Hamas Setuju Gencatan Senjata Di Gaza, Gesa Trump Pastikan Israel Ikut Perjanjian
Menurut Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, pembebasan tahanan yang merupakan sebahagian daripada perjanjian itu mungkin dilakukan menjelang Isnin (13 Oktober).
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sejak 7 Oktober 2023, lebih 67,000 penduduk Gaza telah terbunuh dengan kebanyakan daripada mereka merupakan kanak-kanak dan wanita.
Namun kementerian kesihatan Palestin, PBB dan beberapa organisasi kemanusiaan mempercayai bahawa jumlah kematian itu adalah lebih tinggi.
Pada September lalu, siasatan bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan buat pertama kali bahawa rejim Israel sememangnya melaksanakan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Baca Artikel Berkaitan: NGO Adakan Himpunan Aman Di KL, Gesa Hentikan Genosid & Kebuluran Di Gaza
Baca Artikel Berkaitan: 28 Kanak-Kanak Palestin Terbunuh Setiap Hari Di Gaza – UNICEF
Baca Artikel Berkaitan: Bekalan Makanan Tak Dibenarkan Masuk Ke Gaza, Penduduk Akan Terkorban Akibat Kebuluran
Hamas Setuju Dengan Fasa Pertama Pelan Gencatan Senjata Trump
Terbaharu, Gerakan Perjuangan Islam (Hamas) menerusi satu kenyataan mengumumkan bersetuju dengan fasa pertama pelan gencatan senjata oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Persetujuan itu dicapai selepas tiga hari rundingan yang berlangsung di pusat peranginan Sharm el-Sheikh, Mesir.
Katanya, perjanjian itu meliputi penghentian perang di Gaza, pengunduran pasukan pendudukan, kemasukan bantuan kemanusiaan dan pertukaran tahanan.
Kenyataan yang dikongsi semula oleh Cinta Gaza Malaysia itu turut mengemukakan penghargaan buat individu perantara di Qatar, Mesir dan Turki.
Ia juga mengiktiraf Trump dalam usahanya untuk menghentikan perang dan memastikan Israel berundur sepenuhnya dari semenanjung Gaza.
Hamas Gesa Trump Pastikan Israel Ikut Perjanjian Sepenuhnya
Dalam masa sama, Hamas menggesa Trump, negara-negara penjamin perjanjian serta semua pihak Arab, Islam dan antarabangsa agar memastikan persetujuan itu diikuti sepenuhnya oleh pihak Israel.
Mereka juga diminta agar tidak membiarkan rejim itu mengelak atau melengahkan dalam melakukan perkara-perkara yang telah dipersetujui.
“Kami mengucapkan penghormatan setinggi-tingginya kepada rakyat kami yang tabah di semenanjung Gaza, Baitul Maqdis, Tebing Barat, serta di dalam dan luar tanah air, yang telah menunjukkan keteguhan, keberanian dan maruah yang tiada bandingannya dalam menghadapi projek-projek penjajahan fasis yang menyasarkan mereka dan hak-hak kebangsaan mereka.
“Sesungguhnya pengorbanan dan keteguhan ini telah berjaya menggagalkan rancangan rejim pendudukan Israel untuk menundukkan dan mengusir rakyat Palestin,” katanya.
Akhirnya, Hamas menegaskan bahawa pihaknya akan setia pada janji perjuangan dan tidak akan berundur selagi kebebasan, kemerdekaan dan penentuan nasib sendiri rakyat Palestin tidak dicapai.
Tahanan Mungkin Dibebaskan Pada Isnin Depan
Berita persetujuan terhadap pelan gencatan senjata itu disambut baik oleh penduduk di kedua-dua belah pihak.
Menurut laporan CNN, fasa pertama perjanjian itu akan dilaksanakan pada Sabtu (11 Oktober) atau Ahad (12 Oktober) ini selepas Israel mengesahkannya dalam mesyuarat kabinet hari ini.
Trump berkata pembebasan tahanan mungkin dilakukan menjelang Isnin depan (13 Oktober).
Namun bukan semua tahanan akan dibebaskan. Menurut CNN yang memetik seorang pegawai Hamas, kedua-dua pihak itu telah bertukar senarai nama tahanan yang dipilih bagi pembebasan itu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata persetujuan itu merupakan satu ‘kejayaan diplomatik serta kemenangan kebangsaan dan moral’ bagi pihaknya.
Negara-Negara Timur Tengah Mungkin Terlibat Dalam Pembangunan Semula Gaza
Terdahulu, Trump mendedahkan pelan di mana ahli jawatankuasa Palestin akan mentabir Gaza di bawah pengawasan badan antarabangsa sehingga Pihak Berkuasa Palestin yang diperbaharui diwujudkan.
Badan antarabangsa itu diketuai oleh Trump sendiri di samping beberapa pemimpin lain.
Perkara itu bagaimanapun tidak dinyatakan ketika pencapaian perjanjian ini diumumkan.
Trump juga berkata negara-negara di Timur Tengah akan membantu dalam pembangunan semula Gaza, tetapi tiada butiran lanjut dikemukakan.
Baca Artikel Berkaitan: Misi Kemanusiaan Ke Gaza: Hukum Golongan Wanita Jadi Sukarelawan Flotila
Baca Artikel Berkaitan: Greta Thunberg Gesa Orang Ramai Agar Beri Tumpuan Pada Gaza, Tegaskan Peserta GSF Bukan ‘Hero’
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.