[Video] Misi Global Sumud Flotilla Menghampiri Zon Merah, Diugut Kapal Tentera Israel
Kapal tentera Israel itu telah menyekat sistem komunikasi dan enjin kapal Alma, namun hubungan telah dapat dipulihkan selepas seketika.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Global Sumud Flotilla (GSF) dengan misi untuk memecah sekatan Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan kini sudah hampir tiba di tanah suci Gaza.
Sejak memulakan pelayaran pada hujung Ogos dan awal September lalu, gelegasi dari 44 buah negara itu dilaporkan bakal memasuki zon berisiko tinggi atau zon merah tidak lama lagi.
Sehubungan itu, misi memecahkan sekatan di Gaza itu telah beberapa kali menerima serangan dan gangguan dari pihak rejim Zionis.
Baca Artikel Berkaitan: Sekitar 9 Kapal Misi Global Sumud Flotilla Diserang Di Perairan Antarabangsa
Baca Artikel Berkaitan: Kapal ‘The Family’ Dalam Global Sumud Flotilla Diserang Dron Di Perairan Tunisia
Baca Artikel Berkaitan: Negara-Negara Barat Utama Mulai Iktiraf Palestin, Perancis Yang Terbaharu
Kapal Tentera Israel Ugut & Ganggu Sistem Komunikasi Kapal Utama GSF
Terkini, perkongsian di Instagram (@thiagoavilabrasil) oleh salah seorang aktivis, Thiago Ávila, mendedahkan bahawa sebuah kapal tentera Israel telah menghampiri delegasi berkenaan.
Katanya, kapal tersebut telah mengugut, mengganggu sistem komunikasi dan melakukan taktik berbahaya dengan mengelilingi bot utama Alma dan Sirius.
Walaupun peralatan elektronik mengalami kerosakan, Ávila memaklumkan bahawa tiada sesiapa yang tercedera.
“Kami terus berlayar ke Gaza untuk memecahkan sekatan dan membuka laluan kemanusiaan,” katanya.
Peserta Di Kapal Alma Buang Telefon Ke Dalam Laut, Hubungan Komunikasi Telah Pulih
Memetik laporan Anadolu Ajansi (AA), seorang wartawan Al Jazeera yang berada di atas bot itu menyatakan bahawa hubungan komunikasi dengan Alma yang terputus seketika dapat dipulihkan.
Tambahnya, kapal Israel menghampiri kira-kira 1.5 meter dengan Alma dan menyekat segala sistem komunikasi dan enjinnya.
Keadaan itu menyebabkan peserta di atas kapal Alma membuang telefon bimbit ke dalam laut berdasarkan protokol keselamatan.
Mereka kemudiannya kembali berlayar sebaik sahaja kapal Israel itu meninggalkan kawasan berkenaan.
GSF berdasarkan satu kenyataan rasmi menegaskan bahawa operasi secara melulu dan menakutkan itu meletakkan peserta dalam risiko serius.
Ia turut menegaskan bahawa perbuatan itu melanggar undang-undang serta sebarang serangan atau pemintasaan merupakan jenayah perang.
Mereka ketika itu mengumumkan bahawa misi tersebut berada kira-kira 121 batu nautika (225km) dari Gaza.
Kapal Tentera Israel Dilihat Sejak Semalam Berhampiran GSF
Memetik laporan The Star, misi GSF dianggarkan bakal tiba di Gaza dalam tempoh kurang dua hari lagi selepas memasuki zon merah pada hari ini (1 Oktober).
Semalam (30 September), satu kapal tentera Israel telah dilihat kira-kira 80km dari GSF.
Aktivis dari Turkiye, Muhammed Salih, yang menaiki kapal Adagio berkata mereka merasakan satu pintasan atau serangan akan dijalankan oleh Israel semalam atau malam ini.
“Berkemungkinan besar ia akan berlaku malam ini (30 Sept). Kami berada dalam waspada tinggi. Semua orang memakai jaket keselamatan dan sedang menunggu di atas dek kapal,” katanya.
Sehubungan itu, penganjur GSF mengeluarkan amaran kritikal serta mendesak perhatian masyarakat antarabangsa.
“Keselamatan kami bergantung kepada tontonan dunia. Serangan ke atas flotila adalah serangan ke atas Palestin,” katanya.
Mereka menegaskan bahawa pekerja dan para aktivis seluruh dunia bersiap-siaga untuk pergerakan secara besar-besaran sebagai satu bentuk solidariti dan desakan bagi keselamatan flotila.
Pelayaran GSF Bermula Pada Hujung Ogos & Bakal Tiba Di Gaza
Sebagai info, Global Sumud Flotilla merupakan satu misi kemanusiaan yang bertujuan untuk membawa keperluan asasi termasuk makanan dan bantuan perubatan kepada penduduk di Gaza.
Para penganjur menyifatkan Global Sumud Flotilla sebagai misi maritim ke Gaza terbesar dengan lebih 50 delegasi dari sekurang-kurangnya 44 negara.
Misi kemanusiaan itu merangkumi peserta yang tidak terkait dengan mana-mana kerajaan atau parti politik sama sekali.
Mereka telah memulakan pelayaran pada akhir Ogos dan awal September dengan matlamat untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza.
Pelayaran puluhan kapal ke arah Gaza ini merupakan kali pertama selepas beberapa tahun.
Israel pada 2 Mac telah mengetatkan sekatan ke atas tanah suci itu dengan menutup kesemua sempadan, sekaligus menghalang kemasukan makanan, ubat-ubatan dan bantuan lain.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.