Now Reading
Kapal ‘The Family’ Dalam Global Sumud Flotilla Diserang Dron Di Perairan Tunisia

Kapal ‘The Family’ Dalam Global Sumud Flotilla Diserang Dron Di Perairan Tunisia

Kapal terbabit sedang berlabuh kira-kira 150 meter dari pantai Tunisia apabila kebakaran tersebut berlaku.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Dalam memperjuangkan kebebasan tanah suci Palestin dari pembantaian oleh rejim Israel, masyarakat global turut sama-sama menunjukkan sokongan dan memberi bantuan.

Salah satu usaha yang kini sedang digerakkan adalah Global Sumud Flotilla, misi kemanusiaan antarabangsa yang disertai oleh 44 buah negara untuk memecah sekatan Israel terhadap Gaza.

Semalam (8 September), kumpulan yang merangkumi sebanyak 50 kapal itu dilaporkan telah tiba di Tunisia.

Baca Artikel Berkaitan: NGO Adakan Himpunan Aman Di KL, Gesa Hentikan Genosid & Kebuluran Di Gaza

Baca Artikel Berkaitan: ‘Pilihan Sukar Tetapi Nyata’ – Pakar PBB Gesa Masyarakat Dunia Ambil Tindakan Segera Dalam Isu Palestin

Kapal Utama Global Sumud Flotilla Diserang Dron Di Tunisia

Terbaharu, salah satu kapal utama dalam misi kemanusiaan itu yang digelar ‘The Family’ telah terbakar akibat serangan dron ketika berlabuh di perairan Tunisia.

Insiden itu dimaklumkan oleh Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, yang merupakan salah seorang peserta dalam misi kemanusiaan tersebut menerusi hantaran di Instagram.

“Kapal yang dinaiki Greta, Thiago dan Yasemin dibom oleh dron ketika sedang berlabuh di Tunisia. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Doakan,” katanya.

PU Rahmat yang juga menyertai misi sama menegaskan sekali lagi bahawa tiada sebarang kemalangan jiwa yang berlaku dan meminta orang ramai agar kekal bertenang.

Penumpang Diminta Meninggalkan Kapal

Seorang peserta misi kemanusiaan, Yusuf Omar, yang berada di atas kapal tersebut berkongsi keadaan ketika itu.

Katanya serangan yang dipercayai dilakukan oleh sebuah dron itu menyebabkan kebakaran di bahagian hadapan dek kapal.

Dia ketika itu sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat dan merasakan bahang api berhampiran mukanya. Tambahnya lagi, kawasan kebakaran itu berlaku berhampiran tangki minyak kapal berkenaan.

Kesemua penumpang kemudian diminta meninggalkan kapal dan menaiki bot pihak polis yang tiba di lokasi insiden.

Yusof bagaimanapun berkata aktivis utama seperti Greta Thunberg tidak berada di atas kapal tersebut ketika serangan dilakukan.

Serangan Sama Turut Berlaku Pada Kapal Flotilla Lain 5 Bulan Lalu

Menurut aktivis Thiago Avila yang turut berada di atas kapal itu, kebakaran tersebut telah berjaya dipadamkan oleh kru kapal dalam masa kira-kira lima minit.

“Malangnya, kami perlu memberitahu dunia bahawa kami diserang sekali lagi. Kapal kami, The Family, dilabuhkan 150 meter dari pantai Tunisia dengan enam orang penumpang sedang melakukan ‘night watch’.

“Mereka melihat dron menghampiri dan menjatuhkan alat letupan di bahagian tepi ‘starboard’ kapal. Ia meletup dan membakar barangan lain bersama termasuk jaket keselamatan,” jelasnya.

Dia menjelaskan bahawa kapal ‘The Conscience’ turut diserang dalam kaedah hampir sama pada lima bulan lalu.

“Kami semua tahu (serangan) dilakukan oleh siapa,” tegasnya.

Global Sumud Flotilla Dianjurkan 4 Gabungan Utama Termasuk Sumud Nusantara Yang Diketuai Malaysia

Sebagai info, Global Sumud Flotilla merupakan satu misi kemanusiaan yang bertujuan untuk membawa keperluan asasi termasuk makanan dan bantuan perubatan kepada penduduk di Gaza.

Para penganjur menyifatkan Global Sumud Flotilla sebagai misi maritim ke Gaza terbesar dengan lebih 50 delegasi dari sekurang-kurangnya 44 negara.

Misi kemanusiaan itu merangkumi peserta yang tidak terkait dengan mana-mana kerajaan atau parti politik sama sekali.

Kumpulan itu yang berlepas dari perairan berbeza termasuk Sepanyol dan Itali telah tiba di Tunisia semalam (8 September).

Mereka dirancang akan memulakan pelayaran semula pada 10 September dan dianggarkan akan tiba ke Gaza dalam tempoh tujuh ke lapan hari.

Berdasarkan laporan Al-Jazeera, terdapat empat gabungan utama yang menganjurkan misi kemanusiaan tersebut iaitu:

  • Global Movement to Gaza (GMTG) – Dahulu dikenali sebagai ‘Global March to Gaza’ yang merupakan gerakan akar umbi menganjurkan aksi solidariti antarabangsa untuk menyokong Gaza dan memecahkan sekatan.
  • Freedom Flotilla Coalition (FFC) – Mempunyai 15 tahun pengalaman misi di lautan dan bertindak memberi nasihat, bimbingan serta sokongan pengoperasian kepada usaha untuk memecahkan sekatan di Gaza.
  • Maghreb Sumud Flotilla –  Merupakan inisiatif dari Afrika Selatan yang sebelum ini dikenali sebagai Sumud Convoy, dan melakukan misi solidariti untuk menghantar bantuan kepada komuniti Palestin.
  • Sumud Nusantara – Konvoi pimpinan orang ramai dari Malaysia dan lapan negara lain yang bertujuan untuk memecahkan sekatan di Gaza dan memupuk solidariti dalam kalangan negara Selatan Global.

Freedom Flotilla Telah Dijalankan Sejak 2008, Namun Kerap Dipintas Tentera Israel

Ini bukanlah pertama kali misi kemanusiaan sedemikian dijalankan dengan tiga Flotilla telah digerakkan sebelum ini pada 2025 iaitu Break the Siege ‘Conscience’, Madleen dan Handala.

Conscience bagaimanapun telah diserang dron, manakala Madleen dan Handala dipintas oleh tentera Israel.

Free Gaza Movement yang diasaskan pada tahun 2006 telah menghantar 31 bot antara tahun 2008 ke 2016, dengan lima daripadanya berjaya tiba di Gaza.

Namun sejak 2010, semua flotilla yang bertujuan memecahkan sekatan ke atas Gaza telah dipintas atau diserang oleh tentera Israel di perairan antarabangsa, lapor Al-Jazeera.

Baca Artikel Berkaitan: 28 Kanak-Kanak Palestin Terbunuh Setiap Hari Di Gaza – UNICEF

Baca Artikel Berkaitan: Bekalan Makanan Tak Dibenarkan Masuk Ke Gaza, Penduduk Akan Terkorban Akibat Kebuluran


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd