“Diam, Andai Teruskan AIDS” – Rafizi Dedah Isteri Terima Mesej Berbaur Ugutan Selepas Anak Diserang
Bekas Menteri Ekonomi itu mempercayai bahawa insiden serangan tersebut mempunyai kaitan dengan siasatan yang sedang dilakukan olehnya berkenaan satu skandal.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Semalam (13 Ogos), kecoh apabila anak lelaki kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli telah diserang dan dicucuk jarum suntikan di sebuah pusat beli belah di Putrajaya.
Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu kemudiannya dibawa ke Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menjalani rawatan lanjut.
Dia bagaimanapun dibenar pulang sementara menunggu keputusan analisis untuk mengetahui kandungan picagari tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Anak Rafizi Ramli Diserang & Dicucuk Jarum Suntikan, Ini Apa Yang Kita Tahu
Baca Artikel Berkaitan: Isu Fadhlina Ajak Murid Ucap ‘Selamat Hari Lahir PMX’, Rafizi Tegur Menteri Pendidikan [Video]
Isteri Rafizi Terima Mesej Berbaur Ugutan Dengan Emoji Picagari
Terbaharu, Rafizi mendedahkan bahawa isterinya telah menerima mesej yang berbaur ugutan.
Berdasarkan laporan Sinar Harian, mesej yang diterima sekitar jam 1.12 pagi tadi tertulis, “Diam andai teruskan AIDS,” serta terdapat emoji picagari pada hujung ayat.
Malah Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, memaklumkan bahawa beliau juga telah menerima mesej serupa dari nombor telefon sama pagi ini.
“Mesej yang kedua ialah pagi ini pada pukul 11.02 pagi tadi, dihantar melalui WhatsApp nombor yang sama. Mesej yang sama ‘diam andai teruskan AIDS’, kemudian emoji picagari tiga kali,” katanya.
Rafizi Kongsi 3 Kemungkinan Cecair Yang Disuntik Kepada Anaknya
Berhubung mesej itu, Rafizi berpendapat terdapat tiga kemungkinan mengenai cecair yang disuntik kepada anak lelakinya semalam.
“Pertama yang disuntik itu sama ada dadah atau racun. Kedua yang disuntik itu berbentuk viral, sama ada hepatitis, HIV dan lain-lain.
“Ketiga, ia hanya kosong seperti air. Jadi sebab itu anak saya perlu lalui proses (mengenal pasti bahan cecair disuntik) dalam masa beberapa bulan ini.
“Bagi tempoh 24 jam pertama ini, keutamaannya selain daripada ujian darah adalah kita buat ujian kenal pasti sama ada ia dadah atau racun,” katanya dipetik Berita Harian.
Anak Rafizi Perlu Lalui Beberapa Ujian Sepanjang 6 Bulan Ini
Di samping itu, bekas Timbalan Presiden PKR itu turut memaklumkan bahawa anaknya dalam keadaan baik dan telah discaj dari hospital serta hadir ke sekolah seperti biasa.
Beliau bagaimanapun dalam keadaan sebak, memaklumkan bahawa anak lelakinya perlu melalui pemeriksaan penuh kesihatan serta beberapa ujian sepanjang tempoh enam bulan ini.
Tambah Rafizi, beliau masih belum menerima keputusan rawatan dan diagnosis yang akan dimaklumkan oleh pihak hospital kemudian.
Rafizi Percaya Serangan Terkait Dengan Isu Skandal
Dalam pada itu, Rafizi percaya serangan tersebut berkait dengan siasatan yang dijalankan olehnya berkaitan satu skandal.
Tanpa mendedahkan secara terperinci mengenai ‘skandal’ tersebut, Rafizi memaklumkan bahawa beliau menerima maklumat berkaitan setelah bertemu dengan sekumpulan pemberi maklumat pada 6 Ogos lalu.
“Pada hemat saya, ini bersabit cubaan untuk menutup mulut saya. Ada sesuatu saya sedang teliti dan ini (serangan) adalah mesej untuk saya.
“Memang ada satu kumpulan ‘whistleblower’ datang pada saya Rabu minggu lepas mengenai satu skandal berkaitan wang.
“Maksudnya saya ingat pihak terbabit tahu kalau saya sudah mula lihat satu skandal, saya akan ‘go deep’ (siasat lebih mendalam)… pada saya, mereka nak saya ‘move on’ dan tidak meneruskannya,” katanya.
Menurutnya, beliau telah mengemukakan kesemua perkara berkait ugutan diterima oleh keluarganya kepada pihak polis agar siasatan dijalankan.
Keluarga Rafizi Pertama Kali Alami Serangan Sedemikian
Rafizi menjelaskan bahawa serangan tersebut merupakan pertama kali yang berlaku ke atas keluarganya walaupun telah banyak menyiasat pelbagai skandal sebelum ini.
“Saya ingat perkara ini akan berterusan kerana pada hemat saya, ia ialah strateginya, oleh kerana saya selalunya tak makan saman.
“Saya dah lalui saman, lokap, hilang jawatan pun, tapi saya tak pernah ambil ‘port’. Jadi saya ingat mereka yang terbabit ini rasakan mungkin lebih mudah mempengaruhi keputusan saya melalui isteri.
“Saya hanya ada seorang anak, jadi kalau letak tekanan tu pada isteri dan anak, (mungkin mereka percaya) boleh (pengaruhi keputusan). Saya dah sampaikan semua maklumat ini kepada pihak polis dan nombor telefon (pihak hantar ugutan) dan berharap siasatan akan berjalan lancar,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Rafizi Umum Letak Jawatan Menteri Ekonomi, Akui Sudah Hilang Mandat Selepas Kalah Pemilihan PKR
Baca Artikel Berkaitan: Pemilihan Timbalan Presiden PKR: Jom Kenali Rafizi & Nurul Izzah
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.