Kerap Disekat Kerana Tuduhan ‘Akaun Palsu’, Mark Zuckerberg Saman Meta
Mark S. Zuckerberg yang merupakan peguam kebankrapan hanya berbeza nama tengah dengan pengasas Meta, Mark E. Zuckerberg.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Mark E. Zuckerberg merupakan pengasas syarikat Meta yang turut mengasaskan platform media sosial Facebook bersama rakan-rakan ketika di kolej.
Turut mempunyai akaun di platform media sosial itu, namanya pasti tidak asing lagi dalam kalangan pengguna Facebook lain.
Namun siapa sangka akibat nama yang serupa, akaun seorang individu sering kali disekat di platform itu.
Mark Zuckerberg Saman Meta Kerana Akaun Kerap Disekat
Mark S. Zuckerberg, yang hanya berbeza nama tengah dengan pengasas Meta itu, menerima ratusan ‘Friend Request’ setiap hari.
Dia turut menerima panggilan telefon yang bertujuan untuk mendapatkan sokongan teknologi bagi menyahsekat akaun, serta surat aduan, permintaan dan cadangan bagi penambahbaikan platform Facebook.
Zuckerberg yang merupakan peguam kebankrapan di Indiana juga kerap disekat dari akaun peribadi dan perniagaannya di Facebook. Malangnya, masalah itu masih tidak berjaya diselesaikan oleh platform media sosial berkenaan.
Perkara ini menyebabkan Zuckerberg mengambil tindakan untuk memfailkan saman di Marion County Superior Court, Indiana yang menuduh Meta atas kecuaian dan pelanggaran kontrak kerana terus menyahaktifkan akaun perniagaannya “atas alasan yang tidak adil dan tidak wajar”.
Sekatan Dilakukan Atas Alasan ‘Akaun Palsu’ & ‘Menyamar Sebagai Selebriti’
Setiap sekatan yang dilakukan oleh Facebook ditandakan sebagai ‘akaun palsu’ memandangkan dia bukan pengasas media sosial itu, Mark E. Zuckerberg.
Dalam samannya, Zuckerberg menyatakan bahawa Meta melakukan “tuduhan palsu kerana ‘menyamar sebagai selebriti’ dan tidak menggunakan ‘nama asli'”, tanpa menentukan sebarang kerugian kewangan yang berlaku.
Sebagai info, mereka berdua tidak mempunyai sebarang pertalian darah walaupun memiliki nama keluarga sama iaitu Zuckerberg.
Zuckerberg Dakwa Akaun Telah Digantung Lebih 10 Kali
Dakwa Zuckerberg lagi, sekatan ke atas akaun yang berlaku sekurang-kurangnya empat kali dalam tempoh lapan tahun, telah mengganggu perniagaannya sehingga menyebabkan kerugian besar dari segi pengiklanan dan pelanggan yang tidak dapat mengetahui tentang kerjayanya.
Di samping itu, akaun peribadinya telah digantung sekurang-kurangnya lima kali, namun jumlah ini hanya merangkumi insiden yang dapat dibuktikan olehnya.
Sekatan sedemikian pertama kali terjadi pada tahun 2011 dan Zuckerberg yakin bahawa ia telah berlaku lebih daripada 10 kali.
“Saya cuba menjadi munasabah. Saya hanya mahu dibiarkan bersendirian. Saya ada kerja lebih penting untuk dilakukan daripada bergaduh dengan Meta.
“Saya lebih rela melayan pelanggan dan meluangkan masa dengan keluarga. Tetapi tidak tahu cara lain agar mereka menghentikan perkara ini,” katanya dipetik The Star.
Sekatan Akaun Selama 4 Bulan Dihentikan Setelah Saman Difailkan
Walaupun peguam itu telah menunjukkan dokumen bagi tujuan verifikasi termasuk lesen profesionalnya, sekatan itu masih berlaku yang menyebabkan Zuckerberg tidak dapat mengakses akaunnya selama berbulan-bulan.
Akaunnya pernah digantung sehingga enam bulan, dan selama empat bulan dalam insiden terbaharu sebelum berjaya mendapatkan semula akaunnya setelah saman difailkan minggu lepas.
“Kami telah memulihkan semula akaun Mark Zuckerberg setelah mendapati ia telah disekat secara salah.
“Kami menghargai kesabaran berterusan Zuckerberg dalam isu ini dan berusaha keras untuk mengelakkannya daripada terjadi lagi di masa hadapan,” jelas jurucakap Meta minggu ini.
Tambah Zuckerberg, akaun miliknya telah digantung selama lebih 10 bulan dalam masa beberapa tahun.
“Jika saya bersabar, saya tidak akan menyaman mereka. Saya mahukan perkara ini diselesaikan akhirnya,” katanya.
Dia menerangkan bahawa saman itu sudahpun menunjukkan hasil memandangkan akaun perniagaannya telah dapat diakses semula selepas rayuan selama empat bulan tidak berjaya.
Zuckerberg Tuntut Yuran Guaman, Bayaran Pasukan IT & RM46 Ribu
Dari segi kerugian, peguam itu menuntut Meta untuk membayar yuran guamannya, bayaran pasukan teknologi maklumat yang mengendalikan iklan dalam talian dan tugasan tambahan setiap kali melalui proses rayuan Facebook, diikuti dengan USD11,000 (RM46,348) yang dibelanjakan bagi iklan di platform itu yang dikatakan telah rugi.
Zuckerberg menjelaskan bahawa Facebook merupakan platform penting bagi dia mendapatkan pelanggan memandangkan saingan berada di sana. Malah kebanyakan pelanggannya tidak mengenali atau mengetahui cara untuk mencari peguam.
Menjelaskan tentang kebankrapan, peguam itu berkata ia selalunya hanya berlaku sekali seumur hidup.
Saman itu telah membuatkan Zuckerberg dan perniagaannya meraih perhatian media di seluruh dunia, namun dia lebih rela bercakap tentang isu muflis berbanding Facebook.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.