, mengimport atau mengedar produk merokok yang tidak memenuhi syarat pembungkusan & pelabelan.
“Sepanjang setahun lalu, sebanyak 400,477 premis telah diperiksa, 20,989 operasi dijalankan, 126,531 notis kesalahan boleh kompaun dikeluarkan serta 966 kertas siasatan dibuka untuk kesalahan tidak boleh dikompaun,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Isetan Letak Rokok Di Seksyen ‘Non-Halal’ Undang Perhatian Ramai
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Tindakan Warden Sekolah Buang Rokok & Vape Yang Dirampas Raih Pujian
Baca Artikel Berkaitan: Rasa Terganggu Akibat Asap Rokok & Vape? Fahami Hak Anda Sebagai Golongan Bukan Perokok
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.Â



