Now Reading
Sultan Pahang Titah Seluruh Negeri Adakan Solat Hajat Ekoran Gempa Bumi

Sultan Pahang Titah Seluruh Negeri Adakan Solat Hajat Ekoran Gempa Bumi

Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan titah itu susulan beberapa siri gempa bumi yang melanda negeri Johor baru-baru ini.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Baru-baru ini, Johor telah dilanda oleh gempa bumi berskala kecil sebanyak beberapa kali dan turut dirasai oleh negeri-negeri jiran.

Sehubungan itu, banyak pihak yang berasa risau dengan keadaan itu yang disifatkan sebagai fenomena alam yang amat jarang berlaku di dalam negara sebelum ini.

Sultan Pahang Titah Masjid & Surau Di Pahang Adakan Solat Hajat

Terbaharu, Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan titah agar solat hajat diadakan di semua masjid dan surau di seluruh negeri Pahang.

Solat hajat yang akan diadakan pada malam ini (28 Ogos) selaku malam Jumaat akan diikuti dengan doa menolak bala.

Menerusi satu kenyataan di Facebook Kesultanan Pahang semalam (27 Ogos), titah itu dizahirkan ekoran tercetusnya beberapa bencana gempa bumi baru-baru ini.

“Titah tersebut dizahirkan berikutan beberapa siri bencana gempa bumi yang melibatkan Malaysia baru-baru ini, sekali gus menzahirkan rasa prihatin dan kebersamaan Paduka Baginda terhadap kesejahteraan rakyat serta keselamatan negeri,” ujar kenyataan itu.

Paduka Baginda turut menggesa umat Islam di negerinya agar memperkukuhkan doa, meningkatkan amal ibadah dan memohon perlindungan Allah SWT daripada sebarang musibah.

“Paduka Baginda turut meminta rakyat bersama-sama berdoa agar Allah SWT melindungi negeri ini daripada segala bencana serta mengekalkan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran untuk seluruh rakyat,” kata kenyataan itu.

3 Gempa Bumi Dicatatkan Di Johor Pada Ogos 2025

Baru-baru ini, tiga siri gempa bumi telah dicatatkan di sekitar negeri Johor dalam bulan Ogos.

Yang pertama adalah pada 24 Ogos, apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan bahawa gempa bumi lemah dengan kekuatan magnitud 4.1 berlaku di Segamat pada jam 6.13 pagi.

Pada jam 9 pagi pula, gempa bumi kedua telah berlaku di Yong Peng, 28 km di Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8 pada kedalaman 10 km.

Difahamkan gegaran ini dirasai di beberapa kawasan di Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Selatan Pahang.

Semalam (27 Ogos), satu lagi gempa bumi dilaporkan di Segamat, Johor yang berlaku pada jam 8.59 pagi dengan magnitud 3.2.

Pusat gempa yang terletak 18km di selatan Segamat mempunyai kedalaman 10km serta dirasai di kebanyakan kawasan di Johor dan Selatan Pahang.

Dalam pada itu, MetMalaysia akan terus memantau situasi ini dan meminta orang ramai yang merasai gegaran tersebut untuk mengisi borang soal selidik [DI SINI].

Baca Artikel Berkaitan: Ini Apa Yang Anda Perlu Lakukan Ketika Berdepan Gempa Bumi

Baca Artikel Berkaitan: Apa Perlu Buat Selepas Berlaku Gempa Bumi?

Malaysia Bukan Pertama Kali Alami Gempa Bumi

Dengan berlakunya beberapa siri gempa bumi ini, timbul persoalan sama ada fenomena alam ini merupakan perkara baharu yang terjadi di Malaysia.

Berdasarkan perkongsian di Facebook Astronomi & Sains, peristiwa gempa bumi di dalam negara telah mula dicatatkan sejak tahun 1922 lagi.

Ketika itu, antara gempa terawal direkodkan di Johor pada 31 Januari 1922 dengan anggaran magnitud (MI) 5.4 dan pada 7 Februari 1922 yang bermagnitud (MI) 5.0.

Dari tahun 1985 hingga 1987 pula, sebanyak 27 gempa bumi dengan magnitud (mb) antara 2.5 sehingga 4.6 dikesan di tapak empangan Tasik Kenyir, Terengganu ketika proses pengisian takungan air empangan.

Satu lagi kawasan empangan lain iaitu empangan Temenggor, Perak juga beberapa kali mengalami gempa bumi dengan magnitud (Mw) 2.5 pada 20 Ogos 2013 dan tiga lagi bermagnitud (Mw) 2.0–2.1 pada 2016.

Gempa bumi turut dikesan di kawasan sekitar zon sesar Bukit Tinggi atau sesar Kuala Lumpur, dengan sebanyak 32 fenomena dikesan bagi tempoh November 2007 hingga Disember 2009 dengan magnitud (mb) antara 0.3 hingga 4.2.

Antara gempa bumi lain yang dicatatkan di sekitar Semenanjung Malaysia adalah:

  • Gempa Bumi barmagnitud (Mw) 1.7 di Tasik Kenyir, Terengganu pada 23 Jun 2016.
  • Gempa Bumi bermagnitud (ML) 3.2 di Mersing, Johor pada 29 Mac 2012.
  • Gempa Bumi bermagnitud (Mw) 2.8 di Cameron Highlands, Pahang pada 26 Disember 2012.
  • Gempa Bumi bermagnitud (Mw) 2.0 di Jerantut, Pahang pada 27 Mac 2009.
  • Gempa Bumi bermagnitud (Mw) 2.4 berhampiran kawasan Sungai Siput, Perak pada 2 November 1997.

Pelbagai sumber menganggarkan lebih 60 gempa bumi telah berlaku di sekitar Malaysia sejak 1922.

Katanya, fenomena ini berlaku memandangkan negara dikelilingi lingkaran api pasifik yang aktif dengan aktiviti seismik.

Malah, Malaysia juga boleh merasai gegaran akibat gempa bumi kuat yang berlaku di Indonesia dan turut dilanda tsunami disebabkan fenomena yang berlaku di negara jiran.

Baca Artikel Berkaitan: Terima Amaran Gempa Bumi, Rakyat Malaysia Turut Rasai Gegaran Dari Indonesia

Baca Artikel Berkaitan: Gempa Bumi Sederhana Di Indonesia Dirasai Sekitar Kuala Lumpur & Selangor

Baca Artikel Berkaitan: “Gegaran Hampir Sama Seperti Tsunami 2011” – Rakyat Malaysia Kongsi Situasi Gempa Bumi Di Jepun


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd