Now Reading
Kes Zara Qairina: Lima Tertuduh Tak Mengaku Salah, Dibenarkan Ikat Jamin RM5,000

Kes Zara Qairina: Lima Tertuduh Tak Mengaku Salah, Dibenarkan Ikat Jamin RM5,000

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Insiden kematian membabitkan pelajar Tingkatan 1 di Sekolah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Zara Qairina Mahathir, tidak henti menjadi tajuk akhbar walaupun setelah lebih sebulan kejadian itu berlaku.

Timbul dakwaan bahawa kematian arwah mempunyai kaitan dengan kes buli, dengan prosiding inkues diarahkan bagi menyiasat punca sebenar kematian.

Di samping itu, timbul juga dakwaan bahawa keluarga Zara Qairina dikatakan bakal menyaman seorang doktor perubatan berhubung kenyataan bahawa arwah ‘memang terjun sendiri’.

Baca Artikel Berkaitan: Keluarga Zara Qairina Didakwa Bakal Saman Doktor Berhubung Kenyataan ‘Memang Terjun Sendiri’

Baca Artikel Berkaitan: Tragedi Zara Qairina: KPM Arah Audit Keselamatan Di Semua Sekolah

Lima Tertuduh Tak Mengaku Salah Mencela Zara Qairina

Hari ini (20 Ogos), lima remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Kanak-Kanak, Kota Kinabalu atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarhamah Zara Qairina.

Memetik laporan Kosmo, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad berkata, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Sehubungan itu, setiap tertuduh dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

“Tiada pengakuan salah dan 25 September ini tarikh sebutan semula. Setiap tertuduh dikenakan jaminan RM5,000 dengan RM1,000 deposit dan seorang penjamin,” katanya.

Mahkamah Tak Benarkan Perkara Lain Berkaitan Prosiding Didedahkan

Berdasarkan pertuduhan, kelima-lima tertuduh didakwa mencapai niat bersama dengan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina pada 10 hingga 11 malam, 15 Julai lalu.

Media bagaimanapun melaporkan hanya perkara itu yang boleh didedahkan setakat ini.

Sebaliknya lain-lain perkara berkaitan prosiding tidak boleh didedahkan memandangkan pihak mahkamah telah mengeluarkan perintah larangan.

Prosiding Inkues Akan Bermula Pada 3 September

Pada Isnin (18 Ogos) lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memutuskan untuk menuduh beberapa suspek yang didakwa terlibat dalam kes buli ke atas Zara Qairina.

AGC ketika itu menegaskan bahawa keputusan itu tidak akan mengganggu proses inkues yang bakal dijalankan pada bulan hadapan.

Dalam masa sama, AGC pada 13 Ogos telah mengeluarkan arahan agar prosiding inkues dijalankan susulan kematian pelajar Tingkatan 1 itu.

Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan 3 September sebagai tarikh inkues dimulakan bagi mengenal pasti jika terdapat sebarang elemen jenayah berkait kematian Zara Qairina.

Baca Artikel Berkaitan: Kes Zara Qairina: AGC Arah Jalankan Inkues, Ini Maksudnya

Kronologi Kes Zara Qairina

Zara Qairina disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu setelah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama pada 16 Julai. Laporan awal menyatakan mangsa jatuh dari tingkat tiga asrama sekolah.

Atas arahan AGC, jenazah Allahyarhamah telah digali semula pada 9 Ogos dengan bedah siasat dijalankan keesokan harinya (10 Ogos).

Proses bedah siasat dijalankan oleh empat pakar patologi termasuk pakar Perunding Patologi Forensik dari Hospital Sultan Idris Shah, Selangor, di bawah pemerhatian peguam dan pihak polis.

Selepas melalui proses bedah siasat selama lapan jam di Hospital Queen Elizabeth, jenazah arwah telah selamat dikebumikan semula pada 11 Ogos, di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, Sipitang.

Pada 13 Ogos pula, AGC telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya memutuskan untuk menjalankan prosiding inkues susulan kematian Zara Qairina.

Baca Artikel Berkaitan: Kes Zara Qairina: Hasil Bedah Siasat 2 Bulan Terlalu Lama – Ketua UMNO Bahagian Subang

Baca Artikel Berkaitan: Cucu TYT & Isteri Menteri Tiada Kaitan Dengan Kematian Zara Qairina – Menteri KDN

Baca Artikel Berkaitan: Harus Hukumnya Gali Semula Kubur Bagi Tujuan Bedah Siasat – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd