Murid Tahun 4 Ditemui Meninggal Dunia Di Sekolah, Siasatan Kes Kini Dijalankan
Seorang murid 10 tahun ditemui tidak sedarkan diri di tandas sebuah sekolah di Senawang sebelum dibawa oleh guru disiplin ke sebuah pusat perubatan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Semalam (1 Oktober), laporan media mendedahkan seorang murid Tahun 4 di sebuah sekolah di Senawang ditemukan meninggal dunia sekitar 1 tengah hari, hari sama.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, pihaknya telah bergegas ke lokasi kejadian susulan menerima laporan pada jam 1.19 tengah hari.
“Berdasarkan maklumat awal, kanak-kanak ini meninggalkan kelas pada jam 12.10 tengah hari. Murid ini ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah itu.
“Mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut namun disahkan meninggal dunia,” katanya.
Mangsa Ditemui Tidak Sedarkan Diri Di Tandas, Dibawa Ke Pusat Perubatan Bagi Rawatan
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik ke akaun Facebook Polis Negeri Sembilan, pihaknya menerima laporan berkenaan kematian murid berusia 10 tahun itu ketika dirawat di Radhiyah Healthcare Sdn Bhd.
“Mangsa telah dihantar oleh guru disiplin untuk menerima rawatan di klinik tersebut, namun doktor yang merawat mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.
Tambahnya, siasatan awal mendapati mangsa ditemui di dalam tandas sekolah dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke pusat perubatan tersebut.
Polis Klasifikasikan Kes Di Bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan
Sehubungan itu, prosedur bedah siasat akan dijalankan hari ini (2 Oktober) bagi menentukan punca kematian.
Setakat ini, pihak polis mengklasifikasikan kes tersebut di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan.
Memetik laporan Buletin TV3, seksyen ini digunakan bagi mendakwa kesalahan yang berkaitan dengan perbuatan buli, terutama membabitkan komunikasi yang mengancam atau menghina.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihati agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan kes berkenaan.
KPM Akan Beri Sokongan Emosi Kepada Pelajar & Guru Di Sekolah Terbabit
Bercakap kepada pihak media ketika ditemui di Seremban, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya memberi ruang kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan.
Dalam masa sama, pihaknya turut memberi tumpuan penuh terhadap emosi murid dan guru di sekolah terbabit.
“Sementara kita menunggu siasatan penuh kita akan memberi tumpuan penuh kepada proses psikososial dan sokongan emosi kepada pelajar dan guru di sekolah.
“Jadi mulai esok intervensi ini akan dilaksanakan secara menyeluruh oleh semua kaunselor kita di peringkat Negeri Sembilan untuk turun dan lihat.
“Kita juga mendapat sokongan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), khususnya Pusat Kesihatan Mental untuk memberikan tumpuan kepada intervensi ini yang akan dilaksanakan secara berterusan,” katanya dipetik Harian Metro.
Baca Artikel Berkaitan: Tragedi Zara Qairina: KPM Arah Audit Keselamatan Di Semua Sekolah
Sesi Persekolahan Diteruskan Seperti Biasa
Di samping itu, Fadhlina turut memaklumkan bahawa sesi persekolahan akan diteruskan seperti biasa dan menasihati ibu bapa agar tidak berasa bimbang mahupun takut untuk menghantar anak ke sekolah.
Beliau juga meminta orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang spekulasi mengenai kes tersebut dan memberi privasi kepada pihak keluarga kanak-kanak.
“KPM merakamkan takziah dan rasa sedih kita atas kejadian ini. Kita di peringkat KPM memberikan sepenuh sokongan kepada keluarga ketika ini dari segi sudut emosi dan psikososial,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Polis Beri Amaran Gurauan Melampau Antara Rakan Boleh Dianggap Sebagai Buli
Baca Artikel Berkaitan: Kes Pelajar 10 Tahun Alami Gegaran Otak Didakwa Dibuli, Menteri Pendidikan Gesa Siasatan Dibuat
Baca Artikel Berkaitan: Anak Dibuli Di Sekolah? Ini Langkah-Langkah Yang Ibu Ayah Kena Ambil
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.